Stadium Baru Orlando City - Stadium Yang Mesra Ultras!

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Major League Soccer (MLS) mungkin kurang popular di Malaysia namun liga bola sepak divisyen pertama Amerika Syarikat ini semakin hari semakin berkembang, dengan pertambahan beberapa pasukan baru untuk tahun ini seperti Minnesota United dan Atlanta United.

Antara perkembangan positif lain ialah pasukan-pasukan MLS sudah mula memiliki stadium sendiri dan sebelum ini, mereka selalunya menumpang stadium pasukan American Football di bandar mereka. Salah satu pasukan yang berjaya membina stadium sendiri ialah Orlando City.

Orlando City menyertai francais MLS pada tahun 2015 dan setelah tiga musim, akhirnya stadium yang diberi nama Stadium Orlando City yang boleh menampung seramai 25,000 penyokong dalam satu-satu masa, akhirnya dibuka.

Lebih manis lagi, mereka berjaya merasmikan stadium baru ini dengan nota kemenangan, apabila pasukan berjersi ungu ini menewaskan New York City FC 1-0 pada hari Ahad yang lalu, dengan kesemua tiket habis dijual.

Apa istimewanya stadium ini?

Pertama, kerusi di stadium ini berwarna ungu – mengikut tema warna jersi pasukan dan jarang sekali ada stadium yang berwarna ungu. Stadium UiTM pun tak warna ungu macam ni. Paling hampir dengan warna ungu pun warna merah jambu – warna stadium salah satu pasukan yang bertanding di Liga Super Malayalam pada tahun lalu. Tak pasti adakah stadium tersebut masih berwarna merah jambu atau warna lain.

Lokasi stadium ini di kawasan bandar dan mudah dikunjungi peminat dengan menggunakan kenderaan awam. Mereka bijak kerana mereka tidak membina stadium di dalam hutan.

Selain kerusi berwarna ungu, ruang kaki juga amat selesa kerana mereka mengambil berat keselesaan penyokong mereka yang tinggi lampai.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian ramai ialah satu ruang di belakang salah satu gol di mana ruang tersebut dikhaskan untuk peminat yang berdiri, dengan kata lain ruang untuk ultras! Orlando dikatakan mendapat idea ini daripada pasukan Bundesliga, Borussia Dortmund yang terkenal dengan ‘Dinding Kuning’ di belakang gol.

Ini ialah capo ultras Orlando. Macam Tevez pun ada kan?

Satu lagi persamaan stadium Orlando City ini dengan Dortmund, ultras akan menaikkan satu kain rentang yang besar dengan tulisan 'hadiah daripada Tuhan', bukan 'THIS IS OUR YEAR' sebelum sepak mula - amalan yang sangat istiqamah di Westfalenstadion ketika perlawanan besar. Maksud perlawanan besar ialah perlawanan Dortmund menentang pasukan hebat yang lain seperti Bayern Munich, Barcelona, Real Madrid dan Paris Saint Germain. Kalau Dortmund menentang Arsenal tu tak dikira sebagai perlawanan besar. Jangan tanya kenapa.

Apa ertinya ultras tanpa bom asap kan?

Jadi sebagai tanda sokongan mereka kepada ultras, pihak pengurusan stadium Orlando juga membenarkan penggunaan bom asap di ruang berdiri ini dan ketika perlawanan menentang New York City FC, bom asap berwarna ungu kelihatan berkepul-kepul dari awal sampai tamat perlawanan. Tidak dapat dipastikan sama ada asap ungu tersebut turut mengadungi asap vape.

Asap ungu!

CEO kelab, Alex Leitao cukup gembira dengan sambutan yang diterima dalam perlawanan pertama tersebut, manakala komisioner MLS Don Garber pula mengatakan bahawa musim ini akan menjadi lebih meriah dengan adanya stadium dan penyokong seperti Orlando City.

Antara pemain terkenal yang mewakili pasukan ini ialah bekas bintang AC Milan, Ricardo Kaka, bekas pemain Manchester United Jonathan Spector dan bekas pemain tengah Derby County, Giles Barnes.

Kaka sebagai kapten Orlando

Perlawanan berikutnya di stadium ungu ini ialah Orlando menentang Philadelphia Union pada 19 Mac nanti. Jadi, kepada anda yang berminat untuk merasai kehangatan dan kemeriahan stadium ini, baik pergi awal-awal. Mana tahu nanti Orlando dah kurang perform nanti stadium kosong macam Stadium Darul Makmur tahun lepas, tak merasa la nak rasa semua yang dinyatakan di atas.

Artikel diambil dan diolah dari Daily Mail. Gambar pun ambil dari Daily Mail.




Paparkan Komen