The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

TMJ : Jangan Guna Slogan ‘THIS IS SELATAN’ Kerana Hanya Ada Satu ‘KING’ Sahaja Dalam Selatan

Encik Bakri pada September 24, 2016

Semalam telah diadakan sesi dialog DYAM Tunku Mahkota Johor di bilik Sidang Media di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos. Dalam dialog tersebut TMJ telah menekan berberapa perkara seperti pasukan bolasepak haruslah berjimat dalam perbelanjaan dan mengikut kemampuan. TMJ juga menjelaskan kejayaan dan perangcangan pasukan JDT. Antara perkara lain yang di sebut adalah mengenai rasuah, FAM dan banyak lagi. Ikuti initpati dialog tersebut yang di petik dari page Johor Southern Tigers di bawah.

SESI DIALOG BERSAMA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR | 23HB SEPTEMBER 2016

1. Kejayaan menjuarai Liga Super Malaysia tiga kali berturut-turut adalah kejayaan yang paling istimewa bagi saya di antara kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh pasukan ini sejak saya mengambil alih JDT pada tahun 2013. Ia adalah sesuatu yang telah saya rancangkan dari tahun 2015, bahawa JDT akan menjadi pasukan pertama memenangi Liga Malaysia untuk tiga kali berturut-turut.

2. Sewaktu saya memecat Bojan Hodak pada tahun 2015, ramai penyokong termasuk penyokong luar asyik memberikan soalan dan tentangan mengapa jurulatih yang telah membawa dua piala kejayaan kepada JDT dipecat? Jadi pada hari ini saya rasa, saya tidak perlu memberi jawapan mengapa, anda sendiri boleh lihat.

3. Tiada sesiapa yang mengesyorkan Mario Gomez kepada saya. Saya sendiri pergi ke Argentina untuk berjumpa dengannya selepas menyaksikan perlawanan antara South China dan pasukan Pahang. Selepas South China berjaya mengalahkan pasukan Pahang, saya minta agen saya untuk menetapkan pertemuan antara saya dan Mario di Argentina. Beliau bukan hanya seorang jurulatih untuk jangka masa pendek tetapi beliau adalah jurulatih untuk jangka masa panjang.

4. Saya telah menghantar ramai jurulatih kelahiran Johor yang kini sedang berada di Sepanyol, Jerman dan juga di Jepun kerana pada suatu hari nanti jika kita sudah belajar segala kemahiran yang ada, barulah kita akan ada jurulatih tempatan yang bukan sahaja menerima ilmu dari luar negara tetapi bakal menjadi jurulatih untuk pasukan JDT satu hari nanti. Itu perancangan saya.

5. Berkenaan memanggil pemain yang sudah bermain di luar negara untuk berkhidmat untuk skuad kebangsaan, saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Mereka bermain di kelab yang lebih baik dan ianya patut diteruskan kerana mereka menerima pendedahan yang lebih baik. Sebelum kita memberi pandangan atau cadangan, kita perlu lihat dahulu di mana kedudukan kita. Tengok cermin, dan cermin muka masing-masing dahulu.

6. Saya sering mendidik pemain-pemain di akademi agar tidak menetapkan sasaran mereka sekadar untuk bermain di JDT, tetapi tetapkan sasaran untuk bermain di kelab Eropah. Kerana sebaik mereka kembali, mereka bukan sahaja akan membantu kelab JDT tetapi secara tidak langsung membantu pasukan kebangsaan. Itu adalah perancangan saya sejak dahulu lagi.

7. Memenangi Piala AFC adalah kejayaan tertinggi, tetapi ia bukan dalam perancanan saya. Ia adalah bonus kerana niat saya hanyalah untuk bertanding dalam Piala AFC pada setiap tahun. Apa sahaja yang saya lakukan, saya mahu menjadi pasukan yang pertama dalam negara melakukannya. Contohnya seperti tahun lepas, saya mahu menjadi kelab pertama yang melepasi peringkat suku akhir Piala AFC. Alhamdulillah ia menjadi kenyataan dan rezeki kita apabila berjaya menang Piala AFC.

8. Perancangannya selepas habis musim liga dan Piala AFC, pemain-pemain akan dihantar ke Sepanyol untuk perlawanan pra-musim. Saya akan bawa pemain ke Valencia dan Atletico Madrid. Dan daripada situ kami akan balik, kerana kami mendapat jemputan daripada Buriram, Thailand yang akan menanggung semua kos untuk kami bermain perlawanan persahabatan dengan mereka dan untuk mengadakan perhubungan kolaborasi antara Buriram dan JDT.

9. Di JDT, polisi dan falsafah yang ditetapkan oleh kelab adalah mudah, iaitu untuk sentiasa menjadi yang pertama dan menjadi peneraju dalam segala aspek sama ada di dalam dan juga di luar padang.

10. Saya ingin berterus terang, bukan kerana disebabkan angkuh atau mahu berlagak, tetapi saya adalah orang paling sesuai untuk mengubah bola sepak tanahair. Bukan mahu cakap besar, tetapi saya tahu saya mempunyai formula dan formula itu telah berjaya dalam JDT.

11. Sekiranya saya mengambil alih skuad kebangsaan, mereka pasti boleh lakukan perkara yang sama sepertimana JDT tetapi bukanlah terus menang. Anda kena tahu, secara realistiknya banyak kelemahan dalam FAM untuk tempoh 30 tahun, jadi sekiranya saya ambil alih pun sekurang-kurangnya saya memerlukan 4 tahun untuk mengubahnya. Walaubagaimanapun, saya tidak boleh lakukan kerana komitmen saya adalah di sini (Johor). Apa yang boleh saya lakukan adalah membantu memberikan pandangan.

12. Fokus saya masih di sini (JDT), kerana banyak lagi tugasan saya yang belum selesai seperti belum lagi layak ke pentas saingan ACL, stadium baru dan akademi baru juga masih belum siap.

13. Setiap kali bila orang tanya saya berkaitan menjadi Presiden FAM, saya macam 50/50. Kerana saya tahu perubahan yang saya boleh lakukan. Tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu. Hanya penyokong JDT sahaja yang menghargai perubahan yang saya buat. Tetapi orang lain yang rasa macam dah pandai sangat, terutama dalam laman web ‘lain-lain’. Saya rasa kenapa tidak lantik mereka sahaja untuk menguruskan pasukan bola sepak tanahair, kenapa perlu saya pulak?

14. Pernah sekali sewaktu saya pergi melihat pasukan kebangsaan bermain Piala AFF Suzuki di Singapura, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta saya agar masuk ke bilik persalinan untuk memberi semangat dan menaikkan motivasi pemain-pemain. Saya kemudiannya pergi ke bilik persalinan itu, tetapi saya tidak tahu nak cakap apa. Di Johor, saya tahu apa yang nak dicakapkan dan saya tahu bagaimana nak naikkan semangat pemain. Ini kerana kasih sayang saya terhadap negeri saya, termasuklah pemain-pemain yang memakai baju JDT dan kami berada di dalam satu organisasi yang dianggap seperti keluarga. Tetapi dengan pasukan kebangsaan saya tidak tahu apa nak cakap dan kebanyakannya bukan pemain saya. Saya boleh memberi motivasi untuk mengingatkan agar menjadi pemain profesional tetapi saya rasa itu tidak kena kerana ia tidak datang daripada hati, ia datang daripada mulut saya. Saya lebih suka apa yang saya sampaikan datang daripada hati saya.

15. Hanya penyokong JDT sahaja yang menghargai perubahan yang saya lakukan. Jadi tugas saya adalah di sini, iaitu tempat di mana saya dihargai, dan saya boleh memberi komitmen sepenuhnya dan tempat saya boleh berkongsi kejayaan dengan orang-orang yang bermakna dalam hati saya.

16. Bukan saya memandang rendah kepada negara, tetapi saya adalah seorang yang jujur dan telus. Saya tidak boleh memberikan komitmen yang sama kepada pasukan kebangsaan sepertimana dengan JDT, kerana cinta saya adalah kepada kelab JDT dan bukannya pasukan kebangsaan. Saya suka apabila saya sampaikan sesuatu bukan datang daripada mulut tetapi datang daripada hati saya.

17. Nasihat saya kepada kelab-kelab lain, sekiranya anda mempunyai RM10 anda perlu menggunakan RM5 sahaja dan menyimpan bakinya, bukannya ada RM10 tetapi menggunakan sebanyak RM15 dan terpaksa berhutang. Jikalau tidak mampu membeli Ferrari, belilah Toyota dahulu.

18. Untuk membantu FAM, kemungkinan adalah sukar. Tetapi untuk memberikan pendapat, visi serta polisi untuk mempertingkatkan mutu bola sepak dan memperbaiki bola sepak tanahair dalam segala aspek, Insya-Allah.

19. Saya telah menerima panggilan daripada Terengganu FC untuk datang berjumpa dan belajar, Melaka pun pernah datang untuk ‘pre-season’ di sini dan bertanya bermacam-macam perkara. Sama juga dengan Pulau Pinang. Ini adalah kelab-kelab yang tahu mereka tidak boleh menentang kelab yang mempunyai RM20 juta dari segi perbelanjaan. Sekiranya hanya ada RM10 juta, gunakan hanya RM5 juta sahaja untuk perbelanjaan.

20. JDT telah kehilangan banyak dana pada tahun 2013, jadi saya belajar daripada kesilapan waktu itu, dan alhamdulillah kita diberikan kelebihan rezeki dan kita gunakan peluang sebaiknya untuk meletakkan dana tersebut di saluran yang betul.

21. Persatuan Bolasepak Melaka pun ada bertemu saya, beritahu tahun hadapan mereka akan berada di dalam Liga Super, jadi saya ucapkan tahniah. Kemudian mereka bertanya lagi kepada saya apa lagi yang perlu mereka lakukan untuk mempertingkatkan prestasi pasukan? Saya cakap, kalau ada RM10 guna RM5 sahaja. Dan saya juga kata jangan guna slogan ‘THIS IS SELATAN’, kerana hanya ada satu ‘KING’ sahaja dalam selatan, dan anda tahu siapa dia. Kita tidak perlukan tiga pasukan untuk mengalahkan satu pasukan.

22. Kita akan adakan kembara/jelajah seperti kembara mahkota untuk penyokong di setiap daerah dan akan diperbincangkan dengan pihak PBNJ tarikh dan masa yang sesuai untuk melaksanakannya. Itu memang dalam perancangan kami.

23. Stadium baru dijangka siap mungkin akhir tahun 2017. Insya- Allah. Jikalau menang lagi liga pada tahun hadapan, saya berharap Piala Sumbangsih akan diadakan di stadium baru. Selepas stadium baru sudah siap, kami akan ambil beberapa batu dan tanah di stadium Larkin untuk menunjukkan bahawa stadium kita sudah siap. Saya akan letak tanah itu di padang baru, dan batu di tembok stadium baru.

24. Saya berharap untuk perlawanan esok (JDT vs T-Team) kita tidak akan kalah. Seandainya kalah, kejuaraan liga tetap milik kita cuma saya harap kita dapat kekalkan rekod tidak pernah kalah. Saya sudah berbincang dengan ketua jurulatih, bahawa kami terpaksa merehatkan beberapa pemain untuk menghadapi perlawanan (Piala AFC) pada 28hb September 2016. Kemungkinan kita akan berikan peluang kepada beberapa pemain simpanan kami untuk bermain dan pemain utama tidak akan bermain untuk tempoh 90 minit.

25. Di stadium baru nanti akan ada muzium, pusat membeli-belah mini untuk jualan barangan produk rasmi dan juga restoran, surau yang lebih besar dan bilik untuk kanak-kanak bermain serta bilik untuk bayi. Saya buat serba lengkap untuk penyokong-penyokong menyaksikan perlawanan JDT.

26. Buat masa ini, status pemain nombor 17 (Amri Yahyah) dan 10 (Safee Sali), saya serahkan kepada jurulatih untuk sama ada teruskan bersama mereka, atau mereka berhijrah. Itu pun terletak kepada pemain itu sendiri, jika dia mahu bersama kita atau hendak berhijrah ke pasukan lain. Tetapi ini bukan masa yang sesuai untuk kami bincangkan kerana musim bola belum berakhir. Tunggu selepas habis musim baru kami boleh bincangkan mengenai masa depan pemain termasuk para jurulatih.

27. Mengenai logo JDT, dahulu saya pernah bagi cadangan untuk semua sukan menggunakan logo JDT, dan saya pernah katakan kepada Persatuan Ragbi yang mewakili Johor agar memakai lambang JDT tetapi mereka mempunyai jawapan yang pada saya logik. Iaitu mereka telah lama dengan lambang dan tradisi tersebut, jadi mereka mahu mengekalkan tradisi itu dan saya menghormati pandangan tersebut.

28. Sehingga sekarang saya belum berpeluang untuk bertemu dengan admin-admin laman web tidak rasmi (unofficial). Panggil diri sendiri pun admin, muka tidak pernah nampak, berdepan pun tidak mahu. Saya sangat ingin bertemu dengan mereka, berbincang mengenai bola sepak, mungkin idea mereka lebih bagus dari kita, mana kita tahu? Saya pun ada idea saya sendiri untuk dibincangkan. Awak boleh pergi baca di sesetengah laman sosial yang kononnya mewakili malaya jika nak tahu mengenai idea bola sepak, di situ semua orang pandai-pandai yang tulis panjang ibarat tahu segalanya mengenai bola sepak dan orang lain tidak tahu pasal bola sepak. Itu pasal mereka hanya mentadbir laman web sahaja dan mentadbir sebuah pasukan atau mana-mana kelab bolasepak dan itu sebab mereka tidak memenangi apa-apa piala dan saya dah memenangi 7 piala kerana mereka lebih pandai daripada saya.

29. Untuk menaikkan tahap liga tidak sukar, pastikan FMLLP memberikan program pendidikan yang sepatutnya kepada semua yang mentadbir kelab-kelab bola sepak, kakitangan, ahli-ahli jawatankuasa termasuk presiden dan semua sekali yang terlibat.

30. Untuk FMLLP punya perjanjian, pada saya sepatutnya RM5 juta diberikan kepada Liga Super. Anda tidak boleh beri RM1 juta kepada Liga Super dan RM1 juta kepada Liga Premier kerana jika tiada perbezaan, untuk apa mereka perlu berusaha naik ke Liga Super? Anda harus membuatkan mereka ada keinginan untuk naik ke Liga Super barulah wujud persaingan. Sebagai contoh, sekiranya anda beri RM5 juta kepada Liga Super dan RM2 juta kepada Liga Premier, mereka di Liga Premier pasti akan cuba lebih gigih untuk naik ke Liga Super.

31. Dana yang diberikan oleh hak penyiaran kepada FMLLP dan FAM sepatutnya digunakan untuk melaksanakan undang-undang agar mana-mana pasukan dalam negara yang bertanding perlu mempunyai program akar umbi sendiri. Jika terdapat pasukan yang tiada padang latihan sendiri, stadium sendiri, tiada akademi sendiri tidak boleh bertanding dalam Liga Malaysia. Begitulah seperti yang Jerman dan Sepanyol lakukan. Tetapi walaubagaimanapun, kita masih boleh bertolak ansur mengenai padang latihan dan stadium tetapi akademi sendiri mesti ada.

32. FMLLP perlu mengadakan lebih banyak kursus kejurulatihan kerana tahap jurulatih kita masih rendah jika dibandingkan dengan jurulatih dari luar negara. Oleh itu, dapatkan jurulatih dari luar negara, ianya tidak mahal pun untuk seminar selama dua minggu dan jurulatih dari semua kelab perlu hadiri seminar tersebut.

33. Kita juga perlu mendidik, membimbing dan mengajar anak-anak kita daripada peringkat umur 8 tahun sehingga ke pasukan senior dalam kelab untuk atasi gejala rasuah. Jikalau sesiapa ditangkap, FAM atau FMLLP perlu gantung seumur hidup kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sama juga seperti pengadil, jikalau ada pengadil yang disiasat dan kita dapati suspek terlibat dalam mengatur perlawanan, maka jurulatih tersebut tidak sepatutnya digantung tiga bulan tetapi digantung seumur hidup..

34. Anda tidak perlu ada RM10 juta dan anda guna RM15 juta, kemudian terpaksa berhutang dan anda berjumpa Dato’ Najib minta duit. Saya tahu kelab mana yang minta duit malah ada juga kelab dari pantai timur baru-baru ini, minta RM2 juta daripada kerajaan.

35. Saya menegaskan dan memberi nasihat ini secara terbuka. Kepada Perdana Menteri, jangan dilayankan permintaan itu kerana wang kerajaan adalah wang rakyat untuk perubatan, pendidikan dan semua hal ehwal rakyat, bukannya bola sepak. Dana bola sepak sepatutnya datang daripada penaja yang ada syarikat atau perniagaan. Di Johor, semua wang yang saya perolehi adalah datang dari penaja dan pelabur asing di Johor. Takkanlah tiada pelabur di Selangor? Takkan tiada pelabur di Terengganu? Tetapi sekiranya penaja itu mahu beri RM2juta tetapi anda pula minta RM10juta, memanglah orang itu tidak mahu beri anda wang.

36. Cukuplah dengan gejala rasuah, kita perlu hapuskan dan mencari apa sahaja jalan penyelesaian yang boleh untuk mengawasi rasuah.

37. Berkenaan Frenz United, jika saya pemilik kelab itu, dengan cara En Rashid menggunakan duit, duit saya pun akan habis. Itu yang saya katakan jika kita ada RM10, jangan guna RM20. Kerana anda telah berbelanja lebih dari duit yang ada.

38. Terus-terang saya katakan, tahun depan kita dapat sedikit sahaja berbanding tahun ini. Saya mungkin hanya menggunakan satu atau dua import sahaja asalkan kelab tiada hutang dan krisis kewangan. Tidak kuat dan tidak menang pun tidak mengapa, ini adalah bola sepak. Bola sepak ada tahun anda menang, ada tahun anda kalah, kita tidak boleh menang sepanjang masa. Mesti ada kalah.

39. Majoriti pemegang saham dalam Yayasan JDT adalah penyokong, di situ anda boleh bersuara secara formal dalam setiap mesyuarat, tidak kisah mengenai penjualan tiket, program akar umbi, pemain-pemain, atau jurulatih-jurulatih. Anda boleh dapat lebih banyak peluang untuk bersuara dan menjadi sebahagian daripada kelab JDT.

40. Mengenai beberapa kelab Eropah yang datang ke Johor, mereka sendiri yang mahu berkunjung kerana mahu melihat sendiri JDT. Kerana kami adalah seperti yang anda lihat, saya dan Peter Lim (pemilik Valencia) adalah bersahabat. Kami semua adalah dari bola sepak, dan dari perniagaan yang sama.

41. JDT bukan sekadar kelab, tetapi kami adalah komuniti. Saya beri anda contoh, ini adalah peribadi bagi saya tetapi saya hanya mahu berkongsi dengan anda supaya anda memahaminya. Memandangkan JDT meningkat naik sejak 2013 sehingga ke hari ini, setiap kali kelab menang, saya akan menyumbang beberapa wang kelab kepada orang yang memerlukan di setiap daerah.

42. Apabila saya katakan ‘This Club Is Bigger Than A Club’, tiada siapa yang memahami apa yang saya katakan itu. Ini kerana kelab telah memberikan sumbangan yang banyak. Contohnya semasa banjir di Kelantan, kami menyumbang hampir RM500,000. Kami juga menyumbang jumlah yang sama kepada Sabah semasa mereka mengalami gempa bumi. Juga kepada Nepal semasa mereka mengalami gempa bumi. Walaupun tidak banyak, tetapi sentiasa akan ada sumbangan daripada kelab kerana kelab ini melambangkan negeri Johor.

43. Adakah anda sedari, beberapa individu dari luar negara datang ke Johor dan menyokong idea saya. Tetapi individu di dalam negara saya sendiri, terutama orang Melayu tidak menghormati atau menyokong idea saya. Kenapa? Kerana mereka berfikir menggunakan emosi bukan kepala otak Anda tidak sepatutnya berfikir sedemikian, anda perlu menghakimi seseorang berdasarkan kredibiliti dan ilmu. Bukan berdasarkan perasaan cemburu dan iri hati anda. Kerana itu anda tidak akan dapat membuat keputusan yang tepat. Sekiranya anda lihat orang di luar negara, jika anda melakukan sesuatu yang betul, mereka akan datang kepada anda dan mengucapkan tahniah.

44. Anda perlu bijak dalam persaingan, dan dalam masa yang sama kekalkan kedudukan kelab anda.

45. Bagi saya, sekiranya anda seorang lagenda atau pun tidak, jika anda mempunyai idea yang bagus dan dapat membantu kelab, anda boleh bekerja untuk JDT. Jika anda adalah lagenda tetapi idea anda agak sama dengan mereka yang bukan lagenda dan gaji anda terlalu tinggi, kami tidak mampu.

46. Secara jelasnya, kami perlu lebih berhati-hati dengan bagaimana kami menggunakan wang kami. Kami perlu bersikap realistik. Saya tidak suka menipu dan memberi harapan palsu kepada penyokong.

47. Kerajaan sepatutnya memberi lebih ruang kepada orang muda yang berpelajaran untuk bertukar idea-idea baru dan inovasi kerana anda sepatutnya mempunyai aset. Di dalam negara, kita ada individu-individu muda yang berbakat dan sangat berpendidikan yang boleh menyumbang kepada kerajaan yang mentadbir. Tetapi jika kita tidak menjaga individu-individu ini dan mereka rasa tidak boleh memberi manfaat untuk menjadikan negara ini sebagai satu tempat yang lebih baik, jelas mereka akan hilang harapan. Kerana itu saya katakan jika hendak melihat kerajaan yang memerintah lebih maju, anda perlu mempunyai aset bukannya liabiliti kerana sesetengah menteri-menteri pada masa kini adalah liabiliti dan bukannya aset. Sistem hiraki perlu berubah.

48. Semasa pertemuan saya bersama Perdana Menteri, saya bertanya kepada beliau “Dato, saya risau dengan apa akan terjadi kepada negara pada masa akan datang, kerana anda adalah kerajaan persekutuan yang mentadbir negara. Cubit peha kiri, peha kanan akan terasa, apa sahaja yang terjadi kepada ketidakstabilan dalam politik Malaysia akan memberi kesan kepada negeri saya, jadi saya mahu tahu apa polisi kerajaan”. Kemudian saya memberi pandangan beliau agar sentiasa melaksanakan apa sahaja polisi yang telah ditetapkan, bukan hanya bercakap.

49. Negeri Johor sentiasa bersikap neutral dan profesional. Sekiranya saya bersuara atau menyuarakan pendapat, bukan bermakna anda adalah musuh saya. Anda kena faham bahawa tugas kita adalah sama iaitu berkhidmat untuk rakyat. Jadi apa yang kita lakukan, yang pertama mesti mengutamakan rakyat. Jangan fikir diri sendiri sahaja. Saya sedih kerana seperti yang DYMM pernah bertitah baru-baru ini kebanyakan ahli politik pada masa kini kebanyakannya lebih mengejar kuasa. Berkorban untuk kuasa lebih banyak daripada berkorban untuk rakyat.

50. Negeri Johor sangat kaya, negeri Johor dari Laut China Selatan sehingga ke Selat Melaka semuanya laut. Laut adalah rezeki, pantai adalah rezeki. Rezeki itu adalah hak mutlak negeri Johor.


Download aplikasi The Sukan di Google Play