The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

‘Teruk sangatkah pemain kita’

Eikrem pada July 27, 2015

BEKAS pemain skuad bola sepak kebangsaan, Khalid Ali menganggap pandangan jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh yang melihat skuad negara memerlukan pemain naturalisasi jika mahu memberi saingan di pentas lebih tinggi sebagai tidak wajar.

Menurut Khalid, kenyataan Dollah itu seolah-olah pemain tempatan kita terlalu rendah standardnya sampai perlu mengagung-agungkan pemain luar.

“Pandangan dia (Dollah) seperti memperkecilkan kemampuan pemain tempatan. Teruk sangatkah pemain kita?

“Cuba fikir, kalau pemain teruk, ia berpunca daripada siapa. Mesti dari jurulatih kerana hasil yang baik akan datang daripada jurulatih yang baik, dan sebaliknya. Sebenarnya pemain kita memiliki kualiti tersendiri, cuma mereka ini perlu didik dengan cara yang betul agar memiliki kekuatan mental yang kukuh bila bersaing di pentas antarabangsa.

“Kalau kita berbuat demikian, ia boleh membantutkan program pembangunan bola sepak negara dan merosakkan wajah Malaysia sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Baca juga Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia di sini 

Khalid berkata, kajian harus dilakukan dengan teliti sekiranya mahu mengambil pemain luar kerana tidak mahu sekadar ‘tangkap muat’ sehingga tidak memberi banyak impak kepada pasukan kebangsaan.

doc6c1z2t8urifa06ou86m
Khalid Ali (kiri) ketika perlawanan Veteran Selangor vs Veteran Singapura

“Mampu ke mereka ini memberi sumbangan kepada Malaysia jika diberi peluang? Ini yang perlu di pandang serius FAM, janganlah kita ambil sekadar pelengkap saja.

“Jika nak ambil pemain naturalisasi kena ambil yang terbaik, kalau sekadar ambil saja tak guna. Pemain itu kena lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang,” katanya.

Dalam laporan media tempatan sebelum ini, Dollah menyatakan yang beliau tidak kisah seandainya pasukan bimbingannya dibarisi pemain naturalisasi bagi memperkuatkan pasukan mengharungi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Luahan ini disuarakan Dollah selepas melihat persembahan cemerlang anak didiknya yang dibarisi pemain tempatan serta lima pemain import dalam skuad Pilihan Malaysia berjaya mengikat Liverpool 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Khalid berkata, walau apa alasan sekalipun, skuad negara perlu mengekalkan maruah dengan sentiasa mengutamakan anak-anak tempatan tanpa bergantung harap dengan khidmat pemain luar

Sumber : Sinar Harian