The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

TMJ Dedahkan Bagaimana Pegawai Dan Pemain Memanipulasikan Wang Kelab

Encik Bakri pada November 29, 2016

Isu ini bukanlah perkara baru dalam bola sepak Malaysia dan telah menjadi bualan di bibir peminat bola sepak sambil menghembus asap rokok Surya di kala menikmati secangkir kopi di warung-warung. Tetapi tiada perincian khusus bagaimana perkara ini berlaku.

TMJ melalui laman rasmi JDT iaitu Johor Southern Tigers telah mendedahkan bagaimana pegawai-pegawai dan para pemain kelab memanipulasikan wang kelab berdasarakan pengalaman selama 4 tahun dalam bola sepak.

Perkara ini berlaku kerana pihak yang terlibat tidak ambil peduli kerana ia bukan wang mereka tetapi wang kerajaan berbeza dengan JDT kerana wang di JDT adalah pemberian penaja dan penyokong.

Pemain Import

TMJ telah menjelaskan terdapat dua jenis pemain import yang wujud di Malaysia.

Berkaitan perkara mengenai pemain import, hanya terdapat dua jenis pemain yang bermain di Malaysia, yang pertama adalah pemain yang dibayar dengan harga yang tinggi, dan kedua pemain yang tidak boleh mendapatkan pekerjaan untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi di Eropah atau Asia.

Saya pernah bertanya soalan ini kepada Pablo Aimar, mengapakah kos lebih mahal untuk membawa pemain ke Asia Tenggara? Beliau menjawab, kerana apabila kita memasuki Asia Tenggara, kita sudah berada di luar radar dunia bola sepak.

Itulah masanya saya mula untuk mempelajari lebih lanjut tentang industri bola sepak. Itulah sebabnya juga apabila JDT menandatangani pemain-pemain yang mahal, ia berserta dengan harga yang akan membolehkan kami untuk menjual mereka kembali ke Eropah atau negara-negara lain.

Wang Segala-galanya Dalam Perniagaan Bola Sepak

Menurut TMJ lagi terdapat pihak mengatakan bahawa wang bukanlah segala-galanya adalah mengarut.

Dalam perniagaan bola sepak, wang adalah segala-galanya. Satu lagi contoh adalah mengapa kelab di Malaysia seringkali menukar pemain import mereka dan perbelanjaan telah menjadi lebih berganda daripada yang sepatutnya.

Jawapannya mudah, ini kerana beberapa jurulatih sengaja menukar pemain supaya mereka boleh berkongsi wang dengan ejen dan mendapat manfaat daripada wang kelab. Ini biasanya berlaku apabila kelab-kelab yang dikendalikan oleh orang-orang yang tidak tahu tentang perniagaan bola sepak.

JDT juga pernah menjadi mangsa pada satu ketika dahulu. Sekarang tidak lagi kerana saya belajar dan memantau segala-galanya. Wang kelab adalah daripada penaja dan penyokong kami dan ia perlu sentiasa dilindungi.

Melainkan jika anda menghabiskan wang rakyat daripada sumber kerajaan, menjual gelaran seperti beberapa pesaing kami, jadi jika begitu ia tidak akan menjadi masalah. Itulah perbezaan antara kami dan mereka. Kami menjalankan perniagaan untuk mengekalkan kelab. Mereka menggunakan kelab untuk membuat wang untuk diri mereka sendiri.

Bukan sahaja melibatkan bolasepak tetapi pegawai kerajaan juga perlu menjaga duit rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi.