Rooney Pilih Untuk Kekal Di Bangku Simpanan Manchester United

Mohd Hazwan oleh Mohd Hazwan 6 bulan yang lalu

Kapten dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Manchester United, Wayne Rooney mengambil keputusan untuk kekal memanaskan bangku simpanan Manchester United walaupun dilaporkan mendapat tawaran yang lumayan dari kelab-kelab Liga Super China.

Rooney semakin kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Manchester United untuk musim ini dengan kehadiran penyerang veteran yang handal, Zlatan Ibrahimovic dan peningkatan pemain-pemain muda seperti Anthony Martial dan Marcus Rashford.

Adakah zaman kegemilangan Wayne Rooney telah berakhir?

Tawaran Lumayan Dari Kelab Liga Super China

Antara kelab-kelab Liga Super China yang berminat untuk mendapatkan khidmat Wayne Rooney dan yang paling penting mampu untuk membayar gaji mahal setiap minggu ialah Beijing Guoan, Jiangsu Suning and Tianjin Quanjian. Pasukan bola sepak di Liga Super China dibenarkan untuk memiliki lima pemain import termasuk seorang kuota pemain import dari Asia. Jika Rooney bersetuju untuk berhijrah ke China, dia akan menjadi pemain dengan gaji paling mahal di atas muka bumi dengan anggaran gaji £750,000 seminggu dan menyertai beberapa lagi pemain bintang seperti Carlos Tevez, Oscar, Graziano Pelle dan Ezequel Lavezzi.

Bekas rakan sepasukan Rooney, Carlos Tevez yang kaya raya.

Fokus Kepada Perlawanan Akhir Piala EFL

Semalam Wayne Rooney kelihatan memandu kereta ke padang latihan pasukan di Carrington 24 jam selepas membuat keputusan untuk kekal di Manchester United dan bersedia untuk merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama. Dia telah disenaraikan oleh Jose Mourinho dalam senarai 18 pemain yang akan menentang Souhampton dalam perlawanan akhir Piala EFL di Stadium Wembley hujung minggu ini. Namun nasib Rooney pada musim depan masih lagi samar-samar.

“Saya pun masih belum tentu ada musim depan. Macam mana saya nak beri jaminan yang dia (Rooney) akan kekal bersama dengan pasukan”, kata Mourinho.

Mourinho Dan Rooney Bersahabat Baik Di Luar Padang.

Sokongan Bekas Pemain United

Beberapa bekas pemain Manchester United seperti Paul Scholes, Rio Ferdinand, Roy Keane dan Phillip Neville memberikan sokongan supaya Rooney terus kekal bersama United sekurang-kurangnya sehingga hujung musim. Wayne Rooney dinasihatkan untuk terus bermain di kelab-kelab bola sepak Eropah jika dia mempunyai keinginan untuk berhijrah ke pasukan lain pada musim depan dan tidak memikirkan soal wang yang tidak boleh dibawa ke kubur.

Walaupun kurang mendapat tempat pada musim ini, peluang Rooney untuk meningkatkan kembali prestasinya yang hambar masih terbuka luas untuk musim depan selain pengalamannya diperlukan pasukan-pasukan lain dan semestinya England menjelang Piala Dunia 2018 di Rusia tahun depan.




Paparkan Komen