The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Sasaran Lim Teong Kim : Malaysia Layak Ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun Pada 2019

Encik Bakri pada July 1, 2015
Nama Lim Teong Kim kini sudah tidak asing lagi terutama selepas dilantik mengalas tugas sebagai Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara baru-baru ini.Tugas yang dipikul oleh Teong Kim kini boleh dianggap amat berat iaitu untuk memastikan kualiti bola sepak di negara ini berada di tahap yang terbaik.

Bagaimanapun, pengalamannya sebagai bekas penolong jurulatih pasukan akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich Bawah 19 tahun dijangka mampu menjadi bekalan bermakna buat Teong Kim dengan tugas baharunya itu.

Baca Juga : Siapakah Lim Teong Kim?

Bagi mendalami misi utama Projek Pembangunan Bola Sepak Negara ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN bersama Teong Kim.

S – Apa yang bermain dalam fikiran anda semasa mendapat panggilan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk mengalas jawatan sebagai Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara?

Lim Teong Kim: Saya dapat panggilan tersebut pada September lalu dan beliau (Khairy) telah bincang untuk membangunkan bola sepak di peringkat belia, malah menunjukkan komitmen yang tinggi bagi membangunkan bola sepak di Malaysia.

Ketika ini saya tidak mempunyai apa-apa komitmen lain tambahan pula kontrak saya bersama Bayern Munich telah tamat berikutan berlaku perubahan dalam struktur kelab tersebut.

Disebabkan keinginan yang tinggi disuarakan oleh Menteri Belia dan Sukan itu menyebabkan saya terus bersetuju untuk kembali ke Malaysia dan mengalas tugas yang diberikan.

Saya juga fikir pengalaman yang saya miliki sewaktu 12 tahun membimbing pasukan remaja Bayern Munich termasuk melatih, Thomus Muller, Diego Contento dan David Alaba perlu dikongsikan untuk pembangunan bola sepak di negara ini.

S -Terangkan lebih lanjut berhubung perjalanan program setakat ini?

LTK: Saya telah terlibat dalam program ini sejak November tahun lalu dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar selain memiliki pusat latihan di setiap negeri.

Setiap dua minggu pemain daripada skuad Projek 2019 akan datang menjalani latihan selama tiga hari iaitu Jumaat hingga Ahad.

Hasil kerjasama yang baik daripada Kementerian Pendidikan membolehkan kami mempunyai 11 pemain di peringkat usia 11 hingga 12 tahun.

Program ini akan melibatkan beberapa peringkat iaitu pertama atau pengenalan melibatkan usia enam hingga sembilan tahun, mereka ini akan diajar berkaitan teknik, taktikal, pemulihan fizikal dan psikologi.

Pada peringkat kedua melibatkan usia 10 hingga 12 tahun mereka akan belajar perkara yang sama tetapi dalam pecahan topik berbeza selain lebih terperinci begitulah seterusnya hingga peringkat usia 16-19 tahun.

S – Apakah matlamat utama Skuad 2019 yang berada dalam program pembangunan bola sepak ini?

LTK: Ini adalah langkah pertama kami untuk menjayakan program pembangunan di negara ini iaitu dengan Skuad Projek 2019.

Mengapa ia dinamakan Skuad Projek 2019 kerana pemain remaja yang ada ketika ini akan dilatih untuk melaksanakan misi utama iaitu beraksi pada Piala Dunia Bawah 17 Tahun 2019 dan mereka perlu melepasi kelayakan pada 2017.

Oleh kerana itu semuanya telah digerakkan bermula sekarang dan kita mempunyai tempoh masa lima tahun lagi untuk melihat hasilnya.

S – Setakat ini anda gembira tak dengan perjalanan program ini ?

LTK: Setakat ini saya gembira dengan perjalanan program ini dan budak-budak yang memasuki program ini mempunyai bakat tersendiri.

Saya juga berharap jurulatih di setiap negeri dapat memberikan komitmen yang baik untuk sama-sama membangunkan projek yang telah dirancang.

Bagi saya peranan jurulatih amat penting kerana mereka memikul tanggungjawab besar berikutan perlu mengilap sebutir permata untuk menjadi lebih menarik.

S – Adakah elemen yang diterapkan dalam projek pembangunan ini sama seperti yang ada di Eropah atau di Bayern Munich?

LTK: Golongan seawal usia 11 hingga 12 tahun ini mereka perlu tahu perkara asas sebagai pemain bola sepak.

Bermain bola sepak bukan sekadar mempelajari teknik, taktikal permainan tetapi kami di sini amat menitik beratkan berkaitan nilai sosial kepada budak-budak ini supaya apabila mereka mencapai usia 17 tahun dan ke atas pemain ini mempunyai perwatakan yang profesional, mental yang kuat dan mempunyai cita-cita tinggi.

Semua perkara tersebut penting dalam diri seseorang pemain bola sepak di dunia ini. Pemain tidak boleh mencapai kejayaan sekiranya sekadar mempelajari teknik permainan bola sahaja.

Untuk makluman semua program yang terkandung dalam projek pembangunan ini sama seperti yang digunakan oleh dunia termasuk Eropah dan Bayern.

Elemen berkaitan hantaran bola, serangan, bertahan, mengawal bola dan semua yang ada akan diajarkan kepada pemain di sini iaitu berkaitan teknik dan taktikal dalam sistem permainan.

Bagi saya pemain Malaysia bukan tidak bagus, malah mereka juga manusia yang sama seperti pemain di Eropah cuma kami perlu menyuntik keyakinan dalam diri pemain seawal usia mereka kanak-kanak lagi untuk menjadikan mereka ini lebih cemerlang apabila dewasa kelak.

S – Pada pemerhatian anda apa kekurangan dalam bola sepak di negara ini ?

LTK – Saya mahu kongsi sedikit pengalaman saya sepanjang 12 tahun berada di Bayern Munich. Kelab Jerman tersebut mempunyai kemudahan infrastruktur yang cukup optimum untuk pembangunan bola sepak dan mereka ada 12 pasukan bola sepak untuk setiap peringkat usia.

Malah, kelab itu mempunyai lapan padang bola yang sentiasa mengikut piawaian terbaik dunia termasuk berkaitan penjagaan rumput, bilik analisis, pakar perubatan sendiri, gimnasium khas untuk pemulihan pemain dan corak latihan yang sungguh sistematik.

Semua itu penting untuk membangkitkan emosi dan semangat pemain.

Di Malaysia sepatutnya perlu ada kemudahan tersebut terutama di peringkat negeri.

Satu lagi jika anda lihat permainan bola sepak di Eropah mereka mempunyai corak hantaran yang kemas, kelajuan yang tinggi dan mempunyai kreativiti dalam taktikal permainan.

Ini semua tidak ada dalam diri pemain itu jika tidak digilap oleh seseorang yang bernama jurulatih. Sekarang anda sudah nampak apa yang penting dalam bola sepak iaitu peranan jurulatih itu sendiri.

Kita tidak boleh salahkan pemain seratus peratus jika mereka gagal mempamerkan aksi terbaik sebaliknya semua ini akan berpaling kembali kepada jurulatih itu sendiri kerana jika jurulatih itu seorang yang mementingkan kualiti maka kualiti akan mereka peroleh.

Bagi saya jurulatih yang ada sekarang perlu dipertingkatkan lagi dan itu juga adalah sebahagian daripada pelan dalam program pembangunan bola sepak di negara ini.

S – Anda rasa Malaysia mempunyai banyak bakat untuk menjayakan program ini ?

LTK: Ya… Saya lihat ada ramai bakat tetapi tidak cukup jika kita sekadar mengharap kepada bakat ini sahaja.

Bakat yang ada ini umpama belian, mereka perlu digilap dan kita memerlukan pengukir yang mempunyai maruah yang tinggi bagi menghasilkan produk berkualiti.

S – Sasaran spesifik untuk layak Ke Piala Dunia ?

LTK: Buat masa ini saya sekadar meletakkan sasaran untuk Malaysia layak ke Piala Dunia bawah 17 tahun pada 2019 dan selepas itu kita akan nilai prestasi pasukan Skuad Projek 2019.

Jika Skuad Projek 2019 mempamerkan kualiti yang memberangsangkan saya percaya tidak mustahil mereka ini akan mewakili Malaysia untuk beraksi pada Piala Dunia di peringkat senior nanti.

Malah saya percaya selepas 10 tahun semua pemain yang berada dalam Skuad Projek 2019 ini akan faham erti sebenar Piala Dunia dalam karier bola sepak mereka.

-Utusan-