The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

TM Piala Malaysia 2015 Semakin Hangat

Encik Bakri pada December 2, 2015

PIALA Malaysia 2015 kembali menunjukkan daya tarikan tersendiri yang mampu membuatkan peminat sukan tanah air bersatu hati, sekali gus menjawab mengapa sukan bola sepak tetap diiktiraf sebagai sukan No. 1 negara ini.

Sebagai permulaan, sepak mula Piala Malaysia edisi ke-89 yang berlangsung sejak awal September lalu dikatakan hambar oleh ramai pihak kerana di­sebabkan oleh beberapa faktor tertentu.

Pertama, para peminat sudah mula bosan dengan dominasi cemerlang yang ditunjukkan oleh pasukan selatan tanah air, Johor Darul Takzim (Johor DT).

Situasi ini berlaku disebabkan kebanyakan penganalisis sukan bola sepak tempatan meramalkan Johor DT bakal membolot Piala Malaysia tahun ini dengan mudah berdasarkan rentak cemerlang yang ditonjolkan oleh mereka sepanjang tahun sama ada pada kejohanan domestik mahupun antarabangsa.

Skuad Harimau Selatan itu berjaya memenangi lima perlawanan pada peringkat Kumpulan B, sekali gus muncul juara untuk layak ke peringkat kalah mati.

Kejayaan Johor DT tidak berhenti setakat itu, malah mereka turut berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pulang Piala AFC buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara.

Namun, ramalan hanya tinggal ramalan.

Pasukan Johor DT akhirnya disingkirkan oleh pasukan berstatus kelab, Felda United pada saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Lebih manis, kemenangan anak-anak buah jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu meleburkan rekod 40 perlawanan tanpa kalah gergasi selatan itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dengan keputusan agregat 3-2.

Sementara itu, kebangkitan ketara yang ditunjukkan oleh skuad The Fighters sejak diterajui Irfan pada 2014 semakin terserlah.

separuh-akhir-tm-piala-malaysia-felda-united-vs-kedah

Setelah melayakkan diri ke saingan Liga Super musim ini, Felda United bagaikan tidak menoleh ke belakang apabila berjaya mencuri kedudukan kelima liga, meninggalkan dua bekas juara liga seperti Lions XII dan Kelantan.

Selain itu, Felda turut me­nunjukkan prestasi konsisten apabila hanya tewas sekali pada peringkat kumpulan, ketika bertemu dengan T-Team. Melihat pada aksi suku akhir di Larkin, kelincahan dua pemain import mereka, Zah Rahan Krangar dan Thiago Augusto pasti memberi igauan ngeri buat Kedah menjelang aksi separuh akhir malam ini.

Dalam pada itu, rekod juara Liga Premier 2015, Kedah juga tidak boleh dipandang sepi.

Walaupun pernah tewas dua kali dalam peringkat kumpulan, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe tetap mengamalkan taktikal menyerang dan mereka berjaya mencetak 15 gol pada peringkat kumpulan, berkongsi rekod ja­ringan dengan Johor DT.

Justeru, perlawanan antara Helang Merah dan The Fighters pada pusingan separuh akhir malam ini dilihat lebih terbuka kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Bagaimanapun, satu lagi saing­an di peringkat separuh akhir melibatkan Pahang dan Selangor turut memberikan rasa teruja buat peminat sukan tanah air.

separuh-akhir-tm-piala-malaysia-pahang-vs-selangor

Kedua-dua pasukan besar tanah air ini berada dalam misi tersendiri.

Harapan ‘Misi 33’ skuad Gergasi Merah dilihat semakin hampir menjadi kenyataan dan ramai beranggapan, tahun ini adalah yang terbaik bagi mereka merangkul kembali piala keramat itu buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

Namun, peluang naib juara Liga Super 2015 untuk mara ke perlawanan akhir dianggap sukar kerana mereka akan berdepan dengan juara untuk dua edisi lalu, Pahang yang kini berada pada prestasi terbaik setelah berjaya menewaskan Lions XII pada peringkat suku akhir.

Skuad Tok Gajah mempunyai motivasi tambahan dan berada dalam landasan yang tepat untuk menjadi pasukan ke-4 dalam sejarah bola sepak negara untuk melakukan hatrik menjulang Piala Malaysia selepas Singapura, Selangor dan Kuala Lumpur sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1921.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, dia berpendapat saingan separuh akhir kali ini masih terbuka dan kesemua pasukan mempunyai peluang 50-50.

Namun, jurulatih berusia 52 tahun itu memberi amaran kepada pasukan Selangor dan Kedah agar memberi lebih tum­puan kepada lawan mereka.

Katanya, Selangor perlu berjaga-jaga dengan skuad Tok Gajah kerana anak-anak didik Zainal Abidin Hassan itu cukup ‘menjadi’ jika mereka bermain dengan bersungguh-sungguh.

“Barisan serangan Pahang yang diketuai oleh penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme bakal membuatkan barisan pertahanan Gergasi Merah kucar-kacir jika mereka tidak fokus sepenuhnya,” jelasnya yang pernah membawa Selangor memenangi Piala Malaysia yang ter­akhir pada 2005.

Selain itu, Dollah turut mengakui, gelaran hatrik Piala Malaysia sememangnya diidam-idamkan oleh Zainal.

Dalam satu lagi saingan, Dollah meramalkan Felda United mampu memberi kejutan jika The Fighters mempamerkan aksi yang sama ketika menentang Harimau Selatan minggu lalu.

“Pasukan kelab itu mempunyai motivasi yang tinggi setelah berjaya menewaskan pasukan pilihan, Johor DT. Kini, mereka berdepan satu lagi pasukan besar, dan saya percaya, jika mereka beraksi seperti yang dipamerkan pada perlawanan suku akhir, Sabtu lalu, mereka ada sedikit kelebihan.

“Jurulatih (Irfan) mempunyai taktikal yang cukup berkesan. Saya yakin mereka turut mahu mencatat sejarah bola sepak negara untuk menjadi pasukan bertaraf kelab kedua yang berjaya memenangi piala itu selepas pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) memenangi­nya pada edisi 2003,” jelas bekas penyerang kebangsaan itu lagi.

Mengulas lebih lanjut, Dollah percaya pemain import setiap pasukan memainkan peranan sekali gus menjadi nadi penting untuk memastikan skuad ma­sing-masing mara ke perlawan­an akhir yang dijadualkan berlangsung 12 Disember depan.

Sumber:

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3t8X9hBhK


Download aplikasi The Sukan di Google Play