Solskjaer Masih Berahsia Mengenai Minat Yang Ditunjukkan United Terhadap Gareth Bale

Izuddin oleh Izuddin 3 bulan yang lalu

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi menegaskan kepentingan pasukannya untuk mendapatkan pemain berkualiti pada jendela perpindahan musim panas nanti tetapi enggan mengulas lanjut terhadap minat yang ditunjukkan Red Devils terhadap Gareth Bale.

Bale merupakan antara pemain yang hampir pasti akan dilepaskan Real Madrid tidak lama lagi berikutan prestasi hambar pasukan tersebut musim ini.

Setan Merah merupakan salah satu pasukan di dunia ini yang mampu membayar gaji Bale

Zinedine Zidane dilihat akan membuat rombakan besar-besaran untuk memberi nafas baru kepada skuad Los Blancos dan Bale berkemungkinan besar tidak termasuk dalam rancangan tersebut.

Kekangan gaji yang besar yang diterima Bale ketika ini menyebabkan hanya beberapa buah kelab sahaja yang mampu mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Wales itu.

Antara kelab yang berkeupayaan untuk membayar gaji Bale adalah Manchester United yang kini dipimpian Ole Gunnar Solskjaer.

Sudah berkurun lamanya nama Bale dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, iaitu sejak beliau bergelar pemain Tottenham Hotspurs lagi.

Dengan perkembangan semasa di Santiago Bernabeu ketika ini, masanya telah tiba untuk Bale mengangkat kaki meninggalkan Real Madrid demi kelangsungan karier beliau.

Solskjaer mahu membawa pemain yang berkualiti sahaja musim panas nanti

Bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho sebelum ini pernah meluahkan minat secara terbuka untuk mendapatkan khidmat Bale tetapi Solskjaer mengambil pendekatan yang berbeza apabila diajukan soalan mengenai minat United terhadap Bale.

"Saya tidak boleh memberikan komen terhadap Gareth Bale atau nama-nama pemain lain kerana mereka adalah hak milik kelab lain." Beritahu Solskjaer kepada para pemberita.

"Tetapi Manchester United perlu berusaha untuk mencari pemain yang berkualiti dan pemain yang mampu memperbaiki skuad sedia ada."

"Terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira apabila anda mahu menandatangani pemain."

"Ianya bukan mudah. Apabila anda berada di tempat media atau peminat, anda hanya berfikir dari segi jangka pendek."

"Kami perlu berfikir mengenai rancangan jangka panjang juga, pemain mana yang mampu menyesuaikan diri dengan personaliti dalam skuad kami. Jadi terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira dalam hal ini."

Manchester Unitd akan menerukan kempen Piala FA hari ini dengan berkunjung ke Molineux Stadium untuk berhadapan dengan pasukanĀ  meningkat naik, Wolves.

Solskjaer mendakwa wujud persamaan di antara pasukan Manchester United hari ini dengan skuad '1999 United' yang berjaya memenangi treble.

Wujud persamaan skuad United ketika ini dengan skuad treble mereka. Benarkah ?

Skuad '1999 United' turut dibarisi oleh Solskjar dan mereka berjaya menewaskan beberapa pasukan kuat dalam laluan untuk muncul juara Piala FA pada tahun tersebut.

"Untuk memenangi trofi, anda perlu melepasi sekurang-kurangnya satu atau dua perlawanan sukar. Kami berjaya menewaskan Liverpool, Chelsea dan Arsenal pada tahun 1999."

"Kali ini kami diundi menentang Wolves di tempat lawan, satu lagi perlawanan yang sukar."




Paparkan Komen