Sin Bin Bakal Diperkenalkan Dalam Bola Sepak

Eikrem oleh Eikrem 7 bulan yang lalu

Sin bin  atau dalam bahasa Melayunya tong dosa mungkin akan diperkenalkan seawal bulan depan dalam bola sepak, selepas penggubal undang-undang bola sepak, Badan Persatuan Bola Sepak Antarabangasa (IFAB), setuju untuk membincangkan perkara ini dalam mesyuarat tahunan mereka pada 3 Mac nanti. Kalau nak tahu apakah IFAB, sila baca sini. Siapa malas dia yang rugi.

Antara perkara lain yang akan dibincangkan oleh IFAB dalam mesyuarat tahunan mereka ialah :

1- Hanya kapten yang dibenarkan untuk bercakap dengan pengadil sewaktu perlawanan.

2- Penggunaan alat elektronik di bangku simpanan untuk mengesan kecederaan serius di bahagian kepala pemain.

3- Petisyen membantah kekalahan Aiman Tino dalam Anugerah Juara Lagu 31.

4- Memberikan kebebasan kepada FA negara masing-masing untuk menentukan jumlah pertukaran pemain dalam satu perlawanan di liga  masing-masing.

Daripada perkara-perkara di atas, pengenalan sin bin yang paling menarik kerana mampu mengubah keputusan perlawanan!

Apakah sin bin?

Sin bin berasal dari sukan ragbi di mana jika seseorang pemain dilayangkan kad kuning, maka dia perlu menginggalkan padang selama 10 minit. Dalam tempoh 10 minit tersebut, pemain akan duduk di satu kerusi, sambil termenung menonton rakan sepasukan bekerja keras. Selepas tempoh tersebut, pemain akan dibenarkan untuk kembali bermain.

Nampak macam hisap rokok, tapi sebenarnya tidak.

Sepanjang berada di sin bin, pemain tidak dibenarkan merokok, makan nasi Vanggey dan telefon bimbit hendaklah dimatikan atau diletakkan dalam mod penerbangan.

Applikasi sin bin dalam bola sepak

Bulan lalu, ketua pegawai pembangunan teknikal FIFA, Marco Van Basten, telah mencadangkan agar sin bin diperkenalkan bagi kesalahan atau kekasaran yang tidak cukup teruk sehingga melayakkan pemain mendapat kad merah. Menurut lagenda Belanda itu lagi, kad oren mungkin sesuai untuk jenis kesalahan ini.

Marco Van Basten

Untuk permulaan dan sekiranya diluluskan IFAB, cubaan penggunaan sin bin  ini akan berkisar di bola sepak akar umbi, remaja, veteran dan juga orang kelainan upaya. Sekiranya percubaan ini memberikan impak yang positif, maka percubaan terhadap pemain professional pula akan dijalankan. Secara keseluruhan, tempoh tiga tahun diperlukan sebelum percubaan ini menjadi undang-undang yang disahkan IFAB.

Percubaan sin bin sebelum ini

Sebenarnya sin bin ni sudah pun mula diuji di beberapa negara dan kejohanan dan salah satu nya ialah ketika satu kejohanan bawah 16 tahun yang disertai pasukan belia B-16 Republik Ireland.

Tom O'Connor - jurulatih pasukan tersebut berkata, pemain yang dikenakan sin bin tidak diberikan kad kuning sebaliknya hanya diberikan arahan. Menurutnya lagi, beberapa isu dan persoalan timbul setelah peraturan ini dilaksanakan di dalam permainan.

1- Jika dua pemain yang dikenakan sin bin dalam satu permainan, pasukan tersebut akan hanya bermain dalam tempoh sembilan orang, dan sukar untuk jurulatih menyusun taktik dan formasi.

2- Dalam ragbi, prop dan hooker boleh diganti sekiranya mereka dimasukkan ke tong dosa. Adakah penjaga gol bola sepak memilik hak yang sama?

3- Sekiranya penjaga gol yang disin bin diganti, adakah penjaga gol tersebut boleh kembali bermain selepas tempoh 10 minit tersebut?

4- Apa akan terjadi sekiranya satu pasukan tersebut mempunyai 5 pemain yang disin bin?

Apa pun, segalanya pasti akan terjawab pada 3 Mac nanti.




Paparkan Komen