The Sukan

Cerna Lemak Atas Talian

Pulau Pinang Mungkin Tersingkir Ke Liga Perdana Dan PDRM Kekal Di Liga Super?

Encik Bakri pada October 27, 2016

Pahang kekal di Liga Super selepas mendapat kemenangan percuma selepas Kedah menurunkan pemain yang digantung, Pulau Pinang mungkin ke Liga Perdana jika bantahan PDRM keatas JDT diterima oleh FMLLP selepas JDT dilaporkan menurunkan pemain yang digantung.

JDT dalam satu kenyataan menyatakan bahawa PBNJ tidak pernah menerima sebarang e-mel atau surat rasmi daripada FMLLP atau FAM mengenai penggantungan Martin Lucero.

Ikuti laporan penuh yang di petik dari sumber BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Pasukan Pulau Pinang berkemungkinan besar diturunkan ke saingan Liga Perdana musim depan, sekiranya Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) meluluskan bantahan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BERNAMA difahamkan, PDRM menghantar surat bantahan hari ini, selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menurunkan Juan Martin Lucero ketika pasukan berkenaan menang 4-0 ke atas PDRM pada aksi ke-18 liga, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 16 Ogos lalu.

Ketua jurulatih PDRM, Mohd Fauzi Pilus, berkata pihaknya berhak membuat bantahan memandangkan Lucero sudah mengutip tiga kad kuning, sebelum kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan itu.

Berdasarkan peraturan tiga kad kuning terkumpul, pemain perlu digantung satu perlawanan seterusnya dan kiraan kad kuning terkumpul dalam Liga Super tidak akan dikira dalam kejohanan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia.

“Saya pun tidak pasti kerana saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi kalau betul, kita layak buat bantahan kerana JDT tidak sepatutnya menurunkan pemain yang sudah mengumpul tiga kad kuning,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Sebelum pertemuan JDT menentang PDRM, Lucero sudah mengutip tiga kad kuning iaitu semasa aksi Liga Super menentang Kelantan pada 8 April dan 26 Julai serta pertemuan dengan Perak pada 6 Ogos lepas.

Berdasarkan carta kedudukan muktamad Liga Super 2016, Pulau Pinang menduduki tangga ke-10 dengan kutipan 22 mata selepas beraksi dalam 22 perlawanan, manakala PDRM di tangga ke-11 dengan 21 mata.

Sekiranya bantahan PDRM itu diterima, mereka bakal meraih tiga mata. Mengikut format Liga Malaysia, dua pasukan terbawah Liga Super akan diturunkan beraksi di Liga Perdana musim depan. Selain PDRM, Terengganu juga tersingkir ke saingan Liga Perdana 2017 selepas menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan kutipan 19 mata. – BERNAMA


Download aplikasi The Sukan di Google Play