The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Tanggungjawab berat – Nik Shahrul Azim

Eikrem pada October 2, 2015

KOTA BHARU: Barisan pertahanan Kelantan mengakui bakal menggalas tanggungjawab berat mengawal serangan Selangor pada perlawanan pusingan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia 2015 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, berkata ia disebabkan The Red Giants mempunyai dua penyerang import berbisa iaitu Andik Vermansyah dan Gulillerne de Paula yang mempunyai cara permainan tersendiri.

“Kami perlu merantai barisan hadapan Selangor kerana kita tahu penyerang mereka sangat pantas dan mampu membuahkan jaringan ketika berada di hadapan gawang.

“Selain itu, pemain tengah mereka Muhammad Nazmi Faiz Mansor turut mempunyai kreativiti merancang dan melorongkan bola kepada barisan hadapan pasukan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Justeru, Nik Shahrul Azim menyeru rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan pelawat walaupun Kelantan sebelum ini pernah menewaskan Selangor pada perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan C, baru-baru ini.

Perlawanan pada malam esok akan menjadi medan penentu kepada setiap pasukan untuk melangkah ke pusingan suku akhir. – BERNAMA