Zidane : Ronaldo Lebih Bagus Daripada Aku

Eikrem 2 bulan yang lalu

Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mengatakan bahawa bintang kesayangannya, Cristiano Ronaldo, adalah jauh lebih hebat berbanding dirinya sebagai pemain.

Zidane juga berharap Ronaldo akan membawa Real Madrid menjuarai Liga Juara-juara UEFA berturut-turut di Cardiff nanti pada hari Sabtu nanti.

Pada musim ini, Ronaldo telah menjaringkan 49 gol buat kelab dan negara, di samping menjaringkan hatrik dalam perlawanan suku dan separuh akhir Liga Juara-juara.

Dalam satu sidang media, seorang wartawan dengan beraninya bertanya kepada lagenda Real Madrid dan Perancis tersebut siapakah yang lebih hebat, dia atau Ronado.

Dengan tenang dan tanpa berfikir panjang Zidane menjawab,” Sudah tentu Ronaldo.”

“Dia jaringan gol dan itulah yang paling afdhal.

“Aku dulu pernah main bagus tapi aku bukan kaki jaringkan gol. Aku lebih banyak assists.

“Do, kau power,” bisik Zidane kepada Ronaldo | Gambar : The Independent

“Sekali-sekala tu ada lah aku jaringkan gol penting, tapi tak sebanyak Ronaldo,” kata Zidane lagi sambil senyum kerang.

Ketika ditanya apakah kualiti utama yang ada pada diri Ronaldo, Zidane berkata,”Dia selalu nak lebih.”

“Dalam latihan pun, dia memang jenis tak nak kalah.

“Itulah, apa yang dia bagi kepada kami ialah semangat nak menang tu. Dia ada sesuatu dalam diri dia. Lagipun, dia adalah ketua secara semulajadi, terutamanya di atas padang,” tambah Zidane.

Zidane dan Ronaldo original | Gambar : 101greatgoal

Menjelang pertemuan menentang Juventus nanti, Zidane kelihatan agak tenang dan bersahaja. Dia juga tidak memuat naik status Facebook, Twitter atau Wechat seperti “Eeeee tasabarnyewww na tgu Juventus nanty” atau “aq hrp taon ni Real mng lgy UCL.”

Zidane adalah antara beberapa pemain yang pernah bermain untuk kedua-dua kelab, Juventus dan Real Madrid. Pada tahun 2002, Zidane menjaringkan gol kemenangan melalui satu volley yang cantik  dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara menewaskan Bayer Leverkusen.

Mengikut sejarah sama ada sejak 1991 atau 2013, tiada kelab yang mampu mempertahankan kejuaraan Liga Juara-juara mengikut format moden ini.

Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, ditanya mengenai prospek pasukannya untuk melakukan sejarah pada tahun ini dan dia mengakui bahawa seluruh pasukan sangat teruja, termasuk Fabio Coentrao.

“Kami bakal melakukan sejarah,” katanya yakin, seolah-olah Juventus dibarisi pemain Sime Darby.

“Motivasi di pihak kami sangat-sangat tinggi tentang kemungkinan memenangi piala ini secara berturut-turut.

“Kami sedar tentang peluang ini dan kami sebenarnya tidak pernah impikan perkara ini, tetapi statistik membuktikan kami mampu,” sambung Ramos sambil membetulkan rambutnya yang disapu Pomade anggur.

Mungkin Ramos tidak sedar bahawa serangan Barcelona pun gagal menembusi gawang Juventus, apatah lagi Real Madrid.

Berita diolah dari : Daily Mail Sports