The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Terengganu Tolak Tawaran Untuk Mendapatkan Michael Essien

Encik Bakri pada December 14, 2015

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terpaksa menolak tawaran ejen bekas tonggak Chelsea, Michael Essien yang mahu membawa pemain itu menyertai Terengganu, musim depan selepas mendapati gaji yang diminta terlalu tinggi.

Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman yang mengesahkan laporan itu berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan ejen terbabit untuk membawa bekas tonggak Chelsea, Real Madrid, AC Milan dan Panathinaikos FC itu, baru-baru ini bagi mengisi kuota pemain import keempat Terengganu, musim depan.

“Selepas mengadakan perbincangan, kami terpaksa menolak tawaran itu kerana kami tidak mampu memenuhi permintaan gaji yang terlalu tinggi.

“Jadi, kita membuka peluang kepada pemain import lain sama ada yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M) atau dari luar untuk datang mencuba nasib menyarung jersi Terengganu, musim depan,” katanya semalam.

Beliau berkata, beberapa pemain dari luar negara, iaitu Croatia, Cameroon, Ghana dan Indonesia itu akan menjalani pemilihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Rabu ini.

Arpin berkata, sesi pemilihan awang import itu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Paulo Rangel yang ditamatkan kontrak baru-baru ini.

“Kami menyerahkan kepada ketua jurulatih, Ahmad Yusof untuk menilai pemain import yang berkualiti bagi memperkuatkan skuad Penyu, musim depan.

“Kita belum menetapkan berapa hari pemilihan ini dilakukan kerana bergantung kehadiran pemain ke negeri ini,” katanya.

Terengganu sudah memiliki tiga awang import yang akan membawa cabaran musim depan iaitu pertahanan, Vincent Bikana (Cameroon), Gustavo Lopez (Argentina/tengah) dan Issey Nakajima-Farran (Jepun/penyerang).

Sumber : Bharian