The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Sazali Dedah Petua Rangkul Mr Asia, Mr Universe

Eikrem pada July 15, 2015

KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan negara, Sazali Samad mendedahkan petua, tidak menjamah makanan berlemak dan minuman manis terutama pada musim perayaan menjadi antara rahsia kejayaannya meraih gelaran Mr Asia dan Mr Universe selama ini.

sazali samad

Sub-Inspektor berusia 47 tahun itu yang mengintai kejuaraan kategori 75 kilogram (kg) Mr Asia buat kali ke-10 di Tashkent, Uzbekistan pada September ini, mengakui mengamalkan corak pemakanan rapi bagi menjaga otot badannya.

“Adik saya di Batu Pahat (Johor) akan menyediakan rendang khas menggunakan susu rendah lemak dan bukannya santan apabila menyambut Aidilfitri. Ketupat dan nasi impit juga saya makan tapi yang kosong.

“Sudah lebih 15 tahun saya mengamalkan petua ini dan Alhamdulillah, segala pengorbanan saya nampak membuahkan hasil.

“Saya juga harus berterima kasih kepada isteri saya (Hashrine Hashim) yang banyak menyokong karier saya termasuk sanggup mengorbankan cutinya sebelum ini semata-mata menemani saya ketika menyertai kejohanan di luar negara,” katanya.

Sempena Aidilfitri ini, Sazali yang meraih pingat emas kali kelima pada Sukan Polis dan Bomba Sedunia 2015 di Virginia, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, berkata dia akan mengambil cuti rehat beberapa hari sebelum menyambung semula latihan di gimnasium Majlis Sukan Negara.

Pada masa sama, dia berkata kejayaan di AS itu menjadi pembakar semangat untuk dirinya memburu gelaran Mr Universe buat kali ke-11 di Bangkok, Thailand pada November ini.

Sebagai rekod, Sazali memenangi gelaran Mr Universe pada 2000, 2004, 2006-2007, 2009-2014, serta sembilan kali gelaran Mr Asia iaitu pada 1996, 1998-2000, 2004, 2009-2010, 2012 dan 2014.

Mengenai kecederaan lututnya sebelum ini, Sazali berkata ia sudah bertambah baik namun masih perlu berhati-hati ketika melakukan latihan bagi memastikan ia tidak kembali berulang. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian 


Download aplikasi The Sukan di Google Play