The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Razman Nafi Berhijrah Ke Selangor Kerana Zainal

Encik Bakri pada December 19, 2015

KAPTEN pasukan Pahang, Mohd Razman Roslan nafi penghijraha ke Selangor adalah untuk mengikut Zainal Abidin Hassan yang dikatakan bakal melatih skuad Gergasi Merah itu, musim depan.

Beliau sebaliknya mendedahkan keputusan itu telah lama diputuskan namun menangguhkan kepulangannya ke negeri kelahirannya disebabkan kesetiaan bersama Pahang yang diwakilinya sejak 2012.

Anak jati Kajang itu yang pernah beraksi bersama skuad Gergasi Merah pada 2003-2012 mengakui pernah menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) musim lepas, namun menolak kerana masih mahu beraksi dengan Pahang.

“Keputusan tiga rakan sepasukan saya yang lain (Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, R. Gopinathan dan Mohd Hafiz Kamal) menyertai Selangor, musim depan juga tiada kaitan dengan diri saya kerana ia adalah keputusan mereka sendiri.

“Mungkin mereka merasakan Selangor adalah pasukan terbaik untuk mereka meneruskan karier,” katanya.

Khairul Azhan, Razman Roslan, Hafiz Kamal dan Gopinathan

Mohd Razman berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Razman mengakui cabaran musim depan bersama Selangor tidak banyak bezanya dengan ketika bersama Pahang kerana skuad Gergasi Merah berdepan tugas berat mempertahankan Piala Malaysia selain beraksi dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Beliau bagaimanapun yakin pengalaman berguna yang ditimba selama empat tahun bersama Pahang mampu membantu Selangor meraih pelbagai kejayaan, musim depan.

“Saya juga tidak pasti adakah saya akan menamatkan karier di Selangor memandangkan saya sendiri tidak tahu berapa lama lagi saya mampu bermain,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Matthew Davies berkata ia adalah detik yang menyedihkan apabila menyaksikan beberapa pemain negeri itu berhijrah ke pasukan lain tetapi mengakui ia adalah sesuatu yang normal sebagai pemain.

Davies, pemain kelahiran Australia yang juga pemenang kategori Pemain Muda Terbaik turut memaklumkan dia memutuskan untuk melanjutkan kontrak bersama Pahang sehingga 2017.

Mengenai anugerah itu, Davies yang menyertai Pahang dari kelab Australia, Perth Glory awal musim ini berkata kejayaan itu adalah juga untuk keluarga, rakan sepasukan dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) yang membantunya menjadi pemain yang lebih baik.

“Ia adalah satu penghargaan dipilih oleh ketua pasukan dan jurulatih untuk memenangi anugerah ini. Ia adalah detik terbaik dalam kerjaya saya.

“Ini bukan musim terbaik Pahang tetapi kejayaan ini menyuntik semangat saya untuk melakukan yang yang terbaik pada musim depan,” kata Davies yang percaya pasukan itu mampu mengecap kejayaan di bawah kendalian jurulatih baru, Ahmad Shaharuddin Rosdi tahun hadapan.

PBNP melantik Ahmad Shaharuddin yang juga bekas pemain negeri itu pada era 1990-an untuk menggantikan Zainal Abidin yang dikaitkan dengan Selangor ketika ini. – Bernama


Download aplikasi The Sukan di Google Play