The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Senarai 8 Pemain Yang Menggilap Bakat Bersama FC Groningen

Encik Bakri pada October 14, 2016

Bila berbicara mengenai liga Belanda ramai yang tak tahu, kurang tahu atau malas ambil tahu mengenai pasukan yang beraksi di liga Belanda. Ajax, PSV dan Feyenoord antara pasukan dikenali ramai yang juga merupakan bekas juara Eropah dan peninjau bakat dari seluruh Eropah amat berminat memantau perkembangan pemain-pemain dari kelab ini.

Kelab-kelab kerdil di Belanda walaupun jarang didengari perkembangan mengenai mereka tetapi kelab kerdil ini tetap memberi sumbangan kepada keberhasilan utama kepada bolasepak Belanda seperti FC Groningen sebuah kelab kerdil dari Utara Belanda.

FC Groningen bukanlah sebuah kelab yang berjaya, mereka memenangi Liga Divisyen Dua Belanda sebanyak dua kali pada 80-an. Mereka juga membuat kejutan pada tahun 2015 apabila menjuarai KNVB Cup dan itulah sahaja kejutan yang mampu mereka lakukan, kebanyakan perlawanan FC Groningen yang selalu terkejut.

FC Groningen ini terkenal dalam mengembangkan bakat muda melalui sistem pembangunan pemain muda mereka. Kelab ini juga menjadi tempat untuk para pemain muda dari pasukan atasan menggilap bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Selalunya pemain kelab atasan liga datang sebagai pemain pinjaman. Apabila pemain ini sudah power mereka akan kembali ke kelab asal dan kebiasaannya pemain ini akan disambar oleh kelab gergasi Eropah.

Dibawah merupakan senarai 8 pemain yang digilap bakat oleh FC Groninge. Ada antara mereka merupakan pemain bintang dunia.

8. Virgil Van Dijk

virgil-van-dijk

Menyertai FC Groningen dari Willem II pada 2010. Membuat 62 penampilan bersama Groningen sebelum menyertai Celtic pada 2013. Virgil Van Dijk mempunyai kualiti yang hebat tetapi apa yang mengejutkan pemain ini hanya mampu menarik minat Celtic berbanding pasukan gergasi lain. Pemain ini bersinar di Celtic sebelum berpindah ke Southampton..

7. Dusan Tadic

tadic

Pemain sayap Serbia ini meraih kejayaan besar di Groningen. Pemain sayap yang kreatif dan tajam ini menyajikan satu keseronokan bagi peminat. Menyertai Groningen dari FK Vojvodina pada 2010. Pada musim pertama, Tadic menamatkan musim dengan cemerlang apabila membuat 22 bantuan gol yang meletakan Tadic sebagai pemain ketiga di Eropah selepas Messi dan Ozil sebagai pemain paling banyak membuat bantuan gol.

Selepas membuat 72 penampilan bersama Groningen, Tadic berpindah ke Twente pada 2012. Tadic kini beraksi bersama Southampton selepas disambar oleh Lagenda Groningen, Ronald Koeman yang juga merupakan pengurus Southampton.

6. Leandro Bacuna

bacuna

Pemain yang lahir dari sistem pembangunan Belia Groningen. Bacuna mempamerkan aksi yang terbaik untuk membantu pasukan menamatkan musim dengan prestasi yang membanggakan termasuklah menamatkan musim 2011 ditempat ke-5 dan musim terakhir beliau bhersama Groningen pada 2012/13 di tempat ke-7 liga. Bacuna membuat 109 penampilan bersama Groningen.

Bacuna kemudiannya menyertai Aston Villa pada 2013 yang dilihat sebagai satu idea yang bagus untuk perkembangan kerjayanya tetapi dengan kedudukan Villa yang jatuh ke liga bawahan sekarang nampaknya Bacuna seperti tersilap langkah.

5. Filip Kostic

kostic

Pemain sayap Serbia ini diikat pada 2012 dari FK Radnički untuk menggantikan Tadic. Berasal dari negara dan bermain di posisi yang sama menjadikan Kostic penagganti Tadic yang sempurna. Bergelut untuk musim pertama dimana Tadic tidak mampu untuk beraksi dengan baik apatah lagi menjaringkan gol.

Pengalaman musim pertama mengajar beliau untuk menjadi pemain yang kental dan power dan menamatkan musim kedua dengan cemerlang apabila menjaringkan 12 gol. Aksinya menarik minat Stuttgart dan beliau berhijrah ke Stuttgart pada tahun 2014.

Pada musim panas lalu Kostic telah berpindah ke Hamburg dengan nilai £11.9 juta sekali gus memecahkan rekod perpindahan Hamburg.

4. Marcus Berg

berg-gronigen

Pemain sensasi Sweden ini menempatkan diri sebagai antara penyerang yang mempunyai sentuhan penyudah yang padu di Liga Eredivisie selepas menyertai Groningen dari IFK Göteborg pada 2007. Musim pertama beliau menjaringkan 18 gol dalam 31 perlawanan dan meneruskan rentak jaringan gol pada musim kedua dengan 26 gol dalam 38 perlawanan.

Hasil permainnnya yang power membolehkannya diikat Hamburg pada tahun 2009. Malangnya Berg gagal menyesuaikan diri dan menghabiskan kerjayanya berpindah dari satu kelab ke kelab yang lain sehinggalah Berg menemui kembali sentuhan penyudahnya apabila beraksi bersama Panathinaikos. Setakat ini beliau menjaringkan 71 gol dalam 116 perlawanan.

3. Daley Blind

blind-groningen-fw

Blind menyertai Groningen pada tahun 2009 sebagai pemain pinjaman untuk tempoh semusim sahaja dengan 17 penampilan. Di Groningen Blind tidak beraksi dengan baik dan mengalami krisis keyakinan. Bagaimanapun tempoh semusim cukup membuatkan Blind menjadi pemain yang memiliki ketahanan mental yang kuat dan bermain di bek kanan menyedarkan Blind bahawa pentingnya untuk menjadi seorang pemain yang serba boleh.

Pengalaman semusim di Groningen membuatkan Blind mampu beraksi dengan baik ketika beraksi bersama Ajax dan Manchester United

2. Arjen Robben

robben-gronigen

Pemain yang segar dari ladang merupakan hasil terbaik pernah di keluarkan oleh Groningen melalui sistem belia. Debut Robben bersama Groningen ketika berusia 16 tahun dan Robben tidak perlu menunggu lama untuk menjadi pemain utama. Aksi pada musim kedua mengesahkan bakat yang ada pada Robben menyebabkan Robben disambar PSV pada musim panas 2002 selepas membuat 46 penampilan.

Dari PSV Robben disambar gergasi Eropah yang dalam pembikinan iaitu Chelsea sebelum menyertai Real Madrid. Robben mempunyai masalah mudah tercedera namum selepas menyertai Bayern Munich masalah ini dapat diatasi membolehkan Robben meraih banyak kejayaan di bersama Bayern.

1. Luis Suarez

luis-suarez-fc-groningen-fw

Menyertai Groningen dari Nacional pada 2006. Pada mulanya Groningen tidak mahu mengikat Suarez tetapi Groningen akur kerana bakat yang ada pada Suarez. Pada mulanya Suarez bergelut untuk menyesuaikan diri akibat kejutan budaya (tidak dapat menggigit barangkali).

Sebagai pemain berbakat Suarez cepat mengadaptasi keadaan dan muncul sebagai penting di bahagian serangan. Suarez seperti di kenali sekarang suka terlibat dalam masalah yang bukan-bukan yang dibawa bersama dalam kariernya tetapi itu tidak mengganggu aksinya di padang.

Baca : 7 Statistik Gila Luis Suarez Bersama Barcelona

Semusim bersama sudah cukup untuk Suarez berpindah ke Ajax pada 2007 di mana beliau menjaringkan 111 gol dalam 159 perlawanan sebelum menyertai Liverpool dengan 82 gol dalam 133 perlawanan. Kini Suarez beraksi bersama Barcelona, setakat ini Suarez sudah menjaringkan 92 gol dalam 103 perlawanan.

Sumber : Squawka


Download aplikasi The Sukan di Google Play