Reus: Setiap Pemain Bolasepak Ada Pasang Surut, Kecuali Ronaldo & Messi

Izuddin oleh Izuddin 3 bulan yang lalu

Pemain sayap Borussia Dortmund, Marco Reus percaya kecederaan telah banyak mempengaruhi perjalanan karier beliau beberapa tahun kebelakangan ini sambil menambah kecederaan adalah asam garam dalam bolasepak kecuali jika anda adalah Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Reus berkata Messi dan Ronaldo merupakan satu pengecualian kerana permainan mereka berdua terus meningkat walaupun usia mereka makin bertambah. Reus juga percaya pemain bolasepak yang lain akan melalui pasang surut dalam karier mereka disebabkan kecederaan yang dialami pemain tersebut.

Semua pemain ada pasang surut kecuali Messi dan Ronaldo

Reus merupakan produk akademi Dortmund tetapi mencipta nama bersama Borussia Monchengladbach selama 3 tahun sebelum kembali menyertai Dortmund pada tahun 2012. Permulaan kariernya bersama Dortmund berjalan dengan baik dimana beliau telah dinamakan Pemain Terbaik Bundesliga sebanyak dua kali.

Disebabkan dominasi Bayern Munich dalam Bundesliga, satu-satunya trofi Reus bersama Dortmund adalah Piala DFB Pokal yang dimenanginya pada musim 2016/2017.

Pemain antarabangsa Jerman ini tidak bernasib baik jika ia melibatkan kecederaan. Beliau pernah mengalami beberapa kecederaan yang serius dan yang terbaru adalah kecederaan putus urat ligamen yang dialaminya ketika perlawanan akhir Piala DFB Pokal musim lepas.

Dalam satu temubual eksklusif bersama Goal, Reus berkata beliau tidak berasa kecewa dengan nasib malangnya yang kerap mengalami kecederaan serius.

"Biasanya dalam karier seorang pemain bolasepak, ia tidak akan berterusan meningkat kecuali jika anda adalah Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. Anda akan mengalami kecederaan dan tersangkut pada tahap yang sama buat seketika."

Mencipta nama bersama seteru setempat Dortmund , Borussia Monchengladbach

"Amat penting untuk anda menyedari hakikat tersebut. Kecederaan adalah sebahagian daripada karier pemain boalsepak. Walau apapun pendapat pihak luar mengenai anda, anda harus mempunyai mental yang stabil. Anda tidak boleh selalu berkata 'saya perlu menikmati bolasepak'."

Sejak kembali pulih dari kecederaan terbarunya, Reus berjaya menampilkan prestasi yang agak baik untuk Dortmund dalam 5 perlawanan terakhirnya. Reus berjaya menyumbang 3 gol dan baru sahaja menandatangani kontrak baru untuk terus kekal bersama Dortmund sehingga tahun 2023.

Pemain berusia 28 tahun ini mengakui beliau tidak sabar untuk kembali beraksi di atas padang selepas sekian lama tidak dapat beraksi.

"Satu perkara yang anda boleh percaya dengan saya adalah selepas 7, 8 bulan berehat, saya tidak mampu lagi menunggu lebih lama untuk kembali beraksi."

Reus tidak bernasib baik kerana tidak dapat menjadi sebahagian daripada skuad Jerman yang berjaya memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil

"Apabila anda tidak beraksi dalam satu tempoh masa yang lama, anda perlu ingat badan dan kaki anda bukan lagi seperti dahulu dan telah berubah kerana pembedahan."

"Anda memerlukan masa untuk kembali mendapatkan rentak, bukan sahaja dalam perlawanan tetapi juga dalam sesi latihan. Mujurlah saya tidak mengalami sebarang implikasi ketika proses penyembuhan."

Kini setelah sembuh sepenuhnya, Reus telah meletakkan sasaran untuk dipilih mewakili Jerman beraksi dalam Piala Dunia musim panas nanti. Untuk rekod, Reus tidak dapat beraksi dalam Piala Dunia 2014 kerana kecederaan yang dialaminya sebelum kejohanan bermula.

"Brazil 2014 ? Ia sudah berlalu dan saya tidak dapat mengubah perkara yang lepas. Saya juga tidak mahu melihat terlalu ke depan buat masa sekarang. Banyak perkara mampu berubah setiap hari. Jika segalanya berjalan dengan lancar dan saya bermain dengan baik, saya rasa saya berpeluang cerah untuk dpilih ke Russia."




Paparkan Komen