The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Wenger temui resepi rahsia kejayaan

Eikrem pada October 5, 2015

Manchester United bukanlah satu pasukan yang senang ditewaskan oleh Arsenal di mana mereka lebih banyak kalah dari seri dan menang, sehinggalah Wenger temui resepi rahsia kejayaan yang sempurna.

Bagi peminat bola – orang yang faham taktikal dan flow permainan, bukan yang reti bersorak sahaja – akan perasan resepi Wenger ini digunakan sejak perlawanan Perisai Masyarakat menentang Chelsea lagi, cuma resepi ini diadun sebati dan betul-betul  membuahkan hasil ketika menentang United.

Kalau tahun lepas, tahun sebelum tahun lepas dan tahun-tahun sebelum tahun lepas, Wenger lebih berminat untuk mendapat pujian permainan Arsenal yang cantik daripada memenangi perlawanan . Malah, Wenger juga kerap mengutuk Yang Satu Istimewa, Jose Mourinho, yang selalu menggunakan taktik permainan yang tidak menarik – parkir bas yang katanya bersifat anti-bola sepak.

Tetapi ketika Perisai Masyarakat , Wenger sendiri telah menggunakan taktik begitu setelah berjaya mendapatkan gol awal melalui Oxlade-Chamberlain. Selepas gol dijaringkan, 10 pemain Arsenal bersarang di kotak penalti sendiri dan sekali-sekala mengacah nak menyerang kubu Chelsea.

Bezanya dalam perlawanan menentang United , Wenger mengarahkan pemainnya parkir bas mini dan melancarkan ‘break attack’ dengan sentuhan yang sedikit dan laju.

Hasilnya, tiga gol awal berjaya dijaringkan dan menyebabkan United terus terkapai-kapai mencari gol.

Gandingan Ramsey, Oezil, Cazorla dan Sanchez di bahagian tengah ternyata berjaya meninggalkan dua kuda tua Man United, Sebastian Schweinsteiger dan Michael Carrick kelemasan di bahagian tengah padang.

Keempat-empat pemain Arsenal tersebut ditambah pula dengan penyerang terbaik London ketika ini, Theo Walcott, berjaya mengelirukan Smalling dan Blind sehinggakan Young dan Darmian hanya mampu melihat kelajuan pemain lawan berlari ke sana-sini.

Ternyata otak Wenger masih lagi mampu untuk menerima ilmu baru walaupun dilihat bersifat negatif pada dasarnya. Semoga selepas ini Wenger berjaya membawa Arsenal ke puncak dunia dan tiada lagi hashtag #WengerOut.