The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

TMJ : Misi FAM Terpaksa Menyelamatkan PDRM Oleh Kerana Hendak Membantu Pahang

Encik Bakri pada October 28, 2016

Isu kad kuning dan pemotongan mata terus panas apabila TMJ membuat kenyataan melalui Facebook Johor Southern Tigers mendakwa FAM mahu memotong mata JDT kerana mahu selamatkan PDRM yang diurus oleh Menantu Datuk Zahid Hamidi.

Dalam kenyataan itu juga TMJ menyatakan Pahang patut tersingkir kerana membuat bantahan selepas 72 jam kerana statut FAM yang jelas menyatakan 72 jam selepas perlawanan tidak boleh ada apa-apa protes.

TMJ juga menimbangkan untuk membongkarkan korupsi FAM Di World Football Summit. Sebelum membaca kenyataan penuh TMJ, Ayuh kita lihat kronologi pemotongan mata kedah yang menyelamatkan Pahang dari tersungkur ke Liga Perdana.

kronologi-kes-kad-kuning-kedah

Tiada Surat Rasmi Penggantungan Lucero

Berkenaan dengan isu penggantungan Juan Martin Lucero (yang dikatakan telah menerima tiga kad kuning). Yang pertama, kami telah jelaskan bahawa tidak ada pihak yang memaklumkan kepada kami, baik daripada pihak FAM atau pun pihak FMLLP. Komisioner perlawanan sepatutnya harus lebih tahu sebelum perlawanan mengenai pemain mana yang boleh bermain, dan pemain mana yang tidak. Tetapi sewaktu pasukan menghadiri mesyuarat bersama komisioner perlawanan, tidak pula dinyatakan kepada kami bahawa Lucero digantung. Tiada sebarang surat rasmi atau sebarang surat hitam putih yang kami terima daripada Jabatan Perundangan (Legal Dept) FAM.

FAM Mahu Selamatkan PDRM Yang Diurus Menantu Datuk Zahid Hamidi

Tetapi sekarang, soalan saya adalah berkaitan statut FAM yang jelas menyatakan 72 jam selepas perlawanan tidak boleh ada apa-apa protes, kenapa pula Jawatankuasa Tatatertib (Disciplinary Board) FAM memanggil sidang mesyuarat dan memutuskan keputusan iaitu Pahang mendapat tiga (3) mata percuma selepas dua bulan? dan juga pada masa ini cuba pula menyelamatkan PDRM yang diuruskan oleh menantu YAB Datuk Zahid Hamidi, Timb. Perdana Menteri. Dalam masa yang sama, orang dalam FAM, exco dan yang lain-lain tidak suka kepada pasukan Pulau Pinang, kerana pasukan Pulau Pinang turut diuruskan oleh Datuk Gary Nair (Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang). Datuk Gary Nair adalah musuh FAM kerana beliaulah yang membantah berkenaan polisi Sultan Pahang sebagai Presiden FAM (sewaktu Sultan Pahang menjadi Presiden FAM). Oleh itu, FAM pada masa ini hendak menurunkan Pulau Pinang kerana hendak menyelamatkan pasukan yang penting bagi mereka dan FMLLP.

Pahang Patut Tersingkir

Jadi isunya begini, bagaimana hendak menyelamatkan PDRM? Potong 3 mata JDT! Persoalan saya sekarang ini adalah yang sepatutnya menerima penyingkiran adalah pasukan Pahang. Kerana sudah dua bulan. Dalam statut tersebut jelas mengatakan selepas 72 jam mana-mana pasukan tidak boleh membuat sebarang protes atau bantahan. Itu adalah undang-undang. Jadi selama ini, apa yang telah ditunjukkan kepada saya adalah semua keputusan yang dilakukan sendiri oleh Ahli Jawatankuasa Tatatertib tanpa merujuk kepada statut tersebut. Dalam Jawatankuasa Tatatertib tersebut, semua sekali adalah merupakan “orang kuat” yang telah menerima gelaran Datuk (saya tak nak cakap daripada mana), tapi itulah kenyataannya.

Ahli Jawatankuasa Tatatertib ini telah membuat mesyuarat untuk membuat keputusan bagi memberi PDRM tiga mata kerana hendak menyelamatkan PDRM. Jadi sekarang ini oleh kerana hendak membantu rakan iaitu pasukan Pahang dan PDRM. Jadi sekarang ini oleh kerana hendak membantu rakan iaitu pasukan Pahang dan PDRM, yang lain pula terpaksa jadi mangsa. Terengganu jadi mangsa, Pulau Pinang jadi mangsa dan sekarang ini hendak menjadikan JDT mangsa terbaru. Jika diikutkan saya tidak perlu ambil peduli, tiga mata ditarik pun kami tetap juara tetapi perkara ini tidak adil kerana saya kasihankan pasukan-pasukan lain, ini disebabkan ada orang lain dalam FAM dan FMLLP yang hendak membantu rakan mereka. CEO FMLLP Kevin Ramalingam adalah rakan baik Fahrizal, bekas CEO Pahang FC.

Akan Bongkar Korupsi FAM Di World Football Summit?

Saya yang kini berada di Madrid, dimana saya ingin memberi ucapan tentang usaha kita membantu bola sepak tanahair Malaysia dan bola sepak di Asia Tenggara serta beritahu mereka mengenai pencapaian JDT, dan buat masa ini jikalau macam inilah perangai orang FAM, saya akan tukar fikiran. Saya akan ceritakan di mata dunia, seluruh dunia yang berada di ‘World Football Summit’ betapa korupnya FAM. Apabila saya sampaikan, dengan secara tidak langsung akan menjatuhkan air muka negara. Saya mahu bertanya, adakah mereka mahu air muka bola sepak tanah air ini jatuh oleh kerana mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dan korup ini? Pilihan itu ada di atas tangan mereka.

FAM ketika ini terpaksa memotong mata JDT untuk menyelamatkan Pahang. Mereka perlu menghukum JDT. Ini kerana jika tidak memotong mata JDT, PDRM akan protes kenapa Pahang boleh membuat bantahan selepas 72 jam tetapi PDRM tidak boleh? Sepatutnya bukan PDRM yang tersingkir. Tetapi pasukan yang telah membuat bantahan selepas 72 jam iaitu melanggar statut FAM dan undang-undang. Saya berjanji akan membunuh korupsi dalam FAM, membantu bolasepak tanahair dan pasukan kebangsaan.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Sumber : Johor Southern Tigers