The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Skuad Piala Thomas Mara dan Skuad Piala Uber Kandas

Encik Bakri pada May 17, 2016

Nasib berbeza untuk Skuad Lelaki dan Wanita negara di kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber. Skuad Piala Thomas Mara ke suku akhira dan Skuad Piala Uber Kandas awal dan hanya mampu menggigit raket.

Skuad Piala Thomas Mara

Skuad lelaki negara mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan England 4-1 dan Jerman 5-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Pusat Sukan Kunshan, China.

Namun, misi untuk mencatat kemenangan ketiga, menentang Korea Selatan, tetap menjadi keutamaan bagi memburu kedudukan teratas kumpulan C.

“Nasib menyebelahi kami kali ini dan itu bakal memainkan peranan dalam perlawanan akan datang menentang pihak lawan yang hebat,” kata Goh V Shem.

Sementara Koo Kien Keat, berkata: “Walaupun kita adalah naib johan sebelum ini, kita perlu mendahului kumpulan ini seperti mana Chong Wei katakan. Apa yang penting, tekanan bukan pada kami, jadi kita perlu memberi tentangan sengit dalam perlawanan seterusnya.”

Apakah Malaysia mampu mencipta kejutan dengan mengetepikan cabaran Korea Selatan untuk muncul juara kumpulan C?

Skuad Piala Uber Kandas

Sementara itu, skuad wanita negara tersingkir daripada Kejohanan Badminton Piala Uber 2016, selepas tewas 3-2 di tangan Denmark, dalam saingan kumpulan A, di Stadium Tertutup Pusat Sukan Kunshan, China, hari ini.

Dalam aksi sengit itu, Malaysia bangkit mengikat Denmark 2-2, selepas ketinggalan 2-0, namun kem negara terpaksa akur tersingkir awal apabila menyaksikan perseorangan, Ho Yen Mei, tewas kepada Anna Thea Madsen, 24-22, 13-21, 13-21, di perlawanan penentuan.

Pada perlawanan pertama, laluan sukar buat perseorangan pertama, Tee Jing Yi yang tewas kepada pemain nombor 27 dunia, Line Kjaersfeldt, 21-11, 21-11 dalam tempoh 33 minit.

Cabaran menggunung juga buat beregu Amelia Alicia Anscelly yang digandingkan bersama Woon Khe Wei ketika menentang beregu ranking ke-5 dunia, Christinna Pedersen dan Kamilla Rytter Juhl, selepas tunduk 21-16, 21-17.

Bagaimanapun, harapan Malaysia untuk ke suku akhir mula menyinar, apabila perseorangan muda negara, Goh Jin Wei melakukan kejutan ke atas Mette Poulsen untuk menghadirkan mata pertama buat kem negara melalui kemenangan straight sets 21-18, 21-13.

Kejayaan Jin Wei itu sekaligus menyuntik semangat kebangkitan buat beregu negara seterusnya, Goh Liu Ying dan Vivian Hoo Kah Mun, yang menentang Maiken Fruergaard/Sara Thygesen.

Pada set pertama, Liu Ying/Vivian Hoo tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Fruergaard/Thygesen dengan 21-18, namun mereka berdepan tentangan sengit sebelum pasangan Denmark itu berjaya mencuri mata terakhir set kedua untuk menang  24-22.

Namun, Liu Ying/Vivian Hoo berjaya menebus kembali kesilapan itu dengan kemenangan 21-12 di set ketiga, sekaligus meletakkan Malaysia di kedudukan 2-2 dengan Denmark, sebelum Yen Mei tewas untuk membenarkan Denmark menang 3-2.

Ia kekalahan kedua skuad negara dalam saingan peringkat kumpulan, selepas turut tewas kepada China 5-0 pada pertemuan Ahad lalu.

Berikut adalah keputusan perlawanan kumpulan A, Piala Uber antara Malaysia menentang Denmark:

Tee Jing Yi kk Line Kjaersfeldt 11-21 11-21

Amelia Alicia Anscelly/Woon Khe Wei kk Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl 16-21, 17-21

Goh Jin Wei mn Mette Poulsen 21-18, 21-13

Goh Liu Ying/Vivian Hoo Kah Mun mn Fruergaard/Sara Thygesen 21-18, 22-24, 21-12

Ho Yen Mei  kk Anna Thea Madsen 24-22, 13-21, 13-21

Sumber : Stadium Astro


Download aplikasi The Sukan di Google Play