Tukang Cat Jalanan Yang Bakal Menjadi Superstar Di Manchester City

Mohd Hazwan oleh Mohd Hazwan 2 minggu yang lalu

Pada tahun 2014, Brazil telah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia yang merupakan edisi yang ke-20. Ini merupakan kali kedua kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu dianjurkan di Brazil selepas tahun 1950 dan kali kelima diadakan di benua Amerika Selatan.

Di sebuah jalan di bandar Sao Paolo, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun  yang berkaki ayam sedang sibuk mengecat jalan dengan warna rasmi Brazil hijau dan kuning bersama rakan-rakannya yang lain.

Mereka sangat teruja dan tidak sabar sekali  menantikan ketibaan Piala Dunia 2014. Jauh dalam lubuk hatinya dia bercita-bercita untuk mewakili negaranya suatu hari nanti.

Pemain Muda Yang Bercita-Cita Tinggi

Remaja tersebut ialah Gabriel Jesus. Pemain bola sepak remaja untuk pasukan Palmeiras yang mempunyai pendapatan tahunan sebanyak 3500 pound setahun.

Namun cita-citanya untuk melihat pasukan kesayangannya menjuarai Piala Dunia pada tahun tersebut terkubur dan berakhir dengan kesedihan yang sukar diterima.

Sumber: CetusNews

Brazil dibelasah teruk oleh kepada pasukan juara, Jerman dalam perlawanan separuh akhir dengan jaringan 1-7 di depan penyokong sendiri. Gabriel Jesus bermain dengan sangat  cemerlang untuk pasukan remaja Palmeiras.

Dia berjaya menjaringkan banyak gol untuk pasukan remaja dan menarik minat banyak kelab bola sepak di dalam dan juga luar Brazil.

Debut pertamanya bersama pasukan senior Palmeiras hadir pada tahun 2015 pada kejohanan Campeonato Paulista.

Misi Memburu Emas Di Sukan Olimpik 2016

Dua tahun selepas kekecewaan Piala Dunia 2014, bandar Rio de Janeiro menjadi hos untuk Sukan Olimpik 2016 pula. Gabriel Jesus berjaya dipilih untuk menyertai skuad bola sepak Olimpik Brazil yang diketuai oleh Neymar.

Mereka mempunyai misi untuk memburu ibu segala pingat pada temasya Sukan Olimpik tersebut. Brazil belum pernah memenangi pingat emas olimpik untuk acara bola sepak.

Sebelum Sukan Olimpik Rio berlangsung, Manchester City mengumumkan akan membawa Gabriel Jesus ke Etihad dengan nilai perpindahan 27  juta pound dengan kontrak selama 5 tahun dan gaji 75 ribu pound seminggu.

Sumber: Boainformacao

Ternyata pelaburan City untuk mendapatkan pemain muda ini bukan satu kesilapan.

Gabriel Jesus berjaya menjaringkan tiga gol sepanjang Sukan Olimpik berlangsung dan berjaya membantu Brazil memenangi pingat emas acara bola sepak yang pertama buat negaranya dalam sejarah Sukan Olimpik.

Brazil berjaya menewaskan Jerman pada perlawanan akhir melalui penentuan sepakan penalti 5-4 selepas keputusan terikat 1-1 sehingga masa tambahan tamat.

Prospek Masa Depan Manchester City

Musim pertamanya di Manchester City juga bermula agak baik walaupun sering diturunkan sebagai penyerang gantian. Dia telah menjaringkan 7 gol untuk Manchester City dalam 10 penampilan.

Sumber: The Sun

Gabriel Jesus pasti akan memberi saingan hebat kepada Sergio Aguero untuk musim depan dan dijangka membuat penampilan bersama pasukan Brazil dalam Piala Dunia 2018 di Rusia nanti.


Share Tweet


Paparkan Komen