Sepakan Penalti 'Terburuk Dalam Sejarah Bola Sepak' Yang Diambil Oleh Pemain Swansea

Izuddin oleh Izuddin 1 bulan yang lalu

Seperti semua sedia maklum, sepakan penalti merupakan sebahagian daripada suka duka bola sepak.

Jika pasukan anda dihadiahkan sepakan penalti, sudah tentu anda akan berasa gembira. Namun begitu jika pasukan anda yang melepaskan sepakan penalti kepada pihak lawan, sudah tentu akan kedengaran laungan keramat 'ref bodo' berkemundang dari mulut sesetengah peminat.

Panenka bertukar menjadi kelakar

Artikel ini bukanlah mahu mengupas lebih lanjut mengenai sejarah penalti atau lebih popular dikenali sebagai 'Jenalti' di Malaysia.

Tetapi artikel ini ditulis untuk memberitahu pembaca-pembaca The Sukan mengenai satu sepakan penalti yang diambil oleh pemain tengah Swansea, Bersant Celina baru-baru ini.

Ramai melabel sepakan tersebut sebagai sepakan penalti terburuk dalam sejarah peradaban manusia. Setujukah anda ?

Dalam perlawanan di antara Swansea menentang West Brom di liga Championship, Swansea dianugerahkan satu sepakan penalti pada minit ke-39 selepas seorang pemain mereka dijatuhkan dalam kotak penalti.

Celina dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti berkenaan. Swansea berpeluang untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1 sekiranya bola sepakan Celina menerjah gawang.

Celina mempunyai rekod yang agak baik di hadapan gol musim ini dimana beliau telah menjaringkan 7 gol dari 36 penampilan untuk pasukan yang berpengkalan di Wales itu. Satu rekod yang baik untuk seorang pemain tengah.

Malangnya, Celina tergelincir ketika beliau berlari untuk mengambil sepakan penalti menyebabkan kaki kirinya tersentuh bola sambil badannya terjatuh.

Jika dilihat pada video dengan lebih dekat, Celina sebenarnya ingin mengambil sepakan penalti itu dengan gaya 'panenka'. Malangnya ia bertukar menjadi satu malapetaka buat beliau.

Pemain pertahanan West Brom cepat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan Swansea melepaskan peluang terbaik untuk menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.

Kegagalan Celina untuk menyempurnakan sepakan penalti nyata membawa padah kerana West Brom berjaya menggandakan kedudukan tidak lama selepas itu. West Brom menang 3-0 perlawanan tersebut untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu liga dalam usaha mereka untuk mencapai promosi ke Liga Perdana Inggeris.

Seperti diduga, kegagalan Celina mencuit hati banyak pihak di media sosial. Berikut adalah kompilasi troll netizen terhadap Celina berikutan 'Panenka' yang gagal. Layan




Paparkan Komen