Tite - Jurulatih yang Bakal Mengembalikan Brazil ke Puncak Dunia

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Brazil dan Piala Dunia cukup sinonim ibarat isi dengan kuku, atau aur dengan tebing, atau Fattah dengan Amin - dan Brazil juga tidak pernah gagal untuk bermain di setiap edisi Piala Dunia.

Pada hari Jumaat lalu, Brazil dengan selamba memebelasah Uruguay 4-1, dan memperkuatkan lagi kedudukan mereka di tangga teratas kumpulan kelayakan zon Conmebol, dan kini mereka berpeluang menjadi pasukan pertama yang layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Jaringan hatrik daripada pemain Guangzhou, Paulinho dan satu chip yang meleleh daripada Neymar menyaksikan mereka mengenepikan cabaran pencabar utama mereka, sekaligus memberikan kelebihan tujuh mata kepada pasukan samba tersebut.

Kehebatan dan kekebalan mereka ini dijana oleh jurulatih baru mereka, Encik Tite - yang mula dilantik pada Jun 2016. Sejak Tite dilantik, Brazil menang semua perlawanan mereka.

Siapa Tite?

Nama sebenar Tite ialah Adenor Leonardo Bacchi dan berusia 55 tahun, dan pasukan kebangsaan Brazil ialah pasukan yang ke-17 di bawah seliaannya.

Tite ketika mudanya juga merupakan seorang pemain bola sepak, namun dia kurang menyerlah dan tidak pernah dipanggil untuk mewakili Brazil. Tambahan pula, Tite terpaksa bersara ketika berusia 27 tahun kerana kecederaan lutut yang teruk.

Kenapa Tite tidak dikenali sebelum ini?

Kalau kita buka kembali kitab sejarah bola sepak Brazil, mereka sering dilatih oleh jurulatih-jurulatih yang terkenal seperti Carlos Alberto Pareirra, Dunga, Luis Felipe Scolari dan juga Mario Zagallo. Nama-nama yang disebutkan ini sememangnya terkenal sebelum mereka menjadi jurulatih Brazil.

Sebelum menjadi jurulatih Brazil, Tite banyak menguruskan kelab-kelab di Liga Brazil seperti Corinthians, Palmeiras, Gremio dan Internacional. Dia juga pernah menguruskan kelab di UAE - Al-Ain dan Al-Wahda, namun kedua-dua tugasnya itu hanya bertahan selama setahun.

Mungkin budaya bola sepak UAE sama seperti Malaysia - hanya mahukan kejayaan segera. Entah-entah orang yang pegang Al-Ain dengan Al-Wahda tu orang politik tak?

Dahagakan Ilmu

Menariknya berkenaan Tite, pada tahun 2013, dia tidak membaharui kontraknya bersama Corinthians kerana satu matlamat - dia ingin mendalami ilmu bola sepak moden. Sepanjang perkelanaannya, dia telah berguru dengan Arsene Wenger di Arsenal, Carlo Ancelotti di Real Madrid dan juga telah meninjau taktik dan sistem permainan pasukan-pasukan di Piala Dunia 2014.

Tite tidak ketinggalan untuk sentiasa menambah ilmunya.

Selepas perguruannya tamat, dia kembali ke Corinthians pada tahun 2015, lalu membawa Corinthians untuk muncul juara Serie A Brazil, di mana mereka muncul juara dengan perbezaan 12 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Atletico Mineiro.

Tite mengambil alih tugas sebagai jurulatih Brazil daripada Dunga, yang dipecat selepas persembahan buruk mereka dalam kejohanan Copa Americana Centenario.

Brazil Kembali Garang

Sejak itu Brazil sudah tidak lagi memandang ke belakang dan terus maju sehingga menang semua lapan perlawanan di bawah Tite, di mana mereka telah menjaringkan 22 gol dan hanya bolos 2 gol - satu penalti dan satu jaringan sendiri!

Mungkin keyboard warrior akan berkata - "Kau ada Neymar, memang sah-sah lah menang! Pemain tengah pulak cam lehnet hebatnya."

Neymar cukup menyerlah

Tapi kalau kaji dengan dalam sambil otak dibuka, menguruskan bintang-bintang yang sedang berada dalam kegelapan bukannya senang. Brazil terkeluar daripada Copa Amerika dalam peringkat kumpulan, tewas kepada Paraguay - antara pasukan yang sayur di Amerika Selatan dan juga detik hitam dibelasah tanpa kasihan oleh Jerman di Piala Dunia.

Di bawah Tite juga mereka tidak lagi mengatur perlawanan persahabatan menentang pasukan kecil-kecilan seperti Jepun, Austria atau Korea, apatah lagi pasukan picisan seperti Papua New Guinea, Madagascar, Malaysia dan juga Arsenal.

Kecemerlangan Neymar juga patut mendapat perhatian, di samping kepintaran Tite menyusun taktik dalam mendapatkan jumlah gol. Gabriel Jesus pula bermain di posisi nombor 9 dengan jayanya, sambil dibantu pemain Chelsea, Willian dan perancang kelab bakal juara, Philippe Coutinho.

Barisan Brazil sekarang.Mantap.

Dengan segala peningkatan yang menakjubkan sekarang, pasukan Brazil boleh dikatakan sudah kembali ke zaman kegemilangan mereka. Tapi tak tahulah kalau Brazil berperangai seperti Engand di kejohanan besar.

Selepas Olimpik yang lalu, Neymar telah meletakkan jawatan sebagai kapten pasukan, dan sejak itu jawatan ini diberi secara bergilir kepada Miranda, Dani Alves, Fernandinho, Filipe Luis, Amaro Rohitano dan Renato Augusto.

Mereka juga bukan lagi pasukan yang hanya satu kumpulan pemain bintang, tetapi lebih kepada satu unit yang dahagakan kejayaan dan kegemilangan.

Siapa lagi barisan jurulatih Brazil?

Sudah pasti kejayaan Tite ini tidak hadir jika dia tidak dibantu. Yang paling dikenali dalam barisan kejurulatihannya ialah bekas pemain tengah Arsenal, Edu, yang dlantiknya sebagai Koordinator Am. Edu hanya mewakili Brazil sebanyak 15 kali, di mana dia memulakan dan mengakhiri kariernya di Corinthians.

Dia juga merupakan pengarah bola sepak di kelab tersebut ketika Tite menjadi jurulatih, sebelum Tite naik pangkat ke pasukan kebangsaan biru kuning tersebut.

Tite dan Edu

Di samping itu, jurulatih penjaga gol pasukan Brazil pula ialah Claudio Taffarel - pemenang Piala Dunia 1994 dan juga merupakan pemain yang memegang rekod paling banyak mewakili Brazil dengan 101 perlawanan.

Taffarel berebut bola dengan Roberto Baggio dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1994.

Layak ke Piala Dunia itu merupakan perkara yang sudah hampir pasti dan jika berjaya memenangi piala yang paling berprestij di dunia tersebut buat kali keenam, Tite pasti akan diangkat sebagai penyelamat bola sepak Brazil, yang sedang melalui zaman suram dan sukar. Dan apa yang pasti, Tite pasti akan mendapat gelaran Datuk Seri.

Datuk Seri Tite.

Itu kalau di Malaysia lah.

Artikel diambil dan diolah dari Daily Mirror




Paparkan Komen