Syarat Sah Sepakan Penalti

Eikrem 5 bulan yang lalu

Segelintir penyokong Kedah dikatakan mempersoal kesahihan gol penyamaan Selangor menerusi Juliano Mineiro pada minit akhir perlawanan akibat kekasaran pemain Kedah, Akram Mahinan terhadap Syahmi Syafari yang memberikan Selangor sepakan penalti.

Pemain Selangor yang mengambil sepakan, Victoras Astafei melakukan tendangan lemah yang dapat diselamatkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal sebelum bola muntah ke hadapan Mineiro yang dengan mudah menolak bola ke dalam gol untuk memberikan satu mata berharga buat The Red Giants.

Persoalannya, adakah gol tersebut sah?

Syarat Sah Penalti

Mari kita buka kitab Law of the Game yang dikeluarkan oleh International Football Association Board yang dianggotai oleh FIFA dan empat negara Home Nations. Kalau nak baca secara penuh, boleh klik di sini, baca sendiri.

Syarat sah penalti adalah seperti berikut :

1- Bola mesti lah diletakkan secara pegun di tanda penalti dalam kotak penalti.

2- Pemain yang akan mengambil penalti hendaklah dikenal pasti terlebih dahulu.

3- Penjaga gol pasukan yang bertahan mestilah berada pada garisan gol, menghadap penendang, dan di antara kedua-dua tiang gol sehinggalah bola disepak.

4- Selain daripada dua pemain tersebut, pemain lain hendaklah :

  • Berada sekurang-kurangnya 9.15m (10 ela) jaraknya daripada titik penalti
  • Belakang titik penalti
  • Di dalam kawasan padang
  • Di luar kotak penalti

5- Selepas semua pemain memenuhi syarat di atas, maka pengadil perlu memberi isyarat bahawa tendangan perlu mula diambil. Isyarat ni tak kisah lah pengadil nak jerit ke, lompat ke, mengangkang ke, tapi memandangkan pengadil ada wisel, maka tiuplah wisel.

6- Penendang penalti mestilah menendang bola ke hadapan, backheel atau dogel diharamkan kecuali kalau bola bergerak ke hadapan.

7- Bola dikira hidup selepas disepak dan jelas bergerak.

8- Penendang tidak boleh menyentuh bola sebelum bola itu disentuh oleh pemain lain.

9- Tendangan penalti dikira lengkap setelah bola berhenti bergerak, keluar dari kawasan permainan atau pengadil menghentikan permainan jika ada pelanggaran undang-undang.

Apakah yang Dikira Sebagai Pelanggaran Undang-Undang?

Apabila pengadil memberikan isyarat tendangan boleh diambil, maka tendangan hendaklah segera diambil, jangan tunggu setengah jam. Orang lain pun nak balik awal. Jika, sebelum bola itu dikira dalam permainan atau bahasa mudahnya bola hidup, salah satu atau lebih daripada perkara berikut berlaku, maka :

1- Pemain yang mengambil tendangan penalti atau rakannya melanggar Peraturan Permainan;

  • Kalau bola masuk gol, tendangan penalti harus diambil semula
  • Kalau bola tak masuk gol, pengadil hentikan permainan dan mulakan semula dengan tendangan percuma tidak terus (indirect free kick)

2- Perkara di bawah akan menyebabkan perlawanan akan dihentikan dan dimulakan semula dengan tedangan percuma tidak terus, tak kisah lah sama ada bola masuk gol atau tidak ;

  • bola ditendang ke belakang ketika penalti diambil
  • pemain lain, bukan pemain yang dikenal pasti mengambil tendangan penalti, yang menendang bola
  • pemain yang mengambil penalti mengacah sepak, sebelum sepak bola. Acah lari macam Ronaldo tu boleh diterima. Tapi kau jangan buatlah, memalukan je bola melambung tinggi.

3- Penjaga gol atau rakan melanggar Peraturan Permainan

  • kalau bola masuk gol, gol dikira
  • kalau bola tak masuk gol, tendangan diambil semula

4- Kalau pemain kedua-dua pasukan melanggar Peraturan Permainan, tendangan penalti akan diambil semula tak kira lah bola masuk atau tidak, melainkan pemain dari salah satu pasukan melakukan kesalahan yang lebih serius.

Jadi, gol Mineiro itu sepatutnya dikira atau tidak?

Mengikut pemahaman penulis, gol tersebut sepatutnya tidak dikira, dan pengadil seharusnya menghentikan perlawanan dan menganugerahkan tendagan percuma tidak terus kepada Kedah.

Rumusan syarat sah penalti adalah seperti dalam gambar di bawah. Ambil dari laman web IFAB tu. Kau jangan nak ingkar.