Rivaldo: Gabriel Jesus Patut Tinggalkan Manchester City

Izuddin oleh Izuddin 4 hari yang lalu

Penyerang lagenda Brazil, Rivaldo menggesa Gabriel Jesus supaya meninggalkan Manchester City pada jendela perpindahan musim panas nanti bagi mendapatkan lebih banyak peluang beraksi.

Jesus tidak disenaraikan dalam skuad Manchester City bagi perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu ketika menentang Brighton, dan Rivaldo percaya masanya telah tiba untuk Jesus mencari sesuatu yang baru dalam kariernya.

Rivaldo menggesa Jesus meninggalkan Etihad untuk mencari lebih banyak waktu permainan

Penyerang berusia 22 tahun itu telah melakukan 46 penampilan dalam semua pertandingan musim ini tetapi hanya mampu berada dalam kesebelasan utama sebanyak 20 kali sahaja. Jesus menjaringkan 19 gol untuk membantu The Citizens mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala Carabao.

Sebelum ini, Jesus pernah mengeluarkan kenyataan dimana beliau menganggap Etihad Stadium sebagai 'rumahnya', tetapi pada April lalu beliau mengakui perasaan kecewanya kerana peranan yang berkurangan musim ini berikutan prestasi cemerlang Sergio Aguero mengetuai jentera serangan pasukan.

"Saya sentiasa mahu bermain. Sudah tentu saya berasa kecewa tetapi kebaikan dari situasi ini adalah ia membuatkan saya bekerja dan berlatih lebih keras. Saya sentiasa berterus-terang dimana saya mahu bersama pasukan ini."

Corak permainan yang diterapkan Pep Guardiola hanya memungkinkan seorang penyerang diturunkan dan Aguero dan Jesus terpaksa berjuang untuk merebut satu slot dalam kesebelasan utama.

Pep lebih mengutamakan Aguero musim ini

Berbeza dengan musim lepas, musim ini menyaksikan Aguero lebih kerap bermain dan Jesus sering memanaskan bangku simpanan sahaja.

Pada awal musim ini, Jesus juga telah dicabar Guardiola untuk meningkatkan lagi tahap permainannya dan berjuang untuk merampas kembali tempatnya dari Aguero. Tetapi sejak dari itu, wujud spekulasi liar yang mengatakan Manchester City bersedia menjual Jesus pada jendela perpindahan akan datang bagi memberi ruang kepada pemain baru.

Sekiranya Manchester City bersetuju melepaskan Jesus, pemain tersebut tidak perlu risau kerana ia akan memanfaatkan kariernya pada masa hadapan, menurut pandangan rakan senenagaranya Rivaldo.

"Gabriel Jesus tidak berapa memainkan peranan musim ini berbanding musim lepas dan saya rasa beliau mempunyai dua pilihan untuk dilakukan bagi saingan musim hadapan."

"Sebagai seorang pemain muda, beliau boleh terus bekerjasama dan berlatih di bawah bimbingan Pep Guardiola dan berharap diberikan lebih banyak peluang. Atau Jesus boleh meninggalkan Manchester City dan mencari kelab baru dalam misi untuk menjadi pemain utama dalam kesebelasan utama."

19 gol berjaya dijaringkan Jesus walaupun bertindak sebagai penyerang sokongan kepada Aguero

"Saya melihat pilihan ke-2 sebagai pilihan yang lebih bagus. Beliau sudah menimba pengalaman dan matang di Manchester City dan bersedia untuk mencari cabaran baru dalam pasukan yang mengaggap beliau sebagai pemain penting."

Jesus menyertai Manchester City pada tahun 2017 dari kelab Brazil, Palmeiras dan kontraknya hanya tamat pada tahun 2023.




Paparkan Komen