Reviu Pilihan MSL #09 : Perak Kuasai Bola, T-Team Kuasai Perlawanan!

Seladang Tacts Amirul oleh Seladang Tacts Amirul 6 bulan yang lalu

Setelah sebulan berehat dari sebarang aksi domestik, Perak dan T-Team akhirnya bertemu pada perlawanan ke-9 Liga Super Malaysia. Kedua-dua pasukan pertengahan liga ini ternyata mahu mengutip mata penuh untuk meneruskan cabaran untuk menduduki takhta liga. Selain itu, kedua-dua pasukan juga memiliki hasrat dan misi mereka yang tersendiri menjelang perlawanan Sabtu lalu.

Mehmet dan anak buahnya mahu memastikan 3 mata penuh menjadi milik mereka di laman sendiri demi memenangi hati peminat dan sekaligus mengembalikan semula kredibiliti mereka sebagai salah sebuah pasukan pilihan kejuaraan liga musim ini. Darmawan pula mahu T-Team selesa mengelakkan diri mereka daripada zon penyingkiran. Amat menarik untuk disaksikan sebenarnya!

Rangkuman Perlawanan : 'Lord' Hadi Kembali!

Tatkala peminat Perak menyangka bahawasanya segalanya sudah tamat bagi mereka, muncullah seorang penyelamat yang tidak disangka-sangka datang membantu! Malam yang penuh kontroversi ini bermula dengan jaringan menerusi Yashir Pinto pada minit ke-12 perlawanan. Yashir Pinto bijak mengesan jurang yang terdapat di bahagian 'near post' lalu Pinto menendang bola lencong ke dalam jurang tersebut.

  • Tamat Separuh Masa Pertama, Perak 1-0 T-Team

Bersambung babak kedua, T-Team tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan apabila Dilshod berjaya melakukannya pada minit ke-49. Menerusi satu situasi yang disangka ofsaid oleh pertahanan Perak, Dilshod berjaya menendang masuk bola yang dihantar secara 'cutback' kepadanya. Tempo permainan Perak mulai menurun ketika ini. Hanya ada satu kesimpulan; sabun!

Di saat Perak dilihat sedang asyik menyerang kubu pertahanan T-Team dengan radikal, Perak tersentak lagi apabila gawang Perak sekali lagi dirobek oleh T-Team menerusi Fahrulrazi pada minit ke-71. Sekali lagi menerusi hantaran 'cutback', Fahrulrazi menendang kencang bola tersebut ke arah Hafizul Hakim, sekencang tendangan Stephen Chow dalam filem 'Shaolin Soccer'!

Pergerakannya sepantas harimau bintang, tendangannya pula selaju tumbukan Muhammad Ali! Itulah kelebihan lelaki super yang bernama Abdul Hadi Yahya ini. Tatkala ramai yang menyangka Perak tewas di laman sendiri, Abdul Hadi Yahya berjaya menendang masuk sepakan penalti yang dianugerahkan secara kontroversi oleh Zamzaidi Katimin, pengadil perlawanan tersebut.

  • Tamat Perlawanan, Perak 2 - 2 T-Team

Data & Statistik Perlawanan Edisi TheSukan - Bukti Perak Kuasai Bola!

Terima kasih semua kerana sudi membaca seksyen ini dan menghargai titik-titik air sabun saya selama 2 hari, mencatat statistik perlawanan dengan gigih! Berbanding T-Team yang bermain secara mudah, Perak berjaya menguasai bola sebaik mungkin namun gagal menyudahkan bola dengan klinikal. Berikut adalah data & statistik penuh perlawanan :

  • STATISTIK PENUH PERAK [2] - [2] T-TEAM
  • Percubaan : 13 - 7
    Percubaan Tepat : 5 - 4
    Percubaan Tersasar : 8 - 3
  • Jumlah Hantaran : 330 - 250
  • Hantaran Tepat : 296 - 222
    Hantaran Tersasar : 34 - 28
    Hantaran Lintang (Kanan) : 7 - 8
    Hantaran Lintang (Kiri) : 5 - 5

    Pintasan : 37 - 38
    Kesalahan : 8 - 6
    Ofsaid : 2 - 2
    Sepakan Sudut : 2 - 5
    Kad (Kuning/Merah) : 1/0 - 2/0

  • Penguasaan Bola : 51% - 49%

Petunjuk : Perak (Kiri), T-Team (Kanan)

Reviu Perlawanan : T-Team Lebih 'Direct', Perak Hilang Fokus!

Secara keseluruhan, perlawanan T-Team dan Perak bukanlah pertarungan taktikal sebenarnya. Perlawanan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor penting seperti keadaan padang, mutu pengadilan, cuaca dan kecergasan pemain. Oleh itu, perkara berikut adalah beberapa perkara yang sempat saya sedari semasa perlawanan ini :

T-TEAM : Dengan Samassa berseorangan di bahagian serangan, T-Team banyak bermain secara 'direct football' untuk melepasi 'tight area' Perak dan pada masa yang sama, mereka mengharapkan Dilshod dapat menyudahkan bola kedua/bola muntah di zon 14. Selain itu, pemain sayap T-Team lebih cenderung untuk menghantar bola secara 'cutback'.

PERAK : Perak pula sangat dominan pada 20 minit pertama perlawanan dengan banyak serangan bertali arus dilancarkan mereka. Namun, Perak sangat cepat untuk memperlahankan tempo dan Mirchev juga gagal menyudahkan 4-5 peluang terbaiknya! Pertukaran Shahrul dengan Nasir adalah kesilapan taktikal daripada Mehmet kerana di saat Perak memerlukan gol, kenapa seorang 'ball-winning midfielder' dimasukkan?

Pemain Terbaik Pilihan TheSukan : Yashir Armando Pinto Islame

Yashir Pinto sangat rajin dalam perlawanan ini dengan sangat aktif bergerak ke seluruh bahagian padang dan gol pendahuluannya amat membantu peminat Perak untuk lega sepanjang separuh masa pertama. Oleh itu, Yashir Pinto berhak dinobatkan pemain terbaik pilihan TheSukan!




Paparkan Komen