The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Gambar: Goal.com

Sebenarnya Bukan FAM Sahaja Yang Bangsat

Eikrem pada September 7, 2016

Bola sepak Indonesia baru sahaja diberi kelulusan untuk kembali beraksi di peringkat antarabangsa dan mangsa pertama ialah Malaysia. Sebenarnya boleh dikatakan tak pelik bila tewas dengan pasukan jiran ni.

Beberapa hari lepas kita ‘menyambut’ ulang tahun peristiwa pembelasahan 10-0 di tangan UAE dan mungkin 3 September patut dijadikan ‘Remembrance Day’ liga Malaysia dan perlawanan dilangsungkan dengan pemain tidak memakai baju.

Apabila pasukan kebangsaan kita tewas, baik kepada lawan yang kuat atau lemau, pastinya kita akan menuding jari kepada Persatuan KenaSepak Malaysia (FAM).

Ya, FAM pastinya berkongsi saham kebobrokan bola sepak Malaysia, tetapi mereka tidak keseorangan.

FA Negeri Berkongsi Kebangsatan

Setiap negeri mempunyai FA masing-masing dan boleh dikatakan 99% pengurusan tertinggi diduduki oleh orang yang berkepentingan.

Secara teorinya, tugas FA negeri ialah focus kepada pembangunan bola sepak dari segenap aspek – pembangunan pemain, jurulatih, sains sukan, pengadilan mahupun pengurusan.

Dan teori kekal sebagai teori.

Dalam alam realiti, FA sekadar menjadi destinasi cari pengaruh oleh golongan-golongan tertentu (baca : orang politik) seterusnya menjadikan kejayaan segera sebagai sasaran utama. Pasukan sekadar menyasarkan untuk menguasai liga dalam tempoh masa tertentu, selepas tempoh tersebut pasukan tersebut hilang dari radar bola sepak Malaysia.

Di mana pasukan ATM sekarang? Di mana mereka pada tahun 2012? Siapa menteri pertahanan ketika itu? Sekarang menteri pertahanan tersebut telah bertukar ke kementerian dalam negeri dan pasukan PDRM pula yang bermain di aras tertinggi liga Malaysia. Bagaimana prestasi PDRM sekarang?
Di mana Kelantan? Di mana Perak?

Selain mencari pengaruh, FA negeri juga menjadi tempat untuk mereka yang bangsat membuat duit. Tanyalah pengurus Selangor – Amirudin Shari dan penolongnya, Noor Hisham Mohd Ghouth – apa kaitan mereka dengan Red Giant Sdn. Bhd? Apakah nature of business syarikat tersebut? Adakah mereka mendapat komisen dari gaji pemain?

Pasukan sekecil UiTM FC pun ada masalah yang sama. Siapa yang menipu claim duit pasukan lebih dari RM10,000 dengan menjadikan pemain kriket sebagai kambing hitam, semata-mata untuk pergi ke Jepun?

Itu baru dua contoh. Kalau nak cerita setiap FA negeri memang boleh buat buku dah ni.

Pembangunan bola sepak – satu mimpi ngeri

Cuba bagi contoh FA negeri mana yang ada akademi yang teratur dan berterusan?

Kebanyakan akademi adalah usaha pencinta bola dan bergerak melalui yuran atau tajaan syarikat-syarikat kecil. Manakala kebanyakan akademi pula banyak bertumpu di Lembah Klang, dan negeri-negeri lain hampir tiada. Pemain-pemain yang bernaung di akademi-akademi swasta mungkin mampu mendapat game time yang cukup dalam tempoh pembangunan dan penggilapan bakat mereka.

Itupun kalau akademi mereka ada menyertai mana-mana pertandingan.

“Eh, PPBN kan ada!”

Berapa lama program ini mampu bertahan? Kalau dasar pendidikan negara pun berubah setiap kali menteri bertukar, apatah lagi bola sepak kanak-kanak.
Bagaimana nasib pemain yang tidak menyertai akademi? Tidak semua pemain mampu menyertai akademi yang biasanya mengenakan yuran sekurang-kurangnya RM50 sebulan. Jadi, game time mereka hanyalah ketika mewakili sekolah atau main petang-petang di padang itupun tanpa tunjuk ajar dari jurulatih atau orang yang ada pengetahuan bola sepak yang betul.

Kalau tidak, pemain yang tonjol akan kekal tonjol, yang tanduk bola pejam mata akan terbawa-bawa sampai ke tua.

Bayangkan, kalau seseorang pemain muda, katalah 12 tahun, mewakili sekolah dan bertanding sampai ke peringkat zon sahaja. Berapa minit perlawanan kompetitif yang pelajar itu dapat? 90 minit!

90 minit setahun tidak mencukupi untuk seorang pemain itu berkembang.

Malcolm Gladwell, dalam bukunya ,em>The Outliers menulis – untuk seseorang itu mahir dalam bidang yang diceburinya, latihan yang perlu dilalui adalah sekurang-kurangnya 10,000 jam. Sepuluh ribu jam!

90 minit dalam setahun kali dengan 5 tahun, hanya 450 minit, hanya 7 jam setengah perlawanan kompetitif dalam tempoh lima tahun. Itu kalau pemain itu wakil sekolah. Kalau tak wakil?

Sesetengah negeri ada liga DUN, liga parlimen, liga piala ketua kampung tapi semuanya berbentuk karnival, 8 juta perlawanan perlu dihabiskan dalam Sabtu dan Ahad. Persoalannya, adakah liga DUN itu cukup kompetitif?

Biasanya pasukan yang bertanding di liga DUN itu tiada jurulatih atau pengajar yang mahir dan memahami teknik dan skill yang diperlukan untuk menjadi pemain bola sepak yang sebenar, malah jarang ada pasukan yang mempunyai struktur latihan yang mapan.

Pemain-Jurulatih-Instructor

Pemain – jurulatih – instructor adalah tiga komponen utama bola sepak. Pemain dilahirkan oleh jurulatih, jurulatih pula dilahirkan instructor.
Siapakah instructor kejurulatihan di Malaysia?

Antara yang terkenal ialah Ismail Zakaria. Beliau mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan liga di Malaysia, jadi beliau boleh dikira layak untuk menjadi instructor.

Bagaimana pula instructor lain yang tiada pengalaman mengendalikan pasukan day in day out? Adakah mengajar teori kepada future coach tanpa contoh yang sebenar mencukupi terutamanya untuk jurulatih yang mengambil lesen B dan A?

Kesimpulan

Sebenarnya tanggungjawab menaikkan bola sepak Malaysia bukanlah di bahu FAM semata-mata. Tanggungjawab ini sepatutnya dikongsi FA negeri yang ada di Malaysia. Jadi, untuk mengubah FAM, kita perlu mengubah FA negeri.

Untuk mengubah FA negeri, kita perlu menjadi ahli gabungan dan untuk menjadi ahli gabungan, kita perlu terlibat secara aktif dengan kelab-kelab yang bermain di liga negeri tersebut.

Kalau kita tak mampu untuk menjadi ahli gabungan, kita boleh memulakan langkah paling asas – ajarkan anak-anak kita bermain bola sepak dengan cara yang betul.


Download aplikasi The Sukan di Google Play