FA Cup 18/19 - Suku Akhir : Swansea City 2-3 Manchester City

Encik Bakri oleh Encik Bakri 3 bulan yang lalu

Manchester City mencipta kebangkitan sensasi di peringkat suku akhir Piala FA apabila bangkit membenam Swansea untuk kembali ke laut selepas ketinggalan dua gol kosong.

Swansea didepan pada minit ke-20 apabila Matt Grimes menyempurnakan sepakan penalti dan 9 minit kemudian Liberty Stadium bergema lagi.

Belum habis Manchester City tersentak, Bersant Celina menggandakan kedudukan menerusi satu bola lencong cantik.

The Citizen membuat serangan menggila untuk mencari dan menguasai sepenuhnya perlawanan dan selepas sejam tiada lagi jaringan terhasil.

Pada minit ke-64 Sergio Aguero dimasukkan dan ternyata pemain Argentina itu berjaya mengubah nasib dan memulakan aksi kebangkitan City.

Hanya 5 minit dipadang Aguero perlukan untuk mencipta bantuan gol buat Bernardo Silva sekaligus merapakan kedudukan melalui satu rembatan cantik.

Kemudian City mendapat sepakan penalti selepas Raheem Sterling dijatuhkan dan Aguero menggalas tugas mengambil sepakan penalti.

Ternyata tuah Aguero sungguh kuat apabila tergelincir ketika membuat sepakan lalu bola deras menuju tiang dan melantun keluar.

Bola lantunan itu terkena kaki penjaga gol Swansea, Kristoffer Nordfeldt dan dikira sebagai gol sendiri.

Aguero berpeluang untuk meletakkan City dihadapan pada minit ke-85 namun Kristoffer Nordfeldt tangkas menepis.

Akhirnya aksi adiwira Aguero disudahkan dengan gol kemenangan pada minit ke-88 melalui satu sundulan sesedap rasa.

Kemasukkan Aguero ketika perlawanan berbaki 25 minit nyata merubah perlawanan.

City menguasai hampir 70 peratus penguasaan bola dan melakukan 22 percubaan dan 9 daripadanya adalah cubaan tepat.

Swansea (4-3-3): Nordfeldt 7.5; Roberts 7, Van der Hoorn 7, Grimes 7, Carter-Vickers 6.5; Fulton 8 (Harries 85), Byers 7 (John 73, 6), Routledge 6.5; Dyer 7 (Asoro 61, 6), Celina 7.5, James 7.5

Manchester City (4-3-3): Ederson 6; Walker 6, Otamendi 6, Laporte 5, Delph 4 (Zinchenko 57, 6); B Silva 7, Gundogan 6.5, D Silva 6; Mahrez 5 (Aguero 64, 8), Jesus 5, Sane 5.5 (Sterling 57, 7).




Paparkan Komen