RB Leipzig Mungkin Diharamkan Daripada UCL Meskipun Muncul Naib Juara Bundesliga

Eikrem 2 bulan yang lalu

RassenBallSport Leipzig mungkin tidak sepopular Bayern Munich atau Borussia Dortmund, namun kemunculan menakjubkan kelab dari timur Jerman ini ternyata mengejutkan ramai pemerhati, peminat, pengkeji dan pendengki dalam bola sepak.

Mana tidaknya, kelab ini baru sahaja naik ke Bundesliga pada musim ini, tahu-tahu sudah muncul naib juara. Pada hari guru tempoh hari admin sempat makan tengah hari di Munich, Jerman dan sempat juga bertanya kepada orang awam mengenai kelab ini.

Ternyata respon yang diterima cukup negatif dan majoriti bangsa Jerman membenci kelab ini. Tapi bukan cerita benci membenci ini yang ingin diutarakan.

Seperti sedia maklum, kelab ini berjaya mengesahkan kedudukan di tangga kedua Bundesliga, maka kalau ikut logik akal yang waras RB Leipzig bakal bermain dalam kejohanan paling agung bagi kelab-kelab bola sepak, Liga Juara-juara. Itu tanggapan awal, bukan?

Akan tetapi, Leipzig sebenarnya berdepan kemungkinan tidak dibenarkan bertanding oleh UEFA kerana dua faktor.

RB Salzburg

Bagi yang belum maklum, RB Leipzig dimiliki oleh jenama minuman Red Bull, begitu juga kelab Austria ini, RB Salzburg. Ya, Red Bull memang minat membeli dan memiliki kelab-kelab sukan.

Bundesliga Austria secara rasmi mengisytiharkan Salzburg sebagai juara liga. Dengan ini, Salzburg layak secara automatik untuk ke pusingan kedua kelayakan Liga Juara-juara pada musim depan.

Jadi, apa kaitan dengan RB Leipzig?

Terima kasih kepada yang bertanya.

UEFA melarang keras penyertaan dua pasukan yang dimiliki oleh pemilik yang sama dalam satu pertandingan yang sama baik di peringkat domestik atau eropah. Hal ini adalah untuk mengelakkan berlakunya gejala pengaturan keputusan perlawanan sekiranya dua pasukan di bawah satu bumbung bertemu sesama mereka nanti.

Tapi, kenapa Leipzig yang berdepan ancaman pengharaman, bukan Salzburg?

Untuk kempen musim depan, Leipzig bakal bertanding di pentas eropah buat pertama kali, manakala Salzburg dikira pernah bertanding di eropah walaupun gagal layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-juara. Oleh sebab itu, Salzburg sudah mempuyai coefficient untuk kelayakan, manakala Leipzig tidak.

Dengan kata lain, Leipzig berada di bawah Salzburg dalam ranking kelab-kelab di eropah, maka pemilik kelab hanya boleh mendaftarkan kelab yang berada di ranking atas sahaja untuk bertanding dalam Liga Juara-juara.

Salzburg juga tidak boleh menarik diri daripada saingan eropah tanpa sebab yang kukuh dan jika mereka berbuat demikian, mereka akan didenda berat oleh eropah.

Hal ini kerana Liga Juara-juara bukan liga pelacur seperti di Malaysia di mana pasukan yang bertanding boleh menarik diri sesuka hati dan hawa nafsu mereka.

Leipzig Yakin Layak

Leipzig walaubagaimanapun yakin bahawa mereka akan dibenarkan untuk bertanding di Liga Juara-juara musim depan sekaligus memberikan cabaran buat pasukan-pasukan kuat yang lain seperti Real Madrid, Juventus dan juga Ajax Amsterdam.

CEO kelab, Oliver Mintzlaff tidak menyembunyikan keyakinan tingginya untuk layak ke pentas eropah musim depan.

“Kami dah kaji semualah, dan kami tubuhkan pasukan ini pun berasaskan peraturan yang ada. Kedua-dua kelab ini adalah bebas dan tidak saing mempengaruhi antara satu sama lain dalam membuat keputusan,” katanya kepada Kickers, seperti yang dilaporkan Daily Mail.

UEFA juga telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa kesemua penyertaan pasukan akan disemak dengan begitu rapi.

“Kesemua kriteria termasuk hak pemilikan pasukan akan diteliti dan diselusuri oleh UEFA hanya selepas kami menerima borang penyertaan dan dokumentasi daripada persatuan bola sepak dan kelab, selepas liga masing-masing tamat secara rasminya,” begitulah kenyataan yang dikeluarkan UEFA.

Ini bermaksud, nasib Leipzig tidak akan diketahui sehinggalah bulan Jun nanti.

Financial Fair Play

Jika isu hak pemilikan kelab diberi kelulusan oleh UEFA, Leipzig berdepan satu lagi masalah – Peraturan Fair Play Kewangan.

Menurut peraturan tersebut, jumlah perbelanjaan tolak jumlah pendapatan tidak boleh melebihi £4.2 juta dalam tempoh tiga tahun.

Contohnya, jika Leipzig berbelanja sebanyak £10 juta, maka pendapatannya juga mestilah sekurang-kurangnya £6 juta.

Tapi masalahnya Leipzig bukan belanja £1.2 juta sahaja untuk membeli pemain yang berbaki kontrak enam bulan, mereka telah membelanjakan  £85 juta secara totalnya dalam tempoh dua musim panas yang lalu, dan jualan mereka juga kurang memberansangkan.

Kesian juga tengok Leipzig, baru nak naik dah perlu berhadapan bermacam-macam cabaran. Pasti para penyokong Leipzig berasakan bahawa sebenarnya ada tangan ghaib yang ingin menjatuhkan mereka, sama seperti penyokong di Malaysia.

Sumber berita :Daily Mail