Reviu Perlawanan Akhir Piala FA 2017 : Kedah Juara Tetapi Pahang Kegemaran Semua?

Seladang Tacts Amirul 2 bulan yang lalu

Stadium Shah Alam mulai sesak dan penuh dengan umat manusia dari utara dan pantai timur tanah air sejak dari awal pagi lagi untuk menyaksikan pertembungan terakhir kedua-dua pasukan bertanding dalam salah satu pertandingan berprestij di Malaysia; Piala FA.

Pada temubual pra-perlawanan, Dollah Salleh telah memulakan perang psikologi terhadap skuad yang diterajui Nidzam Adha dengan mengatakan bahawasanya Pahang hanya pasukan bukan pilihan menentang Kedah. Menurut rekod, pertemuan terakhir Kedah-Pahang pada 11 Februari lalu telah menyaksikan Kedah menang besar ke atas Pahang, 4-1. Menarik untuk disaksikan!

Rangkuman Perlawanan : Insiden Kiko Insa Menjadi ‘Pendorong’ Semangat Pahang?

Sebaik sahaja wisel sepak mula ditiupkan oleh pengadil perlawanan, Nagor Amir, Pahang terlebih dahulu masuk ke kotak penalti Kedah dan menyerang pantas gawang gol Kedah yang dikawal oleh Ifwat Akwal namun tidak berjaya melepasi benteng pertahanan Kedah yang diketuai oleh Khairul Helmi dan Syawal Nordin.

Sebaliknya, Kedah dahulu di hadapan hasil hantaran lintang Syazwan Zainon dari kawasan separa ruang (halfspace), melepasi Wan Azraie dan berjaya ditampan masuk oleh Ken Ilso pada minit ke-20. Sandro Mendonca hampir sekali untuk mencatat namanya sebagai salah seorang penjaring gol perlawanan namun tendangannya terkena palang.

Ketika kehangatan perlawanan sedang menuju ke peringkat klimaks, insiden Kiko Insa sedikit merencatkan perlawanan setelah Insa dilihat membelanjakan ‘KFC’ kepada Rizal Ghazali dan dilayangkan kad kuning kedua. Peluang terbaik Pahang muncul apabila pemain asing baharu mereka, Yamil Romero berjaya mengelecek melepasi 3 orang pemain Kedah sebelum dihantar kepada Matheus Alves namun sepakannya tersasar.

Kedah pula berjaya untuk menjaringkan gol menerusi Baddrol Bakhtiar di kawasan kegemarannya pada minit ke-45. Di saat ramai yang menjangkakan bahawasanya separuh masa pertama akan tamat dengan jaringan 2 gol tanpa balas, Heo Jae-Won muncul sebagai orang yang mengubah perlawanan ini setelah tendangannya membias, melepasi penjaga gol Kedah.

Tamat Separuh Masa Pertama, Pahang 1-2 Kedah

Sebermulanya separuh masa kedua, Pahang terus mengasak dan ‘menggila’ kawasan kotak penalti Kedah dengan bertubi-tubi ibarat disampuk oleh semangat Tok Gajah. Pahang hampir beberapa kali berjaya untuk menjaringkan gol namun berjaya ditepis Ifwat Akmal Che Kassim.

Biarpun begitu, Kedah berjaya menjaringkan gol sekali lagi menerusi Baddrol Bakhtiar yang tenang menampan masuk bola yang dihantar Ken Ilso, melepasi Heo Jae-Won dan Wan Azraie pada minit ke-72. Ramai yang menjangkakan Pahang akan menyerah kalah setelah gol itu dijaringkan namun sebaliknya pula yang berlaku!

Pahang terus dan terus mengasak kubu pertahanan Kedah dari semua sisi padang sehinggalah pada minit ke-80, hasil hantaran lintang Yamil Romero yang melencong ke luar, Sumareh berjaya menanduk bola hantaran Romero tersebut dan meletakkan Pahang 2-3. Pahang terus menyerang kubu pertahanan Kedah menerusi tandukan Muslim dan Matheus namun gagal menghasilkan gol penyamaan.

SHAH ALAM, 20 Mei — Ketua pasukan Kedah Khairul Helmi Johari menjulang piala Piala FA 2017 selepas menewaskan pasukan Pahang dengan jaringan 3-2 di Stadium Shah Alam hari ini. Sumber Gambar : MalayMailOnline/BERNAMA

Tamat Perlawanan, Pahang 2-3 Kedah

Analisis Taktikal : Kelemahan Pertahanan Kedah Dimanipulasi Pahang?

Jaringan dan Posisi Pemain Dalam Formasi Mereka

Dollah Salleh melakukan perubahan taktikal di mana mereka menggunakan formasi 4-1-4-1, formasi yang sama digunakan ketika menentang Negeri Sembilan. Hal ini telah membuatkan Alves jelas terpaksa melupakan sistem ‘terapung’ (floating/free role) yang biasa dimainkan beliau. Kedah pula mengekalkan formasi utama mereka, 4-2-3-1 dalam perlawanan kali ini.

Secara kasarnya, Pahang mengekalkan corak serangan dari kawasan luas dan mereka juga menggunakan Yamil Romero sebagai penyerang bayangan (‘shadow striker’). Kedah pula mengekalkan corak permainan hantaran pendek pantas dengan Liridon kekal sebagai titik serangan (focal point).

Dari segi defensif, Pahang bertahan secara pengawalan zon (zonal marking) dan berdasarkan pergerakan bola (ball-orientation). Kedah pula bertahan dengan pengawalan hibrid (campuran man-marking dan zonal marking) dengan Syawal kekal untuk menjadi ‘stopper’ dan Akram Mahinan sebagai pelindung zon 14 Kedah.

Secara dasarnya, Pahang gagal untuk memecahkan kawasan padat (‘tight area’) Kedah yang sangat padat. Oleh itu, Pahang terpaksa bermain secara luas dan memaksa pemain Kedah untuk membubarkan kawasan padat mereka. Kedah pula melalui Liridon, terlalu banyak bermain secara ‘santai’ dan kerapkali melepaskan bola dengan mudah.

Gambar Ihsan TV3

Kedah juga gagal bertahan dengan baik dengan bola hantaran lintang dan serangan di separa ruang (halfspace) gagal dihentikan mereka. Terlalu banyak ‘ball watching’ dalam perlawanan kali ini daripada Kedah, sebenarnya! Pahang pula menerusi Faisal Rosli, gagal untuk mengawal zonnya dan terhasillah gol-gol sepertimana yang anda boleh lihat pada 2 gambar di atas.

Konklusinya, Pahang dan Kedah berhak untuk bermain di pentas akhir ini kerana kedua-duanya menunjukkan corak serangan dan bertahan yang hampir sama kuatnya. Kelemahan Kedah berjaya dimanipulasi Pahang dan mereka berjaya menjaringkan 2 gol.


Nota Kaki : Maaf tetapi data tidak dapat disediakan kerana petugas kami sakit pada malam perlawanan!