Sports Massage - Urutan Untuk Sukan, Berbeza Dengan Urutan Tradisional

Eikrem oleh Eikrem 5 bulan yang lalu

Bila sebut mengurut atau masat, kau pasti akan terbayang di fikiran rumah kedai yang di hadapannya mempunyai lampu tapak kaki berwarna hijau, kuning atau merah dan menawarkan pakej harga serendah RM60 untuk urutan satu jam dengan tambahan Rm50 untuk urutan penghujung yang gembira atau dalam bahasa mudahnya ping-pong.

Walaupun urutan ini ada manfaatnya, tapi urutan ini tidak boleh diamalkan dalam sukan. Urutan dalam sukan atau sports massage bermaksud pergerakan anggota badan orang yang mengurut ke atas mana-mana bahagian badan atlet. Sama je kan definisi dia?

Urutan sukan bertujuan untuk mengelakkan kecederaan, mempersediakan badan atlet untuk melakukan aktiviti dan juga mengekalkan badan mereka dalam keadaan optimum, selain untuk membantu atlet pulih daripada kecederaan.

Sejarah

Urutan sukan ini sebenarnya telah bermula sejak zaman berzaman, malah sebelum Jaafar menjadi tonggek lagi. Orang Greek dan Rom kuno telah menggabungkan urutan dan senaman dalam latihan atlet mereka. Dalam budaya Asia, nenek moyang kita banyak mengurut para penari dan ahli silat atau seni pertahanan diri untuk menguatkan badan mereka.

Tetapi secara rasminya urutan sukan ini mula dipopularkan oleh Soviet Union dan negara-negara komunis dalam era 1960-an,  dan negara Soviet adalah negara pertama yang mempunyai pakar urutan yang tetap dan professional. Melalui hubungan sukan dan budaya, maka konsep urutan sukan ini telah menular ke Eropah dan Amerika Syarikat pada tahun 1970-an.

Semakin lama konsep urutan sukan ini semakin diterima dunia sukan dan menjadi sebahagian daripada rejimen latihan atlet professional, sebelum menjadi subjek pengajian di kolej dan universiti. Pada hari ini, urutan sukan boleh dijadikan karier bagi mereka yang berminat.

Konsep dan Jenis Urutan

Secara umumnya, terdapat beberapa cara dan teknik untuk mengurut, dan mengurut bukan sekadar tekan-tekan di tempat yang sakit sambil berulngkali bertanya "sakit tak?" dan setiap jenis sukan memerlukan teknik urutan yang berbeza.

Contohnya seperti di bawah.

i- Effleurage : Usapan atau gosokan yang menggunakan tapak tangan atau ibu jari. Tekanan dan kelajuan usapan ini bergantung kepada jenis otot dan matlamat. Effleurage biasanya akan melancarkan pengaliran darah ke otot.

Teknik effleurage

ii- Petrissage : Tekanan yang menggunakan dua tangan, di mana kedua-dua tangan memberikan sedikit tekanan kepada otot yang diurut. Teknik ini melonggarkan tandan-tandan otot yang ketat. Dalam bahasa yang mudah, teknik ini dapat melegakan sakit urat.

Petrissage

Ada beberapa lagi teknik urutan yang boleh diguna pakai dalam urutan sukan dan boleh dipelajari melalui kursus-kursus Sains Sukan dan Urutan Sukan. Apa yang penting, seorang pakar urutan sukan akan menggabungkan beberapa teknik untuk mendapatkan keputusan optimum seperti yang dikehedaki.

Secara asasnya, urutan sukan terbahagi kepada tiga jenis -

i- Urutan pra aktiviti (pre event massage)

ii- Urutan pasca aktiviti (post event massage)

iii- Urutan penyelenggaraan (maintenance massage)

Urutan pra-aktiviti

Urutan jenis ini diberikan beberapa ketika sebelum atlet mula beraksi. Urutan ini dilakukan dengan cara menggosok dan mengusap bahagian otot dengan laju untuk memanaskan sedikit bahagian tersebut, di samping mengapplikasikan sedikit tekanan untuk membantu otot bergerak dengan lancar dan mengurangkan sedikit ketegangan otot.

Urutan Pasca-Aktiviti

Urutan selepas aktiviti biasanya dilakukan selepas 1-2 jam selepas aktiviti yang dilakukan, dengn tujuan untuk memberikan peluang kepada saluran darah yang kembang untuk kembali ke keadaan asal. Selalunya urutan jenis ini dilakukan dengan lembut dan secara ringan. Matlamat utamanya ialah untuk mempercepatkan pembuangan hasil toksin dan melegakan sebarang ketegangan otot. Urutan pasca aktiviti ini boleh dilakukan sendiri oleh atlet/pemain.

Urutan Penyelenggaraan

Urutan Penyelenggaraan juga dikenali sebagai maintenance massage dan dilakukan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Selalunya urutan ini dilakukan di bahagian belakang dan juga kaki. Biasanya teknik effleurage dan petrissage digunakan dalam kaedah urutan penyelenggaraan ini.

Kesimpulan

Urutan sukan semakin mendapat tempat di kalangan atlet, malah setiap pasukan bola sepak di Liga Malaysia mempunyai individu yang khusus untuk melakukan urutan ini, dan ini membolehkan pemain kekal bersedia menghadapi jadual yang padat. Tapi kalau memanjang pemain simpanan tu, tak urut pun tak mengapa barangkali.

Dengan penjagaan fizikal melalui urutan, prestasi cemerlang setiap atlet akan dapat dikekalkan, sekaligus memberikan keputusan dan impak yang positif.




Paparkan Komen