Syarat Rahsia Dalam Kontrak Tevez Dibongkar

Eikrem 7 bulan yang lalu

Seperti diketahui umum bahawa Carlos Tevez telah sah menyertai kelab Liga Super China, Shanghai Shenhua apabila dibeli dari Boca Juniors pada harga RM76.87 juta (£14juta) dengan gaji yang ditawarkan RM172.97 juta (£31.5 juta) setahun – tertinggi di dunia.

Nampak agak mewah tetapi sebenarnya perpindahan ini memberi risiko besar kepada Boca Juniors dan mereka boleh kehilangan wang sebanyak 60% daripada nilai perpindahan sekiranya syarat perjanjian ini dilanggar.

Apakah syarat tersebut?

Dalam tempoh 12 bulan pertama kontraknya, sekiranya Tevez bersara, kembali bermain di liga Argentina atau pura-pura diculik[1], maka Boca Juniors wajib membayar sebanyak nilai yang dipersetujui.

Namun sekiranya Tevez dibida dan dibeli oleh kelab lain, Boca Juniors tidak tertakluk kepada pampasan berkenaan.

Tevez sebenarnya agak keras hatinya seperti Roy Gila-Gila Remaja. Ketika di Manchester City, Tevez pernah menghilangkan diri tanpa berita selama beberapa minggu dan pulang ke Argentina tanpa izin kelab setelah tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab yang mendendanya penalti dua minggu gaji.

Ini kerana Tevez tidak berpuas hati dek tindakan Mancini sekadar menyenaraikannya di bangku simpanan ketika satu perlawanan Liga Juara-juara menentang Bayern Munich dan akibatnya, Tevez tidak memunculkan diri ke stadium.

Ketika menghilangkan diri di Argentina, Tevez dikesan bermain golf dengan tidak memakai baju pink dan kelihatan sangat gembira walaupun pengurusan Manchester City sedang bergelut mencarinya.

Nota :

1- Auta semata-mata untuk menambah rencah.