T-Team dan Perlis Nafi Masalah Gaji, Akan Merayu Kepada FMLLP

Eikrem 3 bulan yang lalu

Pasukan dari Terengganu, T-Team baru-baru ini dipotong enam mata, telah memuatnaik satu status di laman Facebook rasminya mengenai kisah sebenar kelewatan mereka melengkapkan pendaftaran pemain dalam Sistem Pengurusan dan Maklumat Bola sepak Malaysia (SPMB).

T-Team, melalui Ketua Pengarah Operasinya, Aidi-Naim Mohamad Samsani, berkata, T-Team tidak berdepan sebarang masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sehingga kini, bagaimanapun mengalami sedikit kelewatan dalam pembayaran kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Walaubagaimanapun kesemua bayaran tertunggak itu sudahpun dijelaskan bulan lalu dan surat pengesahan KWSP diterima pada 27 April dan LHDN tiga hari selepas itu, iaitu pada 30 April 2017.

“Sememangnya ada sedikit kelewatan dalam mengemas kini sistem pengurusan maklumat bolasepak (SPMB) dan MYPass,” kata Aidi-Naim.

“Bagaimanapun kita telah pun memaklum perkara ini sebelum tarikh akhir diberikan oleh pihak FMLLP pada 31 Mac.

“Apa yang boleh saya katakan di sini, kesemua isu berhubung kelewatan pembayaran KWSP, Perkeso dan juga LHDN telah diselesaikan dan akan memastikan perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

T-Team akan merayu kepada FMLLP supaya menarik semula pemotongan mata yang dikenakan dan akan terus mampu bersaing seperti biasa dalam Liga Super Malaysia.

Perlis pula menerusi presiden FA Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, salah faham telah berlaku antara pihaknya dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hingga berlaku tunggakan pada akaun KWSP pemainnya.

“Salah faham itu bukan disengajakan, Kita sudah menghantar surat kepada KWSP Kangar untuk menyelesaikan tunggakan sejak Disember lalu sebelum pihak terbabit mendakwa dihantar ke KWSP Kuala Lumpur untuk diproses tetapi tiada maklum balas.

“Saya kecewa dengan tindakan FMLLP tidak menyiasat secara terperinci masalah dihadapi PFA sebelum menjatuhkan hukuman,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Sementara itu dua lagi pasukan yang dipotong mata, Kelantan dan ATM masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini.

Gergasi pantai timur, Kelantan, menerusi laman Facebook rasmi mereka sekadar berkongsi status penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, dan tiada kenyataan rasmi dibuat. Mungkin Kelantan tidak sedar tindakan pantas mengemukakan kesemua voucer dan bukti pebayaran akan menyelamatkan enam pasukan tersebut, berbanding yoya yoya di Facebook meraih perhatian.