Sebab Abe Wa, Kawe Dokleh Nok Fokus ko Bola - Jonny McKain

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Bekas pemain import Kelantan, Jonny McKain telah menyelar calon presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, dengan mengatakan dia tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah gaji pemain, dalam satu pendedahan eksklusif McKain kepada FourthOfficial.com.

"Duo tahung kawe main di Kelate duk main nga tteko sokmo bilo buleh gaji. Kawe pehe la kalu lambat kade-kade, walaupun dok patut lambat. Tapi kalu sapa dok bayar dale tempoh beberapo buley dale kotrek kawe, jeng boh! Kito saing kotrek skali, tapi alik kawe jah hok keno hormat," McKain berkata.

Menyedari bahasa Kelantannya sangat pekat dan mungkin sukar difahami, McKain menukar bahasa percakapannya ke bahasa Malaysia rasmi.[1]

McKain ketika bermain untuk Australia menentang Poland

"Saya dah hubungi bendahari pasukan banyak kali. Dia sekadar menjawab pasukan sedang berada dalam masalah kewangan atau sedang menunggu duit daripada penaja. Berapa lama lagi harus ku tunggu?

Minggu lalu, setiausaha agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor dilaporkan telah berkata bahawa semua masalah gaji tertunggak dan hutang pasukan tersebut telah diselesaikan, namun dibantah keras oleh McKain.

"Saya kecewa bila saya baca kenyataan daripada pegawai pasukan yang mengatakan mereka sudah membayar semua hutang, sebenarnya tak betul pun. Mereka berhutang dengan ramai orang tapi saya hanya boleh bercakap berkenaan situasi saya sahaja.

"Sebagai presiden, tanggungjawab Tan Sri Annuar Musa ialah memastikan hutang dibayar dan pasukan diuruskan secara professional. Cuma itu tak pernah berlaku, dan yang paling teruk tiada siapa yang memberi tekanan kepadanya dalam isu ini.

Masalah gajinya yang tak terbayar membuatkan McKain terpaksa membawa kesnya ke FIFA dan menurut McKain, KAFA sedia maklum akan perkara ini.

"Harap isu ini boleh diselesaikan supaya tiada pembaziran masa dan duit lagi. Apa yang saya nak ialah semua perkara yang dah dipersetujui dalam kontrak. Susah sangat ke!?"

Walaupun pengurusan bermasalah, McKain tetap memuji penyokong Kelantan yang menurutnya merupakan penyokong yang paling hebat.

"Saya sangat bangga dapat bermain untuk mereka. Ini kelab mereka, ini bandar mereka. Pasukan bola sepak tanpa penyokong adalah sia-sia, dan mereka sahaja yang boleh mengubah keadaan. Saya selalu tengok dan sokong mereka dari jauh. Gomo Kelate gomo!" McKain mengakhiri temubual tersebut dengan laungan hikmat penyokong Kelantan.

Nota :

1- Imaginasi penulis semata-mata. McKain dok kecek Kelate.




Paparkan Komen