Remaja Malaysia Memenangi Emas Olimpik Musim Sejuk, Walaupun Tak Pernah Jumpa Salji

Eikrem oleh Eikrem 6 bulan yang lalu

Mereka baru pertama kali menyentuh salji, namun sentuhan itu ternyata sentuhan keramat apabila remaja-remaja ini memenangi tiga pingat emas dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Istimewa 2017 di Austria.

Kesemua mereka memenangi emas dalam acara snowshoeing iaitu berlari dalam salji dengan memakai kasut khas.

Norysuhadatul Aulia Saidina Maarufi dan Noraini Zakaria, masing-masing berusia 17 dan 15 tahun, berasal dari Sandakan telah memenangi tiga emas dalam perlumbaan yang disertai mereka. Menariknya, ini adalah kali pertama mereka keluar dari Malaysia dan kali pertama menyentuh salji.

Lebih hebat lagi, kali pertama mereka memakai kasut salji tersebut hanya sehari sebelum pertandingan.

Norysuhatadatul menang dua pigat emas dalam usia campuran, 13-20 tahun, dalam 100 dan 200m, manakala Noraini pula memenangi emas dalam 200m kategori usia 12-15 tahun.

Kontinjen Malaysia

Danish Rosli dari Miri, memenangi dua pingat perak untuk acara 100m dan 200m untuk kategori umur 16 tahun dan ke atas.

Bersama rakan sepasukan, Umar Hafiy Mohd Fairuz, mereka berempat berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 4x100m pula.

Sukan Olimpik Musim Sejuk Istimewa adalah sukan musim sejuk yang dianjurkan untuk disertai oleh golongan kelainan upaya intelektual. Selain snowshoeing, acara lain yang dipertandingkan termasuklah hoki dalam dewan, meluncur ski dan beberapa acara lain lagi.

Wakil Malaysia, Danish dan Umar merupakan remaja disleksia - mengalami masalah untuk membaca, menulis dan mengeja, manakala Norysuhadatul dan Noraini pula mengalami masalah pembelajaran . Acara ini merupakan acara yang pertama buat mereka semua.

Danish sedang beraksi

Sebagai persediaan untuk pertandingan ini, mereka telah berlatih di pasir pantai dan dalam air yang cetek, sebagai simulasi untuk salji.

Untuk meningkatkan stamina pula, mereka berlari turun naik tangga di kompleks sukan, selain berkunjung ke gimnasium.

Ketua delegasi Malaysia, Lam Saw Yin berharap Malaysia akan menghantar lebih ramai atlet dalam acara yang akan datang dan menyertai lebih banyak acara.

"Harapnya kita dapat menyertai lagi di masa depan dan juga bertanding dalam kategori lain seperti floorball atau hoki lantai. Disebabkan dana yang tidak mencukupi, kita hanya mampu menghantar delegasi yang kecil kali ini," ujar Lam yang juga merupakan sukarelawan bersama Sabah Special Olympics.

Sumber berita dan gambar : The Star




Paparkan Komen