Senarai Pemain Paling Setia di Liga-liga Utama Eropah

Eikrem 5 bulan yang lalu

Dalam bola sepak, pemain datang dan pergi, terutamanya hari ini bola sepak telah menjadi semakin mencabar dan kompetitif. Jarang ada pemain yang kekal lama dan cemerlang di satu-satu kelab. Sifirnya mudah. Kalau cemerlang, seorang pemain tersebut bakal mendapat kontrak yang panjang, dan kalau tidak cemerlang, dijual ke kelab lain.

Bak kata Pak Kodi Kampung Kalut, benda ni as simple as that.

Kalau di Malaysia, tempoh pemain datang dan pergi lebih sekejap jika dibandingkan dengan kelab eropah. Tambahan pula kalau pemain tu pemain import. Dah la scout pemain guna YouTube, bagi gaji mahal. Separuh musim tamat kontrak.

Kecuali Abang Jalal, atau nama penuhnya Jalaluddin Jaafar di mana dia telah mewakili Pahang sejak 1997 sehingga persaraannya pada 2015. Setahun bersama Shahzan Muda tu kau tak payahlah nak ambik kira. Tak ke mana pun dengki kau tu.

Abang Jalal menyaingi Dani Guiza suatu ketika dahulu

Berbalik ke cerita eropah.

Berikut adalah senarai pemain yang paling lama mewakili setiap pasukan dan masih bermain, di liga-liga utama eropah.

Liga Perdana Inggeris

John George Terry disambar Chelsea dari West Ham ketika berusia 15 tahun pada tahun 1995 dan berkembang sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik di dunia, lebih baik daripada Aidil Zafuan. Secara totalnya, Terry sudah menabur bakti bersama The Blues selama 18.5 tahun dengan musim pertamanya bermain bersama pasukan senior diambil kira, iaitu pada tahun 1998.

Wayne Rooney berada di tempat kedua di belakang Terry, mewakili Syaitan Merah selama 12.5 tahun. Rooney dibeli Ferguson ketika berusia 18 tahun, selepas beraksi cemerlang bersama Everton.

Dalam senarai ini, kisah Andy King paling menarik di mana dia telah bersama Leicester City sejak mereka beraksi di liga divisyen 3 England. Bayangkan betapa setianya King bersama Musang sehingga mereka menjuarai liga!

La Liga

Dalam La Liga, tiada pemain yang lebih setia melainkan mereka di Barcelona. Sebelum ini takhta pemain paling lama mungkin dipegang Xavi Hernandez dan Carles Puyol, masing-masing merekodkan 17 dan 15 tahun bersama pasukan utama Barcelona, meskipun mereka telah bersama pasukan Catalan tersebut sejak dari dalam perut ibu masing-masing.

Kini takhta tersebut disandang Iniesta yang mula beraksi buat Blaugrana sejak 2002. Mengekori Iniesta ialah pemain Real Sociedad, Xabi Prieto dan pemain Las Palmas, Diego Garcia, yang telah mewakili pasukan masing-masing selama 12.5 tahun.

Pasukan yang sering berbelanja besar, Real Madrid pula menampilkan Sergio Ramos sebagai pemain yang paling senior yang telah berkhidmat selama 11.5 tahun dan sebelum ini takhta ini dipegang Iker Casillas – 15 tahun.

Serie A

Bila sebut Serie A, tak perlu fikir panjang. Francesco Totti kini dianggap raja Serie A. Totti mula mewakili kelab ini pada tahun 1992 – ketika ini hanya dua mata diberikan kepada setiap kemenangan. Cukup lama tu. Kontrak Totti bakal disambung semusim lagi dan usai bersara, Totti bakal menjawat jawatan penting di Roma.

Mengekori Totti di tangga kedua ialah penjaga gol terbaik dunia, Gigi Buffon yang telah bermain untuk Juventus selama 15.5 tahun, sejak dibeli dari Parma.

Kelab lagenda, AC Milan pula diwakili oleh Ignazio Abate yang telah bermain selama 7.5 tahun bersama kelab kota Milan tersebut. Kalau sebelum ini, rekod ini pasti dipegang kapten lagenda, Paolo Maldini.

Amat menarik apabila satu-satunya pemain dari Asia, Yuto Nagamoto direkodkan pemain paling setia bersama Internazionale, apabila telah beraksi selama enam tahun bersama kelab seteru AC Milan.

Ligue 1

Sebenarnya kalau nak diikutkan, kelab-kelab Ligue 1 sukar nak pegang pemain bagus mereka kerana pemain yang bagus selalunya disambar kelab England dan Sepanyol. Jadi, pemain-pemain dalam senarai ini mungkin kamu semua tidak kenal.

Pemain Caen, Seube muncul pemain paling lama beraksi dengan satu kelab, iaitu 15.5 tahun, diikuti oleh Loic Perrin yang menabur budi buat St. Etienne selama 13.5 tahun.

Kelab pak Arab, Paris Saint Germain pula sekadar merekodkan Blaise Matuidi dan Javier Pastore sebagai pemain mereka yang paling senior dengan khidmat selama 5.5 tahun.