Ramsey Jalani Ujian Perubatan Bersama Juventus, Zizi Kirana Antara Yang Paling Terkesan

Izuddin oleh Izuddin 7 bulan yang lalu

Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey dilaporkan telah selesai menjalani bahagian pertama dalam ujian perubatan untuk menyertai Juventus dan dilihat semakin hampir untuk menandatangani kontrak lumayan selama 5 tahun bersama juara bertahan Serie A itu.

Sebelum ini, laporan daripada beberapa sumber seperti sudah mengesahkan Ramsey telah menandantangani pra-kontrak dengan Juventus dengan rancangan untuk berpindah ke Itali sebaik sahaja kontraknya tamat pada penghujung musim nanti.

Ramsey selangkah hampir menjadi pemain hitam putih

Ramsey yang telah bermain untuk Arsenal selama 11 tahun tidak ditawarkan kontrak baru oleh pihak pengurusan dan pemain tersebut bebas untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab luar England yang berminat untuk mendapatkannya secara percuma musim hadapan.

Juventus dikhabarkan telah mengenepikan cabaran dari beberapa pasukan ternama seperti Bayern Munich, Inter Milan dan Paris Saint-Germain untuk mendapatkan khidmat Ramsey.

Ramsey dijangka bakal menerima gaji berjumlah hampir €7 juta semusim berserta dengan pelbagai bonus. Beliau dilaporkan bakal menjadi penerima gaji ke-3 termahal di Turin, di belakang Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala.

Ramai peminat Arsenal yang kecewa dengan perpindahan ini kerana Ramsey dianggap sudah sebati dengan kelab tersebut dan merupakan calon utama untuk menjadi kapten Arsenal yang seterusnya.

Unai Emery jelas bukan peminat utama Ramsey. Arsenal's loss is Juventus gain.

Tambah menyedihkan, Arsenal tidak akan mendapat apa-apa habuan dari perpindahan Ramsey yang baru sahaja berusia  28 tahun dan berada di kemuncak kariernya.

Antara peminat Arsenal yang terluka dengan situasi ini adalah penyanyi terkemuka Malaysia, Zizi Kirana yang terkenal dengan lagu berentak 'rap', seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Sebelum ini berlaku salah faham apabila Zizi memuat naik satu status sedih di Instagram beliau seperti baru sahaja putus cinta.

Akan tetapi, status tersebut sebenarnya ditujukan kepada Ramsey yang akan berpindah ke Juventus.

Status sedih Zizi yang mengelirukan banyak pihak

“Macam mana saya putus cinta pula sedangkan saya tidak menjalin hubungan cinta dengan sesiapa pun? Kenalan terdekat pun terkejut kerana saya memang tak ada teman lelaki,” katanya.

Zizi yang meminati sukan bola sepak berkata, dia meminati Arsenal semata-mata kerana Ramsey bermain dengan pasukan itu.

“Kenyataan putus cinta tu sebenarnya ‘putus’ dengan Ramsey disebabkan dia dikatakan bakal berpindah ke Juventus. Ramsey adalah satu-satunya semangat membuatkan saya menyokong Arsenal.

“Disebabkan itulah saya sangat kecewa dan kongsikan kekecewaan itu di Instagram Story. Tiba-tiba ramai pula menyangkakan saya betul-betul putus cinta sedangkan maksud saya lain,” katanya sambil ketawa.

Penyanyi yang popular dengan lagu Nak Ke Tak Nak ini juga tidak pernah berniat mahu menipu mengenai kenyataan itu.

“Saya langsung tidak berniat untuk cuba menipu sesiapa. Maafkan saya jika ada sesiapa benar-benar ingat saya memang putus cinta terutama kenalan yang terus bertanya disebabkan sangat mengambil berat,” katanya.




Paparkan Komen