Reviu Perlawanan Separuh Akhir Ke-2 Piala FA : Terengganu FA 0 (0) - (4) 3 Kedah FA

Seladang Tacts Amirul oleh Seladang Tacts Amirul 5 bulan yang lalu

Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah hampir roboh dan bergegar disebabkan kehadiran kedua-dua penyokong yang bertanding; Terengganu dan Kedah yang sungguh ramai sehingga boleh dikatakan semua bahagian kapasiti stadium dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan.

Kedah yang hadir ke Kuala Terengganu, membawa bekalan 1 gol yang sudah pastinya menjadi pilihan untuk mara ke peringkat akhir Piala FA 2017. Terengganu pula mahu kembali ke landasan yang benar dan menjaringkan gol sebaik babak pertama dimulakan. Pasukan mana yang akan mara?

Rangkuman Perlawanan : Serangan Kedah Efisien, Terengganu Banyak Melakukan Kesilapan Pertahanan

Terengganu memulakan babak pertama dengan satu serangan pantas namun gagal menemui sebarang sentuhan penyudah. Sebaliknya, Kedah sudah di hadapan seawal minit ke-5 hasil tendangan Syazwan Zainon yang terkena tiang sebelah kiri Amierul lalu ditampan masuk oleh Liridon dengan mudah.

Terengganu tekad untuk bangkit setelah ketinggal dengan agregat 0-2 melalui beberapa siri serangan ke arah gawang gol Kedah namun gagal untuk menemui sebarang gol. Faiz Nasir menjadi pemain paling banyak bergerak dan membantu Terengganu menyerang.

Namun, luka Terengganu bertambah parah! Pemain tengah Terengganu, Shukor Jusoh melakukan satu kesilapan hantaran dan hantaran itu singgah di kaki Ken Ilso. Ken Ilso melakukan satu gelecekkan melepasi Lazard dan merembat masuk bola ke sudut bawah sebelah kanan Amierul.

Sumber Foto : Imgwmp

Tamat Separuh Masa Pertama, Terengganu 0 - 2 Kedah

Sebermula separuh masa kedua, Kedah terus menyerang dengan pantas dan Sandro berjaya menjaringkan gol setelah menggelecek bola melepasi  Amierul seawal minit ke-47. Jaringan itu seolah-olah merentap jiwa dan raga penyokong Terengganu setelah mereka nampaknya sudah ditunjukkan jalan keluar oleh Kedah sebaik separuh masa kedua bermula.

Duo import terbaik Malaysia ketika ini! Sumber Foto: FourFourTwo

Namun, Terengganu masih lagi bersemangat untuk mengubah semula perlawanan untuk berpihak kepada mereka. Dua serangan di sebelah kiri daripada J. Partiban nampaknya hampir-hampir membantu Terengganu untuk sekurang-kurangnya memperoleh gol saguhati buat mereka. Malangnya, segalanya sudah terlambat buat Terengganu!

Tamat Perlawanan, Terengganu 0 (0) - (4) 3 Kedah

Analisis Taktikal : Kedah 'Bermain Seperti Kedah', Ferris 'Hilang Dari Radar'?

Kedudukan Dan Posisi Pemain Menerusi Formasi Mereka.

Tidak banyak untuk diperkatakan tentang Kedah di mana Kedah kembali bermain seperti kebiasaan dan tanpa Zac, pertahanan Kedah tampak kukuh dengan gandingan Syawal-Khairul Helmi. Bezanya, pertahanan sisi Kedah tidak banyak memberikan keluasan dan bantuan serangan kepada pemain tengah menyerang sisi (Syazwan/Baddrol).

Lagipun, Syazwan dan Baddrol nampaknya lebih banyak bergerak ke separa ruang (halfspace) dan memenuhi kawasan tengah. Seterusnya, jika kita lihat pada rajah di atas, Terengganu nampaknya mencuba formasi baru dengan cerminan kepada formasi Kedah tetapi gagal untuk mengatasi kecairan (fluidity) formasi dan taktikal Kedah.

Selain itu, terdapat beberapa masalah teknikal dan taktikal bagi Terengganu malam tadi. Salah satu masalahnya merupakan 'kehilangan' Ferris Danial. Hal ini mengingatkan saya kepada permainan Leroy Sane v Bournemouth di mana lemahnya sambungan di antara Sane dan pemain lain. Hal ini juga berlaku kepada Ferris Danial. Anda boleh rujuk rajah di bawah :

Jaringan Kepada Sambungan Pemain Terengganu (v Kedah)

Selain itu, Shukor Jusoh juga menunjukkan sambungan yang lemah dengan pemain-pemain lain dan meninggalkan satu 'loop hole' di zon 14. Lutfulla Turaev juga agak pasif sepanjang 90 minit permainan. Namun, Faiz Nasir patut diberikan kredit kerana permainannya yang aktif menyebabkan Terengganu masih mampu menyerang sehingga minit ke-90.

'Ball-watching' juga berlaku dalam perlawanan ini dengan pertahanan Terengganu seperti yang disaksikan pada gol pertama Kedah.

Oh ya, tidak dilupakan bahawa Terengganu menggunakan 'false 9' dalam perlawanan malam tadi. 

Pemain Terbaik Pilihan Penulis :

Liridon Krisniqi (Kedah FA)




Paparkan Komen