Willian: Saya Tidak Akan Kekal Di Chelsea Sekiranya Conte Masih Ada

Izuddin oleh Izuddin 1 bulan yang lalu

Pemain sayap Chelsea, Willian berkata beliau tidak akan sekali-kali kekal di Chelsea sekiranya Antonio Conte masih bergelar pengurus Chelsea musim ini.

Willian menambah beliau gembira untuk kekal bermain dengan Chelsea musim ini di bawah kendalian jurulatih baru, Maurizio Sarri.

Aku xse maen kalu Conte ado lagi

Hubungan Willian dan Conte menjadi agak dingin musim lepas berikutan tindakan Conte yang sering meninggalkan Willian di bangku simpanan ketika berhadapan pasukan besar. Keadaan menjadi lebih baik buat Willian pada penghujung musim tetapi hubungan kedua-dua individu ini masih lagi dingin.

Disebabkan permasalahan tersebut, Willian menjadi sasaran beberapa kelab ternama Eropah seperti Barcelona dan Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini.

Walau bagaimanapun, Chelsea menolak semua tawaran yang tiba untuk Willian kerana Sarri menganggap Willian sebahagian daripada rancangannya di Stamford Bridge bagi musim baru ini.

Barcelona membuat tawaran terhadap Willian ketika Piala Dunia berlangsung tetapi tawaran tersebut gagal menepati harga yang dipinta Chelsea, iaitu sekitar £60 juta. Willian juga pernah berkata Jose Mourinho merupakan pengurus terbaik sepanjang kariernya dan berharap dapat kembali bekerjasama pada masa hadapan.

Willian puji pengaruh Jorginho dalam skuad Chelsea

Willian mungkin boleh melupakan niatnya untuk berpindah pada musim ini berikutan jendela perpindahan sudah pon ditutup dan Chelsea tidak akan membenarkan pemain utama mereka berpindah tanpa dapat menggantikan pemain tersebut.

Willian juga dilihat sudah 'move on' dengan segala spekulasi mengenai masa depannya dan nekad untuk membantu Chelsea kembali ke persada bola sepak Inggeris selepas kempen yang mengecewakan musim lepas.

"Adakah saya akan kekal jika Conte masih berada di sini ? Tidak sama sekali. Saya berada di sini hari kerana saya mahu bermain dengan Chelsea. Saya hanya akan meninggalkan Chelsea sekiranya kelab ini mahu melepaskan saya."

Willian dipilih untuk berada dalam kesebelasan utama Chelsea dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris musim 2018/2019 menentang Huddersfield hujung minggu lalu. Beliau membalas kepercayaan tersebut dengan membantu Chelsea mencatatkan permulaan sempurna dengan kemenangan 3-0 di tempat lawan.

"Kami mahu mencatatkan permulaan seperti ini. Saya rasa kami bermain dengan cukup baik, menguasai perlawanan dan pegangan bola. Kami menunjukkan permainan yang baik di Huddersfield. Ini baru sahaja permulaan kerana kami tahu kami perlu berusaha menjadi lebih baik selepas ini."

Chelsea gagal menewaskan Arsenal dalam 6 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan.

"Jorginho bermain dengan sangat baik, beliau mempunyai banyak kualiti dan membantu pasukan ini bermain dari belakang. Sekarang kami perlu mengekalkan momentum ini kerana minggu depan kami bakal mengharungi perlawanan besar menentang Arsenal dan kami mahu menang sekali lagi."

Untuk rekod, Chelsea gagal menewaskan Arsenal dalam 6 perlawanan terakhir mereka sebelum ini. Walaupun demikian, Willian percaya perubahan filosofi di Stamford Bridge bakal menghadirkan lebih banyak masalah untuk Arsenal.

"Sekarang kami bermain bolasepak dengan cara yang berbeza. Dengan corak permainan kami  sekarang, saya percaya kami akan mencipta banyak masalah buat Arsenal."




Paparkan Komen