Wan Kuzain Rakyat Malaysia Melakukan Debut di Liga Amerika Syarikat

Eikrem oleh Eikrem 4 bulan yang lalu

Pemain berdarah Malaysia yang kini menetap di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, telah melakukan debut di Liga Divisyen Dua Amerika Syarikat, USL Pro, dengan mewakili Swope Park Rangers menewaskan OKC Energy 3-1, dalam perlawanan pembukaan liga tersebut semalam.

Dalam perlawanan yang dimainkan di Swope Soccer Viilage tersebut, Wan Kuzain, 18 tahun, yang memakai jersi bernombor 75, bermain di posisi pemain tengah , dan dilihat banyak merancang dan menentukan rentak perlawanan dari bawah, seperti Andrea Pirlo.

Lebih menarik lagi, Wan Kuzain merekodkan ketepatan hantaran tertinggi dalam perlawanan tersebut, dengan 96%. Pemain kidal tersebut dilihat cukup tenang dengan bola dan tidak tergopoh gapah dalam membuat keputusan. Jadi, mungkin dia tidak sesuai untuk bermain di Liga Malaysia.

Wan Kuzain dikeluarkan oleh jurulatihnya, Nikola Popovic, pada minit ke-75, dan dia menerima pujian yang menggunung daripada pengulas perlawanan.

"Aku rasa dia lakukan tugas dengan sangat baik, dia simpan bola dengan baik, mengerakkan bola ke kiri dan kanan, menggerakkan bola ke hadapan, aku rasa ini satu permainan menarik bagi seorang pemain yang baru berusia 18 tahun," ulas pengulas perempuan tersebut, Molly Dreska - bekas pemain bola sepak professional, dengan panjang lebar.

Menurut ayahnya, Prof Dr. Wan Kamal Napi, “Semua jurulatih dan rakan sepasukannya memuji persembahan Kuzain. Mereka berpendapat aksi pertama Kuzain di Liga USL itu sangat baik.

“Saya sendiri biasanya agak sukar untuk memberi pujian ke atasnya, tapi melihatkan permainannya dia berhak diberi kredit biarpun itu adalah penampilan pertama di pentas tertinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Semoga Wan Kuzain dapat terus bersinar di Amerika Syarikat dan muncul antara pemain terbaik dunia suatu hari nanti. Yang paling penting, semoga Wan Kuzain dapat bermain di Piala Dunia.


Share Tweet


Paparkan Komen