The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Tokoh Pembangunan Sukan Berbasikal Perlis, Maniam Manickam Meninggal Dunia

Encik Bakri pada June 18, 2015

KUALA LUMPUR: Tokoh pembangunan sukan berbasikal Perlis, Maniam Manickam, 65, meninggal dunia akibat sakit tua di sebuah klinik swasta di Sri Petaling di sini pada Rabu.

Bekas naib presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) itu meninggal dunia pada pukul 11.35 pagi ketika menerima rawatan susulan di klinik tersebut, kata cucunya S. Karthikgesan, 18.

“Datuk sudah lama sakit dan badannya lemah. Saya membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jenazahnya dibawa pulang ke kediaman mendiang di Kangar, Perlis dan upacara pengebumian dijangka diadakan di Tanah Perkuburan Bahai di Jejawi, Kangar, esok.

Maniam, pengasas Kejohanan Berbasikal Terbuka Perlis yang pertama kali dianjurkan pada 1982 dan kekal sehingga kini, meninggalkan balu, M. Muniamah, 63, dan enam orang anak.

Mendiang bersara sebagai penjaga stor di Majlis Perbandaran Kangar.

Maniam banyak berjasa dalam bidang sukan negara dengan menjadi pegawai tertinggi dalam persatuan sukan negeri, termasuk menyandang jawatan setiausaha Persatuan Berbasikal Perlis serta beberapa persatuan lain seperti olahraga dan kabadi.

Sepanjang penglibatannya hampir 40 tahun, beliau dinobatkan Anugerah Untuk Semua Sukan daripada kerajaan negeri Perlis pada 2009.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata sukan tanah air khususnya sukan berbasikal merasa satu kehilangan yang besar.

“Maniam memang bergiat aktif dalam sukan negara, bukan hanya dalam sukan berbasikal, beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan tinggi dalam persatuan negeri bagi sukan-sukan lain.

“Jasa dan pengorbanannya dalam dunia sukan selama bertahun-tahun ini memang tiada ganti…sukar untuk kita jumpa seseorang yang begitu mencintai sukan sepertinya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Naim berkata PKBM akan berbincang untuk menyalurkan sumbangan atau bantuan kepada keluarga Maniam yang banyak membantu memartabatkan sukan berbasikal negara.


Download aplikasi The Sukan di Google Play