The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Sepak Takraw : PSNT sertai Liga Thailand, ‘isyarat’ buat PSM

Eikrem pada July 29, 2015
TINDAKAN Persatuan Sepak Takraw  Negeri Terengganu (PSNT) membawa pemainnya  beraksi dalam Liga Sepak Takraw Thailand yang bakal membuka tirainya 29 Ogos ini umpama menghantar satu ‘isyarat’ kepada  Persatuan Sepaktaktraw Malaysia (PSM) agar lebih proaktif dalam usaha menaikkan kembali imej sepak takraw negara.
Mahu atau tidak kepimpinan PSM perlu membuka mata serta memberikan sokongan sepenuhnya untuk memastikan keputusan positif dicapai oleh pemain-pemain PNST.
image
Pendedahan kepada pelapis
Presiden Masyarakat Bola Rotan (MBR), Mohsen Amdan berkata, tindakan dilakukan PSNT adalah tepat untuk memberi pendedahan kepada barisan pemainnya menimba pengalaman.
“Sudah tentu ia tamparan buat PSM. Langkah ini sepatutnya dilakukan badan induk berkenaan, tidak perlu menghantar skuad utama, pelapis pun memadai kerana ia lebih kepada pendedahan mencari pengalaman.
“Mereka (PSNT) miliki pemain, dana dan hubungan yang baik, jadi bagi saya ia tidak salah dan janganlah PSM pula mengenakan sebarang tindakan kepada pemain serta persatuan negeri,” katanya.
Bukti persatuan aktif kembang bakat
Keyakinan dan sokongan turut disuarakan Presiden Kelab Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia, Rommi Suhendra Norsal yang melihat tindakan bijak PSNT dalam memberi ruang kepada pemain muda mengasah bakat dan menilai kemampuan diri sendiri.
“Satu langkah bijak yang memberi tamparan hebat kepada PSM di mana program pembangunan di jalankan PSNT telah membuka mata semua pihak bahawa mereka adalah sebuah persatuan negeri yang lebih baik dalam pengurusan pentadbiran dan melahirkan ramai pemain muda dalam arena sepak takraw.
“Kekurangan program pembangunan di negara sendiri dan kejohanan, amatlah baik mana-mana persatuan negeri yang mahu melahirkan ramai pemain muda menjadikan contoh serta mengikut sistem serta cara pengurusan PSNT,” katanya.
Bina mental, keyakinan serta fizikal
Usaha Terengganu memartabatkan sukan sepak takraw di negara ini semakin ketara dengan penyertaan kejohanan di peringkat antarabangsa apabila menghantar 12  atlet terbaiknya beraksi dalam Liga Takraw Thailand 29 Ogos nanti.
Bergabung bersama pemain kelab Nakhon Pathom, kejohanan ini disertai sembilan lagi kelab tempatan di Thailand yang dijadualkan berlangsung sehingga Disember depan.
Ketua jurulatihnya, Mohd Futra Abd Ghani mengakui anak didiknya  membuat persiapan rapi, namun tidak meletakkan sasaran tinggi.
Sebaliknya lebih kepada penyesuaian diri dengan corak permainan di sana terutamanya dalam aspek teknikal, mental dan juga fizikal.
Cari pengalaman di luar
Presiden PSNT,  Mohd Shapian Ali berkata, beliau mengharapkan peluang menyertai  liga di Thailand itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan membudayakan corak permainan serta disiplin tinggi pasukan Thailand melalui pengalaman berlatih, bermain serta tinggal bersama mereka selama empat bulan di sana nanti.
“PSNT  terpaksa keluar untuk mencari pengalaman beraksi dalam liga luar negara kerana dalam negara tidak ada lagi kejohanan liga sebagaimana yang sepatutnya.
“Pendedahan ini juga berperanan sebagai medan latihan bagi persediaan Sukma di Sarawak, malah skuad yang sama  ini bakal dipertaruhkan untuk menjulang Piala Emas Khir Johari pada tahun depan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Download aplikasi The Sukan di Google Play