The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Gambar: Youtube

Tony Fernandes Tunggu Reaksi FAM

Rusdy Ahmad pada September 11, 2016

Ahli perniagaan Tan Sri Tony Fernandes mengambil sikap tunggu dan lihat selepas memberi bayangan mengenai kesediaannya untuk memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kini dilanda pelbagai kontroversi dan dikritik hebat sejak beberapa lama.

Kesediaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu untuk menjawat jawatan Presiden FAM dilihat ramai pemerhati bola sepak negara sebagai ‘menghulurkan tangan’ pada masa yang tepat tatkala FAM sedang dilanda krisis dan kontroversi, dengan kemuncaknya Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sejak November tahun lalu menyatakan keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Kesediaan pemilik kelab Liga Perdana Inggeris Queens Park Rangers (QPR) dan AirAsia FC yang bersaing dalam Liga FAM itu telah mendapat pelbagai reaksi beberapa pemain veteran, tokoh bola sepak negara termasuk bekas jurulatih skuad kebangsaan, yang rata-ratanya mengalu-alukan kedatangan Fernandes ke FAM.

Enggan terlebih sudu dari kuah, Fernandes, 52, ketika dihubungi Mingguan Malaysia sebaliknya mahu bersikap tunggu dan lihat terhadap maklum balas daripada FAM berhubung kenyataannya itu.

“Masih terlalu awal (untuk dibincangkan mengenai perkara ini) saudara. Kita tunggu dan lihat sama ada mereka (FAM) akan bertanya kepada saya (berhubung kesediaannya untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu),” katanya dalam jawapan menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Mingguan Malaysia bertanyakan tentang berkemungkinan beliau mempunyai sebarang pelan jangka masa panjang, selain berkemungkinan meletakkan sebarang syarat untuk menduduki kerusi No. 1 FAM, sebelum Fernandes menjawapnya dengan ringkas.

Fernandes kelmarin menyatakan kesediaannya untuk menerajui FAM jika persatuan itu serius mahukan khidmatnya sewaktu meraikan kejayaan 21 atlet Asia Tenggara yang meraih pingat dalam Sukan Olimpik Rio, dengan menghadiahkan penerbangan percuma kepada mereka di Bangkok.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan memberi bayangan skuad kebangsaan mampu bangkit kembali menerusi sentuhan Fernandes jika tokoh perniagaan itu menerajui FAM.

Jelasnya, Fernandes merupakan individu berwawasan dan komited dalam menjalankan tugas selain berjaya dalam bidang yang diceburinya.

“Memang bagus, beliau seorang usahawan yang berjaya, bukan sahaja dalam pekerjaan dan perniagaan, malah dalam urusan bola sepak. Beliau memiliki kelab Queens Park Rangers (QPR).

“Nak jadi presiden ini adalah orang yang berwawasan. Saya nampak Fernandes mempunyai kredibiliti untuk mengembalikan dan membangunkan prestasi skuad kebangsaan yang kini sedang tenat.

“Kalau beliau ambil alih, pasti ada perancangan jangka masa panjang termasuk pembangunan dari akar umbi, sebab sistem pembangunan kita masih tidak sempurna. Malah, kita juga memerlukan latihan yang lebih sistematik.

“Saya pasti, kalau Fernandes pegang (jawatan presiden FAM), pasti beliau akan membawa masuk kepakaran dari England atau lain-lain,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, tokoh bola sepak negara Datuk Peter Velappan menyifatkan kesediaan Fernandes untuk mempertimbangkan menjadi Presiden FAM sebagai titik tolak ke arah tranformasi positif badan induk tersebut.

Sumber : Utusan Online


Download aplikasi The Sukan di Google Play