The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Skuad Double Treble Kedah Akhirnya Terima Habuan

Encik Bakri pada May 18, 2016

ALOR SETAR: Semua 27 pemain dan barisan pengurusan skuad bola sepak Kedah yang mengharumkan nama negeri dengan rekod kejuaraan ‘double treble’ pada 2007 dan 2008, menerima habuan daripada kerajaan negeri malam tadi.

Semua pemain terbabit masing-masing menerima tanah anugerah seluas 0.046 hektar hingga 0.056 hektar di kawasan Pokok Sena, dekat sini, sekali gus menamatkan penantian hampir tujuh tahun untuk janji itu dikotakan.

Upacara penyerahan notis 5A untuk tanah anugerah itu kepada penerima disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sempena majlis di Seri Mentaloon, di sini.

Turut hadir ialah Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Setiausaha Agung Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar. Ahmad Bashah berkata, lot tanah pemberian kerajaan negeri bagi tujuan membina kediaman itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pemain dan pengurusan pasukan yang menabur bakti dalam mencapai kejayaan luar biasa, yang sukar dilakukan mana-mana pasukan lain.

“Penganugerahan ini diberi kepada keseluruhan pemain dan pengurusan yang terbabit tanpa membezakan pemain itu anak tempatan Kedah atau luar Kedah.

“Diharap dengan penganugerahan ini dapat memberi perangsang dan dorongan kepada pemain muda yang kini bersama KFA untuk buktikan kejayaan di masa akan datang,” katanya.

Kedah di bawah kendalian Jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah, mencipta rekod paling cemerlang ‘double treble’ apabila melengkapkan koleksi tiga gelaran iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selama dua musim berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008.

Selanjutnya di :Berita Harian


Download aplikasi The Sukan di Google Play