Wilfried Zaha Umum Keputusan Untuk Tinggalkan Crystal Palace

Izuddin oleh Izuddin 4 hari yang lalu

Pemain sayap Crystal Palace, Wilfried Zaha telah memberitahu kelabnya yang beliau ingin meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan yang akan datang.

Menurut sumber Sky Sport News, Crystal Palace enggan melepaskan Zaha tanpa sebarang tentangan tetapi keinginan pemain itu untuk bermain dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah mengubah segala-galanya.

Zaha merasakan dirinya perlu bermain pada tahap lebih tinggi dan mengumumkan niatnya untuk meninggalkan Selhurst Park musim panas nanti

Zaha melalui musim 2018/2019 yang agak baik dimana beliau berjaya menjaringkan 10 gol dalam Liga Perdana Inggeris. Namun begitu, keinginan untuk bermain pada tahap tertinggi iaitu Liga Juara-Juara Eropah merupakan sasaran utama Zaha musim hadapan selain ingin bersaing merebut trofi yang ada.

Seperti semua sedia maklum, Zaha pernah bermain untuk Manchester United selama dua musim bermula dari tahun 2013 sehingga 2015. Beliau hanya mampu membuat 2 penampilan bersama skuad utama dan dipinjamkan kepada Crystal Palace tidak lama selepas itu.

Pada awal Februari 2015, Crystal Palace bersetuju untuk menjadikan Zaha pemain tetap mereka dengan membayar yuran perpindahan sekitar £6 juta. Sejak daripada itu, Zaha tidak memandang ke belakang lagi dan beliau berjaya menjadi pemain utama bagi skuad The Eagles sehingga ke hari ini.

Selepas hampir 5 tahun bersama Crystal Palace, Zaha merasakan dirinya perlu mencuba sesuatu yang baru bagi memberi nafas baru kepada kariernya.

Dortmund dan Spurs antara kelab yang pernah cuba memancing Zaha suatu ketika dahulu

"Saya perlu merasai Liga Juara-Juara Eropah. Saya mahu peluang untuk merasai pertandingan itu, itu sahaja. Dan selepas itu saya akan melakukan perkara selebihnya." Ujar Zaha dalam satu temu ramah eksklusif bersama Daily Mail.

"Saya seorang yang bercita-cita tinggi. Saya bukan hanya mahu bermain dengan kelab besar, tetapi untuk memenangi sesuatu di peringkat kelab dan juga bersama Ivory Coast."

"Bagi saya, untuk menjadi pemain yang lebih baik, saya perlu menyasarkan untuk bermain pada tahap yang tertinggi dan memenagi trofi."

"Saya sangat bersyukur kerana sudah berjaya ke tahap ini dalam karier saya. Tetapi saya rasa masih banyak lagi yang mampu saya lakukan."

Sekiranya Crystal Palace tunduk pada permintaan Zaha, beliau tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mencari kelab yang berminat dengan khidmatnya.

Statistik Zaha. Memang padu

Pada jendela perpindahan Januari lalu, Borussia Dortmund dilaporkan telah mengenal pasti Zaha sebagai pengganti kepada pemain yang akan berpindah ke Chelsea tidak lama lagi, Christian Pulisic.

Selain Dortmund, Tottenham Hotspurs juga berminat untuk mendapatkan Zaha sebelum ini. Menarik untuk kita saksika saga perpindahan Zaha yang akan bermula tidak lama lagi, tetapi yang pasti beliau tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mencari kelab besar yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.




Paparkan Komen