The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

TSAM cabar FMLLP singkir Pamoga Qu Puteh The Red Warrior?

Eikrem pada February 12, 2016

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencabar Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) supaya singkirkan skuad Kelantan daripada pentas Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Cabaran itu dibuat Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa susulan tindakan FMLLP yang membuat keputusan akan menyingkirkan tiga pasukan, termasuk Kelantan sekiranya masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain bernilai RM4.47 juta pada musim lalu.

Annuar berkata, jika mahu industri sukan bola sepak maju, FMLLP perlu melihat sesuatu perkara lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia pasti merugikan semua pihak.

Katanya, bukan soal tidak mahu bayar tunggakan gaji pemain, tapi sebaliknya KAFA masih tidak mempunyai dana untuk menyelesaikan masalah itu lagi.

“Isunya bukan singkir…kita separuh gila berhempas pulas mahu bermain bola tapi arahan itu pula ingin dibuat. Kalau sudah tiada duit, meskipun ‘dipukul mati’, pasti tidak boleh bayar lagi.

“Saya juga mahu betulkan kenyataan bahawa hutang KAFA bukannya sebanyak RM477,000 yang hanya membabitkan lima pemain, tapi lebih RM2 juta untuk 30 pemain masih belum diselesaikan. Bukan saja dengan pemain, tapi dengan kerajaan negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga masih berhutang.

“Mereka kena faham, bila kita dapat tajaan, bukannya boleh terus selesaikan hutang berkenaan sebaliknya KAFA perlu memberi keutamaan kepada pemain yang sedang berkhidmat terlebih dahulu. Kita perlu kuatkan pemain supaya mampu memberi kejayaan besar untuk Kelantan musim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum majlis Perlancaran Jersi keluaran DSV (Datuk Seri Vida) yang bakal disarungkan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), di sini, semalam.

BH Sukan kelmarin melaporkan Kelantan, Felda United dan ATM boleh disingkirkan daripada Liga Malaysia (Liga M) jika masih gagal melunaskan gaji 21 pemain yang tertunggak antara satu hingga enam bulan bernilai RM4.47 juta pada musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, berkata pihaknya akan mengadakan sesi dialog khas bersama pasukan terbabit bagi mendapatkan penjelasan situasi yang dihadapi mereka secara lebih terperinci dalam masa terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, setiap pemain PQPTRW mempunyai kad laporan prestasi semasa supaya pihak pengurusan dapat memantau perkembangan pemain setiap bulan.

Katanya, jika mana-mana pemain tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, pihak pengurusan akan memberi amaran surat hitam putih kepada mereka sebelum tindakan memotong gaji dilakukan termasuk pemain import dengan memendekkan kontrak mereka

“Kita meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berada di kedudukan keempat dalam liga supaya dapat mencabar kejuaraan untuk merebut piala.

Buat masa ini saya sedar kita belum mendapat keserasian sepenuhnya kerana kelambatan kita rekrut pemain import dan tempatan.

“Setiap pemain mempunyai gaya berbeza kerana datang daripada tempat berlainan. Ini yang perlu diusahakan jurulatih untuk menyesuaikan mereka dengan keadaan dan corak permainan Kelantan,” katanya.

Sumber : Berita Harian


Download aplikasi The Sukan di Google Play