The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Senarai 26 Pemain Skuad Harimau Malaysia Untuk Kem Fasa Akhir Menjelang Piala Suzuki Aff 2016

Encik Bakri pada October 21, 2016

Melalui laman sesawang rasmi FAM telah menyenaraikan Senarai 26 Pemain Skuad Harimau Malaysia Untuk Kem Fasa Akhir Menjelang Piala Suzuki Aff 2016, di mana hanya seorang pemain baru dipanggil dan 5 pemain digugurkan. Ikuti senarai penuh dan komen Ong Kim Swee seperti yang di petik dari laman sesawang FAM di bawah.

Hanya seorang pemain baharu dipanggil untuk kem latihan pusat kali ini iaitu penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Safee Mohd Sali yang kembali tersenarai untuk memperkuatkan jentera serangan Harimau Malaysia. Pemain berusia 32 tahun itu pernah memenangi anugerah kasut emas selaku penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 dengan 5 gol.

Selebihnya baki 25 pemain lain adalah dari kalangan 30 pemain yang telah dipanggil Kim Swee pada kem latihan pusat sebelum ini iaitu bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa “A” bertemu Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober lalu (seri 0-0) dan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober (seri 1-1).

Lima pemain yang telah digugurkan untuk kem latihan pusat terakhir ini terdiri daripada:

1. Abdul Latiff Suhaimi (PDRM)
2. Fakrul Aiman Sidid (PDRM)
3. Adam Nor Azlin (Selangor)
4. Fazrul Hazli Kadri (Perak)
5. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT).

Seramai 18 pemain daripada senarai di atas diminta untuk melaporkan diri pada 25 Oktober manakala baki 8 pemain yang terlibat dengan Final Piala Malaysia 2016 antara Selangor dan Kedah pada 30 Oktober perlu melapor diri pada Selasa, 1 November 2016.

Seterusnya barisan 26 pemain skuad Harimau Malaysia itu akan ke Port Dickson, Negeri Sembilan dari 2 hingga 4 November bagi kem bina semangat sebelum kembali meneruskan kem latihan di Wisma FAM pada 5 November termasuk menghadapi satu perlawanan antarabangsa “A” bertemu pasukan ranking ke-159 dunia, Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada Isnin, 14 November 2016.

Selepas itu, senarai 23 pemain terakhir dipilih Kim Swee akan diumumkan dan mereka dijadual berlepas ke Yangon, Myanmar pada 16 November untuk menghadapi saingan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bertemu pasukan juara pusingan kelayakan pada 20 November, Vietnam pada 23 November dan tuan rumah, Myanmar pada 26 November dengan kesemua aksi berlangsung di Stadium Thuwunna YTC.

Perlawanan separuh akhir pertama dijadual pada 3 dan 4 Disember, separuh akhir kedua pada 7 dan 8 Disember diikuti perlawanan akhir pertama pada 14 Disember dan perlawanan akhir kedua pada 17 Disember dengan kesemuanya berlangsung secara timbal balik di gelanggang sendiri dan gelanggang lawan pasukan-pasukan terlibat.

Malaysia yang pernah sekali bergelar juara Piala Suzuki AFF pada tahun 2010 ketika di bawah kendalian Datuk K Rajagobal telah berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2014 tetapi skuad kendalian Dollah Salleh itu tewas 4-3 menerusi agregat kepada juara empat kali, Thailand.

Berikut senarai 26 pemain yang disenaraikan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk kem latihan pusat fasa akhir skuad Harimau Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa ini, 25 Oktober 2016 sebagai persiapan menghadapi kejohanan Piala Suzuki AFF 2016 dari 19 November hingga 17 Disember 2016.

senarai-26-pemain-skuad-harimau-malaysia-untuk-kem-fasa-akhir-menjelang-piala-suzuki-aff-2016-fam

Penjaga Gol: Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy

Pertahanan: Shahrul Saad, Nazirul Naim, Fadhli Shas, Ronny Harun, Matthew Davies, Ahmad Khuzaimi Piee, Khairul Helmi Johari, Shahrom Kalam

Tengah: Nasir Basaruddin, Irfan Fazail, Zaquan Adha Abdul Radzak, Ahmad Fakri Saarani, Hadin Azman, Safawi Rasid, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon, S. Veenod

Penyerang: Darren Lok, Amri Yahyah, Safee Sali, Ahmad Hazwan Bakri, Norshahrul Idlan Talaha

KOMEN KETUA JURULATIH KEBANGSAAN, DATUK ONG KIM SWEE

“Tiada perubahan daripada senarai pemain sebelum ini kecuali satu penambahan iaitu Safee Sali di mana dia disenaraikan untuk memperkuatkan barisan serangan kita terutama pengalaman dan reputasi dimilikinya, bukan saja dalam padang tetapi mampu membimbing pemain-pemain muda lain seperti Ahmad Hazwan Bakri di bahagian serangan.

“Biarpun kita tahu Safee jarang beraksi bersama kelabnya, tapi kita mempunyai tempoh dua minggu latihan pusat di mana jadual latihan yang padat ini sudah tentu memberi ruang untuk saya memperbaiki segala kelemahan yang ada bukan saja pada Safee tetapi pemain-pemain lain.

“Saya memilih untuk mengekalkan pemain lain yang sedia ada dalam senarai 30 pemain sebelum ini kerana tiada masa lagi untuk saya mengenalpasti pemain-pemain lain. Ini adalah senarai terakhir sebelum tiga pemain akan digugurkan sebelum kita ke Yangon.

“Kita akan berlepas ke Yangon lebih awal iaitu pada 16 November kerana saya mahu mendapatkan rentak latihan di sana.

“Daripada apa yang kita nilaikan dan banyak aspek yang saya lihat, senarai 26 pemain ini adalah yang terbaik di mana lima pemain yang telah digugurkan itu berada dalam senarai bersedia jika terdapat pemain yang cedera.

“Memang sukar untuk saya membuat pemilihan bagi senarai 26 pemain ini tetapi saya terpaksa melakukannya untuk mendapatkan yang terbaik di posisi-posisi tertentu.

“Latihan akan diadakan seperti biasa bermula 25 Oktober ini dan banyak yang saya boleh lakukan bersama 18 pemain yang melapor diri awal ini berbanding tempoh hari apabila saya hanya ada 10 pemain yang melapor diri awal.

“Pastinya kem bina semangat di Port Dickson selama tiga hari dari 2 hingga 4 November itu cukup penting di mana ia akan dapat membentuk semangat berpasukan tinggi di kalangan pemain. Tiada satu pun latihan di padang sepanjang tiga hari berkenaan dan latihan akan disambung semula pada 5 November.

“Bagi saya, satu perlawanan persahabatan mencukupi memandangkan tempoh masa yang terhad ini. Saya ingin menumpukan kepada sesi latihan dan satu perlawanan ini penting untuk saya membentuk corak permainan sebelum kita memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2016.”