The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

TMJ Satu-Satunya Wakil Dari Asia Tenggara Untuk Berucap di Persidangan Bola Sepak Dunia 2016

Encik Bakri pada October 13, 2016

TMJ terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila diberi peluang untuk berucap di Persidangan Bola Sepak Dunia 2016, lebih manis TMJ merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara yang berucap pada persidangan tersebut. Ikuti berita penuh yang bersumber dari Berita Harian.

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakar sejarah bola sepak tempatan apabila menjadi satu-satunya wakil dari Asia Tenggara untuk berucap pada Persidangan Bola Sepak Dunia 2016 di Madrid, akhir bulan ini.

Menerusi kenyataan daripada akaun Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers, jemputan itu disifatkan sebagai penghormatan dan pengiktirafan tertinggi kepada pemilik pasukan JDT itu selepas reputasinya merevolusikan bola sepak di negeri terbabit.

“Malah ini membuktikan betapa dunia menghargai sumbangan yang dilakukannya terhadap sukan bola sepak di negeri Johor dengan pendapatnya bakal didengar oleh nama-nama besar dalam sukan bola sepak antarabangsa.

“Beliau akan bersama-sama untuk memberi pendapat dan berkongsi pengalaman bagi kemajuan bola sepak antarabangsa, pembangunan akar umbi, pemasaran serta hal berkaitan industri bola sepak,” kata kenyataan itu, semalam.

Ini sekali gus meletakkan Tunku Ismail sebaris dengan beberapa nama besar di peringkat antarabangsa yang turut memberikan ucapan seperti Ketua Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil; Pengarah Besar Korporat La Liga, Javier Gomez dan Timbalan Ketua Eksekutif Pemain Bola Sepak Profesional, Bobby Barnes.

Selain individu berpengaruh dalam sukan bola sepak, beberapa nama tersohor turut mengesahkan untuk memberi ucapan pada persidangan bola sepak terbesar itu antaranya Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar, Dr Thani Abdul Rahman Al Kuwari; Pengarah Media Twitter, David Nunez serta Pengarah Urusan Sportradar, Stefan Leibhard.

Persidangan Bola Sepak Dunia 2016 itu adalah persidangan bola sepak berskala besar pertama yang berlangsung di Sepanyol pada 27 dan 28 Oktober ini dengan menampilkan pembabitan individu berkepentingan dalam industri bola sepak.

Lebih 30 individu yang memiliki reputasi besar mewakili pasukan, media, institusi, badan bukan kerajaan dan sektor teknologi bakal membincangkan isu semasa berkaitan bola sepak pada persidangan terbabit. Selain itu, lebih 500 wakil syarikat, pelabur dan institusi berkaitan industri bola sepak turut menyertai persidangan itu sekali gus membuka ruang kepada peluang usaha sama yang lebih besar.