Rahsia Kecergasan Zlatan Walaupun Usia Sudah Senja

Eikrem oleh Eikrem 8 bulan yang lalu

Fasa paling sibuk dalam kalendar bola sepak England telah berakhir dengan rasminya dengan kejayaan Tottenham Hotspur menewaskan Chelsea di laman sendiri. Dalam fasa ini, perlawanan bermula pada ‘Boxing Day’ sehingga 4 Januari 2017 di mana setiap pasukan perlu bermain tiga perlawanan secara puratanya dalam tempoh 8 hari, kecuali Chelsea di mana mereka mendapat rehat lebih sehari.

Itupun kalah kepada Tottenham Hotspur. Tak malu betul.

Dalam tempoh tersebut yang singkat tersebut, pemain pastinya bergelut dengan keletihan untuk kekal cergas, tambahan pula perlawanan Liga Inggeris kebanyakannya dimainkan dalam kepantasan dan intensiti yang tinggi.

Namun, amat menarik sekali bila melihatkan dua pemain yang berusia 35 tahun, Zlatan Ibrahimovic dan Peter Crouch, masing-masing merupakan pemain Manchester United dan Stoke City, mampu untuk bermain dalam ketiga-tiga perlawanan ini.

Sepanjang kempen padat ini, berikut adalah statistik ringkas mereka.

Statistik/Pemain Zlatan Peter Crouch
Minit permainan (Dari Boxing day 2016 sehingga 5 Jan 2017) 270 264
Jumlah perlawanan keseluruhan musim ini (Domestik dan eropah) 27 (3) 13 (8)
Jumlah gol 17 2

Kalau dilihat daripada perbandingan statistik di atas, Zlatan ternyata jauh lebih unggul dari segi jumlah perlawanan dan juga gol. Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana Zlatan masih boleh mengekalkan kecemerlangannya walaupun pada usia ‘rumah kata pergi, kubur kata mari?’

Antara rahsia yang sempat dicari dan dikongsi oleh Zlatan sendiri adalah seperti berikut.

Mempunyai pakar kecergasan dan fisioterapi sendiri.

Sebagai pemain bola sepak dengan gaji seminggunya menyamai sebulan gaji keseluruhan pemain skuad Kelantan[1], Zlatan amat mementingkan kecergasan dan kesihatannya sehinggakan dia menggaji pakar kecergasan merangkap fisioterapi untuk dirinya sendiri, berbanding pemain lain yang berharap kepada pakar kecergasan dan fisioterapi kelab.

Tidak dapat dipastikan berapa gaji pakar kecergasannya namun yang pastinya, jarang kita lihat Zlatan mengalami kecederaan yang serius, terutamanya di bahagian hidung.

Tidur lambat selepas perlawanan

Selalunya Zlatan tidak tidur selepas perlawanan, terutamanya perlawanan malam kerana baginya, ketika itu hormone adrenalin dalam badannya masih tinggi. Menurutnya lagi, jika dia tidur sekalipun, dia akan tidur pada jam 5 atau 6 pagi – mungkin selepas tunaikan solat subuh berjemaah di masjid yang berdekatan.

Mungkin begini rupa Zlatan layan Tumblr

Zlatan turut berkata dia pernah cuba tidur awal selepas perlawanan, namun dia sukar melelapkan mata dan akhirnya dia melayan Tumblr sampai ke pagi.

Pemanas badan adalah membosankan

Tak pasti berapa peratus kesungguhan Zlatan ketika ini

Zlatan mendedahkan dia sebenarnya tidak menyukai sesi memanaskan badan, baik sebelum latihan atau perlawanan kerana dia akan melakukan perkara yang sama setiap masa. Kadang-kala dia hanya bersungguh-sungguh sebanyak 50%, adakalanya 80% tetapi ada juga 100%, bergantung kepada tahap ‘mood’nya.

Jaga makan

Zlatan bukanlah jenis seorang yang melepak di kedai Mamak di tepi jalan sambil hisap Surya di Singapura, sebaliknya dia amat menitik beratkan amalan dietnya. Ketika muda, dia selalu merujuk kepada pakar pemakanan pasukan berkenaan apa yang patut dimakan, dan apa yang patut dihisap.

Namun seiring dengan pertambahan usia, Zlatan kini sudah boleh menentukan apa yang boleh dimakan berdasarkan apa aktiviti yang akan dilakukan berikutnya. Baginya, apa yang masuk mesti sama dengan yang keluar.

Yang penting, Zlatan tidak vape.[2]

Taekwondo

Sudah menjadi rahsia umum bahawa Zlatan adalah pemegang tali pinggang hitam Taekwondo, berdasarkan merit, bukan kerana dia adalah isteri atau anak kepada mana-mana menteri. Sehingga kini, Zlatan masih aktif dalam seni pertahanan diri ini dan dia selalu dijemput untuk menjadi hakim bagi mana-mana kejohanan Taekwondo.

Jadi tidak peliklah bagaimana Zlatan boleh melakukan flying kick dengan cukup tinggi sekali.

Mendengar muzik reggae

Sebelum dan selepas latihan, Zlatan suka mendengar muzik reggae kerana menurutnya, latihan dilakukan dalam intensiti yang tinggi dan muzik reggae meredakan minda dan badannya daripada intensiti tersebut. Tidak hairanlah kalau kita sering lihat Zlatan meletakkan 'headphone' ketika turun dari bas pada hari perlawanan.

Tidak dapat dipastikan siapa artis kegemarannya dan harap-harap Zlatan akan mula meminati One Direction seperti penulis, dan ustaz Facebook tidak mengecam dia. Terimalah dia seadanya.

Nota :

1 – Berdasarkan bajet RM16 juta setahun yang diperlukan Kelantan

2 – Penulis agak je ni. Rasa-rasa macam tu.




Paparkan Komen