The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Van Gaal Tidak Terdesak Mendapatkan Pemain Baru Walaupun Tumpul Di Serangan

Encik Bakri pada August 23, 2015

MANCHESTER: Bos Manchester United, Louis van Gaal berkata keputusan seri tanpa jaringan di Old Trafford bertemu Newcastle pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam tidak bermakna dia terdesak untuk mendapatkan pemain baharu.

Sepanjang tiga perlawanan liga yang sudah diharungi, United mengekalkan rekod tanpa bolos namun apa yang perlu membimbangkan Van Gaal skuad bimbingannya hanya meledak dua gol sepanjang 270 minit permainan.

Baca : Manchester United Tertidur

United gagal untuk mendapatkan bintang Sepanyol, Pedro apabila pemain itu memilih menyertai Chelsea sekalipun Van Gaal mendakwa bekas pemain Barcelona itu bukan keutamaannya.

Begitupun, kegagalan Wayne Rooney yang dianggap satu-satunya penyerang dipercayai pengendali kelahiran Belanda itu untuk menjaringkan gol selepas 10 perlawanan terakhir boleh dianggap perjudian yang mahal.

Van Gaal berkata situasi itu tidak membuatkannya tergesa-gesa mendapatkan penyerang sebelum jendela perpindahan ditutup kerana prestasi pasukan lebih menjadi keutamaannya.

“Tidak kerana kami adalah pasukan yang tiga kali lebih baik,” kata Van Gaal ketika ditanya adalah dia bimbang mengenai situasi skuad bimbingannya di depan gawang gol.

“Jadi kebimbangan saya adalah kami perlu mendominasi lawan, dan kami melakukannya, kami melakukannya menentang Aston Villa dan kami melakukannya menentang Tottenham Hotspurs.

“Saya fikir menentang Tottenham ia agak kurang, namun menentang Aston Villa kami mendominasi permainan, menentang Brugge kami mendominasi dan ketika persiapan (pra-musim), kami mendominasi ketika menentang Barcelona, San Jose Earthquakes, (Club) America, dan hanya PSG kami tidak melakukan dominasi.

Jadi ia bukan keputusan yang buruk. “Saya gembira dengan prestasi, bukan keputusan dan ia adalah berbeza kerana kami mencipta banyak peluang dan hanya memberi lawan dua peluang,” katanya. – AFP